Komited perjuangan agama, bangsa, tanah air

SEPANG 11 Mei –  Selepas lapan dekad, UMNO kekal komited meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan asas utama yang membentuk negara ini, kata Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Beliau berkata, sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Istana Besar Johor hari ini bukan sekadar mengimbau sejarah perjuangan lampau, tetapi peringatan bahawa kekuatan sesebuah bangsa terletak pada kesatuan rakyat, kestabilan negara dan kesetiaan kepada institusi Raja Melayu sebagai payung negara.

Dalam kenyataannya, beliau berkata Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia yang berlangsung di Johor Bahru turut merafak sembah menjunjung kasih atas naungan, kebijaksanaan dan keprihatinan institusi Raja Melayu yang sentiasa menjadi tonggak perpaduan, kestabilan serta kesejahteraan negara.

Pagi tadi, sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila diraikan di tempat ‘kelahiran’ parti itu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang hadir bagi memperingati detik bersejarah penubuhan UMNO di Johor pada 11 Mei 1946.

Beliau berkata, parti juga berterima kasih kepada baginda kerana membenarkan sesi fotografi rasmi diadakan di Tangga Agung Istana Besar Johor, lokasi bersejarah yang menjadi saksi penyatuan orang Melayu dalam mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja Melayu.

“Daripada semangat perjuangan dan penyatuan itulah lahirnya UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa yang kemudian menjadi tunjang utama kepada kemerdekaan serta pembentukan negara berdaulat,” katanya.

Mengenai pendaftaran ahli baharu parti secara dalam talian, Asyraf Wajdi berkata, selepas 20 hari dilancarkan, ia sudah mencecah 16,867 ahli dengan 71 peratus daripadanya golongan muda.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment