Pemandu jangan leka dan lega dengan talian hayat

Penangguhan itu melegakan pemandu Grab untuk meneruskan operasi mereka lebih-lebih lagi yang masih menunggu keputusan ujian atau peperiksaan yang dilakukan.

APABILA seorang sahabat, pemandu teksi berkata kerajaan melakukan pusingan U atau U-turn berhubung syarat untuk perkhidmatan e-hailing beroperasi, saya katakan kepadanya : “ Bukan U-turn tetapi lampu isyarat merah sudah bertukar hijau. Pemandu boleh meneruskan perjalanan sehingga ke destinasi ditetapkan”. Kini giliran Grab (merujuk semua pengendali e-hailing) lega. Mereka diberi talian hayat kedua selama tiga bulan.

Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh sudah dijangka. Berdasarkan sambutan amat perlahan serta faktor berurusan saat-saat akhir menyebabkan ramai pemandu perlu ‘gantung’ kunci. Walaupun ramai yang menduduki peperiksaan tetapi keputusan sama ada lulus atau tidak mengambil masa yang panjang untuk pemandu Grab meneruskan proses seterusnya. Pilihan yang ada akaun kebanyakan pemandu terpaksa ditahan dan tidak boleh beroperasi mulai 12 Julai.

Penggantungan operasi ini secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada pengguna terutama di kawasan yang tidak diliputi teksi lebih-lebih lagi di kawasan perumahan di luar Kuala Lumpur. Bagaimanapun penangguhan itu melegakan pemandu Grab untuk meneruskan operasi mereka lebih-lebih lagi yang masih menunggu keputusan ujian atau peperiksaan yang dilakukan.

Sehari sebelum penguatkuasaan 12 Julai, seorang pemandu Grab membayangkan kerajaan akan melanjutkan tempoh itu. Beliau mendapat petanda itu. Seorang lagi pemandu bimbang terpaksa gantung kunci dan hilang pendapatan untuk tempoh yang lama kerana keputusan ujiannya belum keluar. Nampaknya ramai yang masih menunjukkan minat untuk terus memandu tetapi kesilapan mereka membuat keputusan yang lewat untuk memenuhi peraturan ditetapkan. Tempoh yang diberi sebelum ini sepatutnya memadai tetapi mereka bersikap tunggu dan lihat.

Semalam, 12 Julai pada peringkat awal penguatkuasaan terdapat masalah tetapi khabarnya berjalan lancar.

Grab juga telah memberi notis kepada pengguna tentang kemungkinan pengguna lambat mendapatkan perkhidmatan mulai 12 Julai. Kadar tambang pula bergantung kepada situasi semasa seperti amalan sebelum ini.

Situasi ini memberi ruang kepada pemandu yang telah memiliki lesen PSV untuk meningkatkan pendapatan. Seorang pemandu wanita, memberitahu beliau mendapat tempahan yang tidak putus-putus di kawasan perumahan sekitar Bangi semalam . Walaupun jarak yang dekat tetapi cukup memuaskan. Mungkin jumlah pemandu berkurangan menjelang pengumuman penangguhan penguatkuasaan peraturan itu.

Seorang lagi pemandu memberitahu, beliau mendapat penumpang yang terpaksa membayar tambang lebih tinggi. Jika biasanya kadar tambang RM49 tetapi semalam ke lokasi yang sama kadarnya RM65. Ada juga pemandu yang dikatakan memilih penumpang, tidak melayan perjalanan jarak dekat terutama di Kuala Lumpur. Begitulah kesan terhadap hari permulaan penguatkuasaan peraturan baharu yang dikenakan ke atas perkhidmatan e-hailing.

Kini , pemandu Grab atau e-hailing boleh menarik nafas lega tetapi manfaatkanlah keputusan kerajaan itu. Peluang sudah diberi untuk mereka memikirkan semula kerjaya ini.

Pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat ditetapkan kerajaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan ditetapkan. Kerajaan juga telah menetapkan kadar komisen pemandu e-hailing adalah maksimum 20 peratus dan pemandu teksi pula, 10 peratus.

Ini juga satu kelegaan buat pemandu Grab khususnya. Grab pula memberi pelbagai insentif untuk menjaga pemandu-pemandu mereka supaya tidak beralih arah. Grab atau syarikat pengendali e-hailing akan terkesan jika pemandu ‘gantung’ kunci kenderaan. Justeru, syarikat e-hailing perlu lebih agresif menasihatkan pemandu mereka untuk berurusan mulai sekarang bagi mematuhi peraturan ditetapkan. Jangan tunggu lagi saat akhir.

Menurut rekod, sebanyak 31,731 calon sudah mendaftar untuk kursus dan ujian PSV di 226 institut memandu seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 25,248 calon lengkap kursus manakala bakinya, lulus ujian PSV. Di samping itu, 16,528 orang sudah menghadiri

kursus PSV yang dikendalikan EHO dan daripada jumlah itu, seramai 3,090 calon lulus ujian PSV.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan calon yang lulus PSV seramai 22,981 orang. Jumlah itu amat kecil berbanding jumlah keseluruhan pemandu. Angka itu jika tidak diperbaiki boleh melumpuhkan industri berkenaan.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/07/13/pemandu-jangan-leka-dan-lega-dengan-talian-hayat/

Related posts

Leave a Comment