BENGALURU – Akibat konflik berterusan di Asia Barat, Perdana Menteri India, Narendra Modi menggesa rakyatnya mengurangkan penggunaan petrol dan diesel susulan gangguan bekalan.
Beliau menyarankan penduduk yang mempunyai kemudahan laluan metro di kawasan mereka dapat memanfaatkan pengangkutan itu dan berkongsi kenderaan jika perlu menggunakan kereta.
Berucap dalam satu perhimpunan di Telangana, selatan India, semalam, beliau berkata, penjimatan penggunaan bahan api juga penting bagi menjimatkan pertukaran mata wang asing yang digunakan untuk import bahan api.
“Kita juga perlu memberi penekanan serius terhadap penjimatan pertukaran asing kerana harga petrol dan diesel kini sangat mahal di peringkat global,” katanya.
India adalah antara negara yang tidak menaikkan harga petrol dan diesel untuk pengguna domestik atau melaksanakan catuan bekalan sebaliknya menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) serta bahan api untuk memasak susulan gangguan selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Modi turut menggesa rakyat menghidupkan semula amalan penjimatan tenaga yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.
“Kita perlu kembali mengutamakan bekerja dari rumah, persidangan dalam talian dan mesyuarat secara maya,” katanya.
