Siew Ki junjung tinggi titah Sultan Selangor

SEPANG 20 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berhubung menghayati makna Rukun Negara.

Siew Ki menerusi hantaran di Facebook, berkata sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat.

“Patik menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat.

“Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Patik amat menghormati dan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan patik demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia. Daulat Tuanku,” katanya hari ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin menyeru Siew Ki dan bekas Exco, Ronnie Liu Tian Khiew untuk mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor seminggu sekali bagi menghayati makna Rukun Negara.

Sultan Selangor dalam kenyataan bertitah, ia supaya mereka tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Baginda juga bertitah semua ADUN Selangor datang sendiri ke Dataran Selangor yang terletak di Kelab Shah Alam, Seksyen 13, dua kali sebulan untuk membaca dan memahami makna Rukun Negara.

Related posts

Leave a Comment