SHAH ALAM 20 Mei – Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Kiew benar-benar tersentuh ketika membaca semula Rukun Negara, semasa beliau mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor hari ini.
“Hari ini, atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, saya telah hadir sendiri ke Dataran Selangor untuk membaca semula serta menghayati dengan lebih mendalam Rukun Negara,” katanya menerusi Facebook.
Liu memaklumkan, kunjungan itu menyedarkannya apa yang ditinggalkan oleh pengasas negara bukan sekadar beberapa rangkap kata tetapi suatu kebijaksanaan negara yang lahir daripada pengalaman pahit dan luka besar pernah dilalui.
“Kelahiran Rukun Negara sendiri tercetus selepas insiden 13 Mei apabila negara berusaha mengelak konflik kaum, perpecahan masyarakat dan politik ekstrem daripada berulang kembali dengan membentuk satu semangat kebangsaan bersama.
“Oleh itu, nilai sebenar Rukun Negara bukan sekadar terletak pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat dibawanya iaitu supaya rakyat pelbagai kaum, agama dan latar budaya dapat terus hidup bersama secara aman, saling menghormati, serta bersama-sama membina masa depan negara,” katanya.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan Liu yang juga bekas Exco mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor seminggu sekali bagi menghayati makna Rukun Negara.
Baginda bertitah, kunjungan ke plak monumen itu penting untuk mereka memahami dan menghayati makna Rukun Negara dan menjadi rakyat yang tahu menghormati kedaulatan institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,
Liu berkata, lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan sebenarnya merangkumi hampir seluruh nilai asas yang diperlukan untuk menjamin kestabilan jangka panjang sebuah negara majmuk.
“Lebih-lebih lagi pada hari ini, ketika politik semakin dipenuhi emosi dan masyarakat semakin mudah terjebak dalam polarisasi ekstrem, kita semakin dapat melihat nilai, kebijaksanaan dan kepentingan sebenar Rukun Negara,” katanya.
Liu berkata, membaca semula Rukun Negara turut membuatnya kembali bermuhasabah, adakah masa depan negara ini mahu terus dibina atas kebencian, ekstremisme dan pertarungan politik yang tiada penghujung, atau harus kembali kepada kematangan, rasionaliti, institusi, saling menghormati dan perpaduan.
Oleh itu, beliau menyeru semua ahli politik sama ada kerajaan atau pembangkang kembali membaca dan menghayati Rukun Negara, serta benar-benar menilai semula sama ada strategi, ucapan dan tindakan politik yang pernah dibawa, benar-benar menepati semangat Perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang, dan membantu memperkukuhkan perpaduan serta kestabilan negara.
Ini kerana apa yang benar-benar mampu menstabilkan sesebuah negara ialah ketamadunan, institusi, kedaulatan undang-undang, saling menghormati dan perpaduan masyarakat.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengasas negara yang membentuk Rukun Negara.
“Hari ini, kita semakin memahami apa yang mereka tinggalkan bukan sekadar tulisan, tetapi satu panduan penting supaya negara ini terus stabil dan maju ke hadapan,” katanya.
