Ramadan rezeki tambah saham akhirat

DI SATU simpang dekat Nilai, Negeri Sembilan terpampang satu iklan promosi Pesta Hari Raya mulai hari ini, 5 Mei hingga 3 Jun. Temanya Ramadan Tiba Rezeki Berganda. Rezeki membawa pelbagai maksud. Definisinya menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup, makanan atau segala yang diperlukan sehari-hari, nafkah. Rezeki juga dianggap mata pencarian, periuk nasi, perolehan gaji, upah keuntungan, laba, elaun, komisen, dividen, bonus, ganjaran dan hasil.

Dalam konteks iklan Ramadan ini, tidak pasti maksud rezeki itu tetapi sudah tentu sedikit sebanyak berkait juga peluang memperoleh rezeki tambahan. Pada bulan Ramadan ini, banyak yang memperluas perniagaan mereka atau baru mencuba. Bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan membuka peluang kepada ramai orang untuk menjual pelbagai jenis makanan dan minuman sebagai juadah berbuka atau bersahur serta keperluan untuk berhari raya sama ada pakaian, kuih-muih serta hiasan. Begitulah rezeki untuk menambah pendapatan pada bulan Ramadan. Tetapi jangan lupa rezeki atau habuan berganda yang disediakan oleh Allah SWT.

MADRASAH RAMADAN

Ramadan, penghulu segala bulan mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan. Ramadan adalah bulan kerahmatan, bulan keampunan, bulan kemenangan dan bebas daripada api neraka, bulan murah hati dan bulan keberkatan. Begitulah rezeki yang datang pada bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya manusia tahu keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan,”. Madrasah Ramadan menawarkan puasa selama sebulan yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Begitu juga solat tarawih, zakat fitrah, Lailatul Qadar, Nuzul al-Quran, tadarus al-Quran. Tidak kurang juga kelebihan bersedekah, qiamullail, tazkirah, iktikaf dan lain-lain lagi.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan Quran kerana turunnya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia. Nabi SAW bersabda: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada para hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhanku aku telah menhalangnya daripada makan dan minum serta mengikut syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya”. Al Quran berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya, lalu diterimalah syafaat kedua-duanya”(Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Abi dunya, al-Tabrani dan Hakim)

DOSA HALIMUNAN

Basahilah mulut dengan ayat-ayat suci al-Quran. Jangan basahi dengan kata-kata yang tidak baik. Memang mudah untuk menahan mulut daripada makan dan minum tetapi sukar untuk menahan bicara yang tidak baik. Di sini amat menuntut kesabaran. Sekalipun jika mulut mampu dijaga tetapi dalam era teknologi hari ini, jari-jari turut memainkan peranan mengambil alih peranan mulut untuk ‘berbicara’ atau ‘berkata-kata’ perkara yang tidak baik. Jika mulut mungkin sekadar berdepan dengan jumlah orang tertentu (kecuali pada rapat umum) tetapi melalui teknologi, WhatsApp, Facebook,Instagram, Messenger, sebarang ‘kata-kata’ dalam bentuk teks akan tersebar luas dalam masa yang singkat.

Amat malang jika kata-kata itu berbentuk fitnah. Bayangkan kesannya. Benarlah kata orang mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Jagalah jari-jari kita yang tidak mengambil sebarang makanan atau minuman ke dalam mulut pada siang hari pada bulan puasa tetapi jari jemari terus ‘menari-nari’ mencari huruf-huruf membentuk ‘bicara’ tidak baik di atas keyboard telefon, komputer atau ipad. Berhati-hatilah dengan dosa ‘halimunan’ yang datang tanpa disedari sehingga menjejaskan ‘rezeki’ amalan yang datang pada bulan Ramadan ini. Benar mulut tidak menzahirkan kata-kata yang tidak baik tetapi jari jemari ghairah ‘menari-nari’ sehingga melekakan dan menjerumus diri ke dalam kancah dosa. Hentikankah kata-kata berbentuk hasutan, fitnah, adu-domba, kata-kata kesat, sindiran, dengki, dan sebagainya yang menyakiti antara satu sama lain.

PEMBAZIRAN MAKANAN

Ramadan juga membawa rezeki dalam bentuk ganjaran pahala yang melimpah ruah melalui bersedekah. Setiap kali menjelang Ramadan, pelbagai pihak tampil memohon sumbangan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti terutama berbuka puasa. Bukan setakat surau dan masjid tetapi juga pusat pengajian agama, rumah anak yatim dan pertubuhan bukan kerajaan. Ada juga yang melibatkan bantuan kepada masyarakat Islam di luar negara. Ambillah peluang pada bulan murah hati ini. Hulurkan sumbangan dengan penuh keikhlasan tetapi jangan pula ada pihak yang menangguk di air keruh. Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Adalah lebih baik rezeki berlebihan disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Gunakan rezeki itu untuk menambah ganjaran pahala. Kemunculan Bazar Ramadan serta sumbangan pelbagai pihak menjadikan waktu berbuka bagaikan pesta makan. Belilah dan makanlah tetapi biar ala kadar, jangan membazir. Makanlah untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Jangan sia-siakan rezeki pahala waktu berbuka disebabkan pembaziran sewaktu berbuka. Di Malaysia kadar pembaziran makanan meningkat 15 hingga 20 peratus pada musim perayaan dan bulan Ramadan. Jadilah manusia yang bertakwa, yang mampu mengawal nafsu makan. Ingatlah, orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27).

MANUSIA JADI SYAITAN?

Begitu banyak rezeki ganjaran pahala yang datang pada bulan ini. Setiap,orang tanpa mengira kedudukan, miskin atau kaya, berpeluang memperoleh ganjaran ini. Andai si miskin tidak mampu merebut ganjaran sedekah, mereka mampu memperolehnya dengan pelbagai amalan lain termasuk membaca al-Quran, solat tarawih, qiamullail dan menjaga adab puasa dengan baik. Si kaya belum tentu peroleh ganjaran sekiranya kekayaan itu tidak mampu mendorong mereka bersedekah sebaliknya melakukan pembaziran dan gagal meluangkan masa untuk amalan baik lain yang digalakkan.

Semoga, Ramadan ini menginsafkan kita untuk melakukan amalan yang terbaik sesuai dengan ganjaran bulan ini. Marilah bersama mengisi Ramadan ini dengan puasa yang sebenar-benarnya, bukan sekadar memenuhi tuntutan agama atau tradisi ikut-ikutan kerana bimbang akhirnya peroleh lapar sahaja. Rebutlah rezeki pahala (bukan rezeki wang ringgit) berupa saham akhirat berlipat ganda yang datang pada bulan ini melalui pelbagai amalan lain bersama-sama puasa. Tingkatkanlah ketakwaan. Jangan pula kita sebagai manusia mengambil peranan iblis dan syaitan yang dibelenggu pada bulan Ramadan ini.

Selamat menjalani ibadah puasa.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/05/05/selak-ramadan-rezeki-tambah-saham-akhirat/

Related posts

Leave a Comment