Thailand sedia bawa isu udang ke WTO

BANGKOK –   Isu penggantungan sementara import lima spesies udang dari Thailand oleh Malaysia akan dibangkitkan di forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN sekiranya rundingan dua hala gagal menyelesaikan isu berkenaan.

Jurucakap Kerajaan, Ratchada Thanadirek, berkata Kementerian Perdagangan telah mengarahkan Pejabat Hal Ehwal Komersialnya di Kuala Lumpur supaya memantau rapat perkembangan susulan penggantungan yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk menyelesaikan isu itu menerusi perbincangan dua hala, dengan Kementerian Perdagangan serta Kementerian Pertanian dan Koperasi diarahkan untuk mempercepat rundingan bersama rakan sejawat masing-masing di Malaysia.

“Sekiranya isu ini masih tidak dapat diselesaikan, Thailand bersedia membawa perkara ini ke platform WTO dan ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia  mengumumkan penggantungan sementara import lima spesies udang dari Thailand, berkuat kuasa 1 Jun, sebagai sebahagian daripada kawalan lebih ketat terhadap produk perikanan dari negara itu.

Spesies yang terbabit ialah Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang pisang), Penaeus vannamei (udang putih), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).

Thailand melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan penggantungan berkenaan terhadap penternak dan pengeksport udang.

Ratchada berkata Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesan berpotensi terhadap penternak udang, khususnya di selatan Thailand.

Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan mengambil langkah bagi mengelakkan penurunan harga pada peringkat ladang sambil mendapatkan pasaran alternatif untuk pengeluar yang terjejas.

Bagi mengurangkan kesan itu, Kementerian Perdagangan memperkenalkan 13 langkah segera yang bertujuan menyerap kira-kira 400 tan pengeluaran udang sebulan – bersamaan purata eksport udang Thailand ke Malaysia – bernilai kira-kira 44 juta baht (RM5.4 juta) sebulan.

Langkah itu termasuk memperluas peluang eksport ke China menerusi acara promosi perdagangan, program padanan perniagaan dalam talian dan penyertaan dalam pameran makanan antarabangsa utama.

Selain itu, penggunaan domestik dipertingkatkan menerusi kempen promosi dan inisiatif campur tangan pasaran.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment