PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan kematian pertama apabila dua orang meninggal dunia hari ini akibat wabak Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Mangsa pertama, adalah seorang jemaah yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling pada hujung Februari lalu. Mangsa berusia 34 tahun dan telah menghidap demam mulai 5 Mac lalu.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Mangsa kedua yang meninggal dunia akibat wabak itu, seorang paderi dari Kuching, Sarawak yang berusia 60 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kronik.
Sementara itu, kematian paderi bernama David Cheng, di Hospital Umum Sarawak kira-kira sekitar pukul 11 pagi turut dikongsi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Mangsa telah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 13 Mac lalu selepas mempunyai simpton COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak masih dalam proses mengenal pasti sumber jangkitan terhadapnya.
“Seramai 193 kontak rapat mendiang sudah dikenal pasti dan sedang menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, sebanyak 11 kes positif baru COVID-19 direkodkan di Sarawak, hari ini.
“Enam daripada kes baharu itu dilaporkan di Kuching, tiga di Limbang dan masing-masing satu di Betong dan Lawas.
“Mereka kini sedang dirawat di tiga hospital yang ditetapkan iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri,” katanya.
Sarawak hari ini mencatat 35 lagi individu dalam siasatan (PUI) manakala 204 pesakit masih menunggu keputusan ujian makmal.
“Ketika ini, sebanyak 45 kes COVID-19 positif di Sarawak sudah dikesan dan dibahagikan kepada empat kelompok iaitu kluster Masjid Sri Petaling, kluster Kuching (gereja), kluster Sarikei dan satu satu lagi kluster di Kuching belum dikenal pasti sumber,” katanya.