Covid-19 : Panik lagi hari ini

 

PANIK lagi malam ini. Selepas pusat beli-belah diserbu, giliran balai polis pula terutama di kawasan yang mempunyai kampus institusi pengajian tinggi. Begitu juga stesen bas dan lebuh raya. Semuanya mahu pulang ke kampung. Dah macam nak sambut hari raya. Apa dah jadi?

Saranan kerajaan elakkan berkumpul ramai-ramai tetapi hal sebaliknya berlaku.

Slogan Usah Panik Bersama Kita Hadapi Covid-19 seperti tidak relevan. Orang awam panik membeli-belah, kemudian balik kampung, pelajar panik mengisi borang juga mahu pulang ke kampung. 

Kenapa perlu ke balai untuk mengisi borang. Kenapa tidak online sahaja? Mujurlah hanya beberapa jam ‘dikecam’ perintah isi borang ditarik balik bagi mereka yang ingin mengadakan perjalanan antara negeri. 

Saya tidak pasti maksud perjalanan antara negeri itu . Bagi saya mudah sahaja, orang yang tinggal di Selangor hendak ke Kuala Lumpur atau sebaliknya kena isi borang. Langkah ini menyukarkan bagi yang terpaksa bekerja. Lebih-lebih lagi yang tinggal di sempadan dua negeri. Dipisahkan dengan jarak beberapa kilometer sahaja. 

Bagi yang tidak ada urusan lebih baik sahut seruan kerajaan supaya kurangkan pergerakan. Tinggal di mana mereka ada. Orang kota tidak balik kampung dan sebaliknya orang kampung tidak datang ke kota.

Sepatutnya hal seperti ini tidak berlaku. Pergerakan keluar secara besar-besaran perlu dielakkan. Pengisytiharan ‘cuti’ ini bukan bertujuan untuk pulang ke kampung halaman bersama keluarga dan sebagainya. 

Memang pelik ketika kerajaan mahu mengelakkan perhimpunan ramai dan pergerakan keluar, hal sebaliknya berlaku. Ramai pula berkumpul di pusat beli-belah, stesen bas dan balai polis. Dalam ramai-ramai kita tidak tahu berapa orang yang ada simptom virus Covid-19.

Adakah tidak ada penyelarasan antara kementerian? Memang benar hanya satu agensi  perlu dipertanggungjawabkan dalam menghadapai krisis seperti ini.namun koordinisasi antara kementerian terlibat amat penting supaya setiap isu berkaitan dapat ditangani dengan baik. 

Dalam isu Covid-19, beberapa kementerian mempunyai tanggungjawab  bagi menguruskan masalah yang berkaitan. 

Contohnya Kementerian Dalam Negeri berkaitan isu mengelak perhimpunan ramai, Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan sejauh mana keperluan pelajar meninggalkan kampus dan bergerak pulang. Kementerian Sumber Manusia mengenai hak pekerja yang terpaksa bercuti dan sebagainya.

Kementerian Pengangkutan juga perlu melihat sejauh mana keperluan pengangkutan awam berjalan seperti biasa ketika kerajaan mahu mengurangkan pergerakan ramai terutama pulang ke kampung. Perlukah pengangkutan awam dihentikan atau dikurangkan untuk tempoh dua minggu ini ?

Begitu juga peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam meyakinkan orang ramai tidak melakukan pembelian panik. 

Jangan sampai matlamat kita tidak tercapai dan akhirnya membuang masa dan wang ringgit. Malahan paling menakutkan andainya Covid-19 merebak lebih pantas ke kampung dan desa. 

Kes semakin meningkat. Sudah ada kematian. Rakyat perlu sedar hal ini. Cuti yang diberi biarlah benar-benar untuk mengurung diri di rumah. Semoga rakyat Malaysia lebih memahami kesan melanggar peraturan yang ditetapkan. 

Ingat pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sila duduk di tempat anda, jangan lari!

Related posts

Leave a Comment