Berita palsu merebak sepantas Covid-19

DULU ada diperkenalkan 3M – Menulis, Membaca, Mengira. Ada juga Kelab 3P – Pembaca, Penonton, Pendengar. Sekarang akibat ledakan teknologi, budaya membaca semakin kurang lebih-lebih lagi melibatkan bahan bercetak. Mungkin mereka membaca melalui telefon pintar. 

Malangnya masih ramai yang malas membaca walaupun bahan itu ada di atas telapak tangan. Walaupun malas membaca, ramai pula yang rajin menyebar atau forward. Baru baca satu dua ayat terus forward ke grup WhatsApp. Mungkin bangga menjadi orang pertama menyampaikannya.

Tidak salah menyebarkan mesej atau gambar yang baik tetapi bukan berita atau gambar yang tidak pasti atau berulang-ulang termasuk yang  dikitar semula.

Ada mesej yang sama yang sudah dijelaskan berkali-kali tetapi muncul kembali dan terus disebarkan (forward) ke merata grup. Contohnya berkaitan makanan atau minuman halal, isu amalan atau ibadat pada bulan Islam seperti Muharam, Rejab, Shaaban dan Ramadan. Begitu juga penyebaran hadis palsu. 

Kenapa ini berlaku? Mungkin orang berkenaan tidak minat membaca atau tidak ambil tahu mesej  yang diterima. Ada yang membaca kemudian percaya bulat-bulat lantas forward kepada grup lain. Padahal berita palsu, tidak sahih atau sudah basi.

Masing-masing mahu menjadai ‘wartawan’ hebat yang melapor terlebih dahulu sebelum orang lain memperkatakan berita berkenaan.

Baru-baru ini  menjelang pengumuman barisan Kabinet, banyak juga senarai yang masuk ke telefon. Bukan orang biasa-biasa sahaja malahan golongan berilmu turut ghairah mengemukakan senarai Kabinet. Akhirnya satu pun tidak betul. 

Covid-19 juga dijadikan sasaran laporan palsu sehingga masyarakat cemas dan panik. Dengan teknologi yang ada, orang yang kegilaannya mencipta sesuatu yang boleh menarik perhatian ramai akan melakukan yang ‘terbaik’ bagi mempengaruhi orang ramai walaupun perbuatannya itu amat kotor dan keji.

Contohnya menokok tambah ayat kenyataan pihak berkuasa atau individu tertentu dan menggunakan kepala surat rasmi pihak berkuasa. Kecekapan mereka ini boleh memperdayakan orang ramai dan mungkin media. Ketika ini cukup risau  menerima kenyataan media sama ada ia benar-benar tulin atau palsu.

Di sinilah pentingnya peranan 3M – Membaca, Menyemak, Menyebar bukan pendekatan TTS – Terima Terus Sebar.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ada yang tidak membaca mesej yang masuk ke dalam grup, membaca sepintas lalu atau terus sebar kepada grup lain. Tanpa mempedulikan sama ada mesej itu meragukan atau memang palsu. Ingat tindakan kita menyebar sesuatu yang tidak benar boleh menyusahkan orang ramai.

Jangan kerana hendak menjadi penyampai berita No. 1,  mereka ghairah melepaskan mesej itu. Kadang-kadang mesej yang sama berulang masuk ke dalam grup WhatsApp akibat malas membaca atau menyemak mesej terdahulu. Begitulah ragam orang kita, malas membaca tetapi rajin menyebar sehingga menyemakkan telefon orang.

Biasanya mesej yang diterima melalui cut & paste sering memerangkap orang ramai. Penerima gagal menyemak secara langsung. Tidak ada rasa tanggungjawb untuk membuat semakan. Paling mudah hantar ke grup dan bertanya “Betul ka mesej ini?” Akhirnya jawapan tidak ada, mesej pula galak bertebaran ke dalam grup lain.

Begitu juga kenyataan yang boleh disalah tafsir atau dimanipulasi oleh pihak tertentu sehingga timbul rasa cemas. Kerajaan sebut sahaja hendak mesyuarat esok, malam ini dah mula pembelian panik. Pelbagai andaian atau spekulasi berlegar berkaitan mesyuarat mengenai langkah memerangi wabak Covid-19.

Semalam pembelian panik timbul apabila tersebar mesej COVID-19 HOUR mengenai #MalaysiaLockDown Isnin 16 Mac 2020 / 8 – 10PM. Mesej itu mengajak orang ramai tinggal di kediaman masing-masing. Mereka diingatkan jangan keluar rumah, jangan keluar ke tempat awam di samping sembahyang dan berdoa.

Mesej itu baik sebagai satu peringatan dan langkah pencegahan tetapi lockdown itu yang mencemaskan. Ada pula yang menganggap itu mesej pihak kerajaan. Pada masa yang sama setakat mana orang memahami maksud lockdown?

Lebih mencemaskan pula timbul laporan mengenai Kementerian Kesihatan dalam fasa pembendungan akhir melalui portal malaysiakini. Laporan itu menjadi palsu apabila ada pihak yang tular laporan ini dengan menambah ayat “cadangan supaya membeli barang keperluan asas dan perintah berkurung bakal diadakan”.

Kemudian muncul  kenyataan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersetuju mencadangkan penutupan masjid selama 10 hari. Bukan Jakim yang mengeluarkan kenyataan itu tetapi Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Ini diikuti kenyataan Mufti Negeri Sembilan mengenai perkara yang sama. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menyusul kemudian. 

Ketika itu, belum ada lagi maklumat terperinci mengenai apa yang sebenarnya dihebohkan sebagai perintah berkurung atau sebenarnya Perintah Kawalan Pergerakan. Ramai yang hanya mendengar khabar angin. Tidak wajar meletakkan kesalahan pembelian panik kepada pengguna kerana mereka tidak mendapat maklumat sebenar lebih awal.

Khabar angin dibiarkan berterbangan sehingga mereka mendengar ucapan Perdana Menteri. Itu pun masih teraba-raba tentang maksud langkah itu.

Begitulah senario yang menyebabkan orang ramai semakin panik. Perintah ‘berkurung’ itu yang mencemaskan seolah-olah seperti zaman darurat.

Semoga suasana hari ini lebih tenang walaupun masih ada keraguan terhadap jaminan kerajaan mengenai barang keperluan. Rakyat diharap menyokong usaha kerajaan ini dengan masing-masing kuarantin diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu sebelum dikuarantin oleh pihak berkuasa setelah dijangkiti.

Beri peluang Kementerian Kesihatan mengesan mereka yang berisiko dijangkiti. Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu lebih pantas memintas berita atau laporan yang meragukan. Kadang-kadang berita palsu itu bergerak lebih pantas dari Covid-19. Bertindak tegas terhadap  mereka yang sengaja mencetuskan rasa tidak tenteram ketika kita bergelut dengan Covid-19 ini.

Seperkara lagi eloklah dalam isu-isu kepentingan rakyat dan negara, pihak berkuasa dapat menyelaraskan sebarang pengumuman. Biarlah nampak kesepakatan, bukan terikut-ikut dengan kaki WhatsApp yang ingin menjadi orang terawal menyebarkan maklumat walaupun maklumat itu benar. Tarikh kuat kuasa aktiviti masjid dan surau juga berbeza, 17 dan 18.

Dalam istilah media, patuhilah EMBARGO. Lebih baik ada seorang jurucakap yang dapat menjelaskan setiap isu. Bukan bercakap sedikit, kemudian beritahu tunggu kenyataan keluar atau tunggu malam ini.

Related posts

Leave a Comment