Kitalah ‘senjata’ hadapi ‘musuh’ bernama Covid-19


HABIS @ SOLD OUT! Itu perkataan yang dapat dilihat di kebanyakan farmasi. Ia merujuk kepada penutup hidung dan mulut (mask) dan juga cecair pembasmi kuman @ sanitizer. Pada masa yang sama muncul pelbagai sanitizer bagi mengisi kekosongan  jenama ternama. Khabarnya di kedai ‘hardware’ pun ada dijual.

Tidak pasti sama ada berlaku kekurangan atau pembelian panik di mana orang ramai membeli secara berlebihan sebagai persediaan menghadapi situasi yang mungkin lebih buruk. Adakah dua barangan ini akan dihadkan jualannya seperti dilakukan suatu masa dulu ‘satu kilogram gula setiap seorang?’

Adakah dengan kehabisan stok itu benar-benar menunjukkan wujud kesedaran masyarakat untuk menghadapi penularan wabak ini? Atau terikut-ikut dengan pelbagai saranan tetapi masih longgar kesedaran untuk berusaha mengelaknya? Maksudnya hanya mencegah melalui mask dan  sanitizer. Adakah dua bahan  ini mampu menghalang, membunuh atau merencat virus Covid-19? 

Penggunaan mask dan sanitizer perlu diiringi dengan usaha lain. Ambil tahu siapa sebenarnya yang perlu menggunakan mask. Bukan sekadar ikut-ikutan sahaja. Adalah lebih baik kerap membasuh tangan menggunakan  sabun. Bagi orang Islam, eloklah mengamalkan diri sentiasa berwuduk.

Ibarat polis mahu menghadapi penjenayah, mask dan sanitizer itu hanyalah komponen kecil ’senjata’. Lebih mudah anggaplah mask dan sanitizer itu sebagai peluru tetapi tidak ada pistol. Apa terjadi jika peluru tanpa pistol atau sebaliknya pistol tanpa peluru? Penjenayah akan terlepas, polis pula yang ditembak.

Maka senjata, kekuatan fizikal dan mental serta kemahiran mempertahankan diri amat penting. Ada yang menggunakan mask tidak bertempat. Orang yang sakit tidak guna, yang sihat pula memakainya. Hanya di tempat tertentu, orang sihat perlu menggunakannya. Mask atau sanitizer hanya bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Virus ini tidak kelihatan. Siapa pun tidak mengenalinya. Ibarat ‘musuh’ ynag tidak diketahui dari mana datangnya, ia boleh secara tiba-tiba menyerang dan membunuh sekiranya kita lalai, leka atau mendedahkan diri kepada situasi tertentu. Virus ini merebak lebih cepat melalui sentuhan permukaan tercemar. 

Covid-19 adalah novel virus yang belum ada vaksin. Justeru bagaimana mahu menghadapi musuh ini? Apa senjata yang kita ada untuk menghadapinya? 

Senjata utama adalah sikap individu itu sendiri. Perlu ada kekuatan dan kesungguhan untuk mencegah. Kata orang, cegah sebelum parah. Musuh tidak mampu menyerang jika kita dalam keadaan siap siaga dan tidak mendedahkan diri untuk diserang.

Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan telah memberi pelbagai garis panduan untuk ‘mempertahankan’ diri daripada musuh ini. Rujuklah portal yang disediakan. Amalkan penjagaan kesihatan yang tinggi, utamakan kebersihan diri. Kurangkan bersentuhan dan bersalaman. Sama ada sihat atau tidak, elakkan diri daripada menghadiri perhimpunan yang boleh mendedahkan diri kepada jangkitan virus.

Dalam tempoh ini, kurangkan mendedahkan diri di lokasi tumpuan ramai. Jika tidak perlu pergi tanpa tujuan, elok elakkan. 

Jika kurang sihat seperti batuk, selesema, atau baru pulang dari lokasi yang sudah ada jangkitan Covid-19, janganlah menghadiri apa juga program yang melibatkan khalayak ramai. Selain pusat beli-belah, pusat hiburan dan perhimpunan acara tertentu, turut tersenarai majlis kenduri kahwin, masjid, surau serta acara keagamaan lain.

Bukannya mahu menghalang kehadiran anda (yang tidak sihat) di rumah kenduri, masjid, surau atau rumah ibadat tetapi  yang diutamakan adalah ‘keselamatan dan kesihatan’ orang sekeliling. Jangan disebabkan kita, kesihatan orang lain terjejas..  

Patuhi dan ikuti arahan yang dikeluarkan. Jangan menjadikan sesuatu arahan itu sebagai polemik yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan sebagainya.

Kita tidak perlu menunggu perintah berkurung atau darurat seperti yang berlaku di beberapa negara di dunia. Adalah lebih baik kita belajar untuk ‘kuarantin’ diri tanpa perlu disuruh atau akhirnya kita dikuarantin. Setiap daripada kita perlu mempersiapkan diri sebagai senjata bagi menghadapi musuh bernama Covaid-19.

Jangan menjadikan diri kita mangsa atau menyebabkan orang lain sebagai mangsa. Ingat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya,”

Riwayat Al-Bukhari (5728)

Semoga rakyat Malaysia dilindungi.

Related posts

Leave a Comment