Jika niat tunai haji, usah hiba dengan hibah

SEHARI dua ini penuhlah ‘kisah hiba’ hibah Tabung Haji (TH). Kalau ada lima grup WhatsApp, maka lima-lima akan masuk pelbagai analisis, pandangan dan tulisan yang sama berkaitan hibah ini. Pandangan pro dan kontra. Ada sanjungan dan ada kecaman. Ada yang berkaitan dan ada pula melencong. Entah siapa yang benar. Masing-masing punyai pandangan tersendiri. Dan apa yang pasti Melayu Islam ‘bertelagah’ lagi. Tak habis-habis isu yang dibahaskan oleh umat Melayu. Satu persatu gelanggang ‘pertelagahan’ dibuka. Selepas ini orang Melayu akan ‘diminta’ berbahas mengenai isu apa pula?

Apa kata hilangkan saja perasaan hiba itu. Tak perlu hiba lagi dengan isu-isu teknikal ini. Terimalah seadanya. Lebih baik berusaha mendapatkan kuota sebanyak mungkin. Atasi masalah kuota dengan menawarkan peluang kepada petugas-petugas haji pelbagai peringkat tugasan yang belum pernah ke sana. Bertugas sambil menunaikan haji bagi menampung kekurangan kuota. Tidaklah orang yang sama sahaja.

Terimalah hakikat salah satu ‘tujuan‘ penubuhan TH. Seperti ditegaskan, TH adalah tempat simpanan untuk mempersiap diri menunaikan haji. TH bukan institusi pelaburan yang menawarkan keuntungan berganda terhadap setiap RM yang disimpan. TH mahu mengelakkan orang Melayu (suatu masa dulu) jual tanah atau bergolok bergadai semata-mata mahu menunaikan haji. Konsep sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Maka tidak perlulah gundah gulana. Simpanlah secukupnya sedikit demi sedikit sehingga mencapai sekurang-kurangnya RM20,000.

Angka RM20,000 ini mengambil kira bakal jemaah melupakan seketika soal subsidi, dividen atau hibah yang lebih baik. Kembali kepada tujuan asal. Bersedia untuk tidak ‘bertongkat’ bagi bakal jemaah. Perbetul niat simpanan itu. Apa yang penting duit itu ‘selamat dan bersih’. Pendeposit beruntung kerana ada TH untuk menyimpan. Bersyukurlah. Sebut mengenai ‘duit bersih’, dalam keghairahan membahaskan hibah ini, janganlah sampai terkeluar soal keuntungan yang dikatakan ada unsur-unsur ‘penipuan’ dan sebagainya supaya mereka yang telah menerima tidak tersalah anggap. Berhati-hati ketika berbicara, bimbang yang dah pergi haji mahu pergi sekali lagi dengan ‘duit bersih’.

Bagi mereka yang sudah menikmati subsidi ketika menunaikan haji, terpulanglah sama ada mahu kekal bersama TH atau sebaliknya. Tidak ada paksaan. Timbul juga persoalan, untuk apa mengekalkan simpanan di TH? Lebih-lebih lagi tidak ada peluang atau pendaftaran kedua untuk menunaikan haji kerana senarai menunggu terlalu ramai. Menunaikan haji yang diwajibkan hanyalah sekali seumur hidup, itu pun jika berkemampuan. Berilah peluang kepada orang lain. Justeru perlukah mereka ini mengekalkan simpanan di TH kerana simpanan itu (jika alasan bukan untuk pelaburan) hanyalah untuk persiapan menunaikan haji.

Kecuali mereka yang mempunyai banyak wang ingin membantu TH terus ‘bergerak’ dan menjana pendapatan. Golongan ini mungkin mahu melihat TH terus ‘segar bugar’ dan hasilnya kelak boleh dimanfaatkan untuk umat Islam lain. Zakat yang dikeluarkan akan kembali kepada keluarga orang Islam yang memerlukan. Secara tidak langsung simpanan itu turut membantu jemaah lain melalui hasil hibah atau dividen walaupun dalam jumlah kecil. Konsep membantu sesama masyarakat Islam melalui simpanan. Maknanya pendeposit yang sudah menunaikan haji berhak membuat keputusan sama ada mahu kekal di TH atau sebaliknya.

Pendeposit yang belum menunaikan haji pula telah diberi petunjuk bahawa simpanan di TH hanya RM1,300 untuk melayakkan diri mendaftar sebagai jemaah haji. Jika tidak yakin dengan TH, bolehlah melabur di tempat lain termasuk perbankan Islam. Apabila nama disahkan terpilih atau menerima surat tawaran, keluarlah pelaburan berkenaan untuk dipindah ke TH bagi memenuhi jumlah simpanan yang ditetapkan. Jangan memendam perasaan dengan kenyataan yang pelbagai dan mengecewakan. Jangan mudah merajuk dengan kenyataan yang boleh menimbulkan kerisauan atau kebimbangan terhadap simpanan mereka.

Dulu pun ada orang politik yang cuba mempengaruhi penyimpan atau pendeposit menarik diri tetapi kesannya tidak seberapa. Cuma yang merugikan mereka yang belum menunaikan haji adalah giliran menunggu. Bagi yang belum tunaikan haji, jika mahu ‘menarik diri’ dari simpanan TH sekali pun jangan merosakkan angka giliran itu. Maknanya jumlah simpanan yang melayakkan mereka mendaftar perlu dikekalkan. Jangan usik. Melainkan jika muncul peraturan baharu yang akan ‘mengikat’ pendeposit dengan jumlah simpanan lebih besar. Mungkin kadar simpanan kelayakan mendaftar dinaikkan.

Bagi masyarakat di luar bandar mungkin timbul masalah bagi yang benar-benar membuat simpanan sama ada secara bulanan atau mengikut situasi semasa. Dulu golongan kurang berkemampuan ini simpan sikit-sikit di bawah bantal sebelum dibawa ke pejabat pos atau TH. Golongan seperti ini perlu diberi perhatian. Lebih-lebih lagi apabila mereka tidak mendapat maklumat berkaitan pendaftaran dan sebagainya. Memang wajar peluang diberi kepada yang pertama kali mahu menunaikan haji tetapi pada masa yang sama faktor tempoh simpanan, umur dan tahap kesihatan juga perlu diberi keutamaan.

Hakikatnya ada pendeposit yang sudah lama menyimpan atau menabung. Sejak di bangku sekolah (suatu masa dulu) mereka menyimpan sedikit demi sedikit. Merekalah penyimpan yang ‘benar-benar menyimpan’ untuk menunaikan haji. Bertahun-tahun mereka menambah simpanan walaupun dengan jumlah yang kecil selepas membuka akaun. Tidak seperti sesetengah orang yang dalam sekelip mata dapat menyediakan sejumlah wang yang mencukupi untuk melayakkan diri mendaftar sebagai bakal jemaah. Pertama kali buka akaun terus layak mendaftar.

Bagi pendeposit yang mengambil masa yang lama untuk mencukupkan simpanan, mereka kadang-kadang terlupa atau tidak tahu bila mahu mendaftar. Akhirnya mereka ketinggalan. Biar pun mereka adalah penyimpan lama tetapi giliran mereka mungkin lebih lewat berbanding pendeposit baharu.

Contohnya Pak Malau membuka akaun ketika usianya 25 tahun dengan simpanan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan. Anak Pak Malau yang berkemampuan pula membuka akaun pada usia yang lebih muda. Cucu Pak Malau juga begitu. Ketika Pak Malau sedang mengumpul duit, beliau mungkin tidak sedar keperluan mendaftar walaupun jumlah keseluruhan kos haji belum mencukupi. Mungkin tidak tahu jumlah melayakkan dirinya mendaftar. Anak Pak Malau pula terus mendaftar (tanpa menyedari bapanya belum mendaftar). Begitu juga cucu Pak Malau yang terus membuka akaun dan mendaftar. Akhirnya mungkin Pak Malau mendaftar lewat sehingga anak cucunya terlebih dahulu ke Tanah Suci. Situasi ini mungkin berlaku dahulu kerana ada yang menyangka membuka akaun bererti sudah mendaftar walaupun niat itu ada.

Mungkin TH boleh melihat semula kaedah penggiliran ini. Lihat penyimpan yang sudah lama membuka akaun dan aktif tetapi disebabkan kekangan kewangan tidak mampu menyediakan jumlah yang melayakkan mereka mendaftar atau terleka dengan pendaftaran ini. Situasi ini tentu berlaku bagi penyimpan yang mula menyimpan 40 hingga 50 tahun yang lalu. Disebabkan tidak mendaftar atau tidak tahu prosedurnya, mereka ketinggalan, lewat mendaftar sehingga tercicir di belakang berbanding pendeposit baharu yang lebih muda.

Diharapkan sesuatu dapat dilakukan terhadap pendeposit yang terus setia dengan TH tetapi lewat mendaftar. Mungkin jumlahnya kini tidak ramai.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/04/08/selak-jika-niat-tunai-haji-usah-hiba-dengan-hibah/

Related posts

Leave a Comment