190 kes baharu Malaysia

KUALA LUMPUR : Sebanyak 190 kes baharu, kebanyakannya berkait dengan kluster perhimpunan tabligh dilaporkan positif Covid-19 setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, Kementerian Kesihatan sedang giat menjalankan penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan itu serta menyeru peserta terlibat menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran.

Peserta akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 mengikut mana yang terkemudian.

“Begitu juga untuk kontak rapat kepada kes positif Covid-19, pesakit dalam siasatan (PUI) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke hospital, mereka juga perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata semua Jabatan Kesihatan Negeri dan PKD telah menjalankan aktiviti berkaitan bagi kawalan kejadian Covid-19 dalam kalangan jemaah tabligh dan juga lain-lain kes disyaki bagi mengekang penularan jangkitan itu.

Sementara itu, tujuh kes yang disahkan positif sebelum ini telah pulih dan dibenarkan pulang menjadikan 42 kes pulih sepenuhnya.

“Sehingga kini, seramai sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment