Rasis: DAP parti politik, bukan kaum

SEPANG – Tidak adil menuduh Menteri Besar Johor  Onn Hafiz Ghazi rasis hanya kerana Barisan Nasional (BN) Johor mahu bertanding dan bergerak secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya Presiden MCA, Wee Ka Siong dalam satu kenyataan menerusi Facebook menegaskan, keputusan BN Johor, itu adalah satu keputusan politik yang matang dan bukannya satu tindakan rasis.

Justeru Ka Siong berkata, menuduh Onn Hafiz rasis hanya kerana BN Johor mahu bertanding dan bergerak secara solo adalah tidak adil, tidak bertanggungjawab dan tidak jujur dari segi politik.

Kenyataan itu menyusul susulan tulisan tokoh akademik, Tajuddin Rasdi, yang mendakwa tindakan BN, khususnya UMNO bergerak bersendirian sebagai berbaur perkauman.

Menerusi tulisannya, pensyarah itu dalam satu hantarannya berkata pengerusi UMNO Johor itu menjadi contoh utama keperibadian rasis serta seorang pelampau yang tidak layak dipanggil sebagai rakyat Malaysia.

“Sebagai seorang ahli politik, bagaimana dia boleh memerintah sebuah negeri apabila berpuluh-puluh ribu orang Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum lain menyokong DAP.

“Politik dan kerohanian jenis ini seperti yang dipamerkan secara memalukan oleh seorang menteri besar adalah perkara yang merosakkan negara tercinta kita,” katanya.

Semalam Onn Hafiz berkata, beliau lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada duduk semeja dan membentuk kerajaan bersama DAP selepas PRN.

Kenyataan itu, mengundang reaksi pelbagai pihak, khususnya pemimpin DAP yang menyelarnya dan menganggap kenyataan tersebut berbaur perkauman.

Ka Siong berkata, penolakan terhadap DAP tidak sepatutnya disamakan dengan sikap rasis kerana DAP merupakan sebuah parti politik dan bukannya mewakili mana-mana kaum.

“Kalau tolak DAP dikira rasis, apa pula namanya bila DAP tolak MCA, UMNO, MIC, Pas atau Bersatu selama ini?  PRN Sabah baru-baru ini, DAP kalah semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk di kawasan bandar yang ada ramai pengundi Cina.

Pengundi Cina di Sabah tolak DAP. Jadi adakah kita mahu kata pengundi Cina di Sabah pun rasis terhadap DAP? Sudah tentu tidak. Mereka buat pilihan politik. Sama juga dengan rakyat Johor. Mereka berhak buat pilihan politik sendiri,” katanya.

Menurut Ka Siong, sepanjang dalam politik, beliau melihat keikhlasan Menteri Besar itu antara antara pemimpin paling tidak rasis yang pernah ditemui dan bekerjasama.

“Beliau (Onn Hafiz) tidak melihat rakyat Johor melalui lensa kaum yang sempit. Beliau benar-benar melihat semua rakyat Johor sebagai satu rakyat, satu keluarga, satu Bangsa Johor.

Malah, antara Exco Johor yang sering beliau rujuk dan beri tanggungjawab penting ialah dua wakil MCA dalam kerajaan negeri.

Katanya, Lee Ting Han memegang portfolio Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia manakala Ling Tian Soon pula memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar.

“Ini bukan portfolio kecil. Ini tanggungjawab besar yang melibatkan ekonomi Johor, pekerjaan, pelaburan, kesihatan rakyat, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment