Kit DIY, Singapura perluas ujian

SINGAPURA 31 Mei – Dalam usaha untuk mengesan virus Covid-19 dalam kalangan masyarakat  dengan lebih cepat, kit ujian buat sendiri (DIY) akan diperkenalkan di kaunter-kaunter farmasi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Katanya, kit ujian DIY itu lebih mudah digunakan dan tidak terlalu tidak selesa.

“Alternatif kepada ujian reaksi rantai polimerase (PCR) ini membantu kita mengesan dan mengasingkan orang dengan cepat ketika mereka paling mudah berjangkit. Ini akan banyak membantu dalam melambatkan penyebaran Covid-19,” kata Lee.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ke seluruh negara berhubung situasi pandemik Covid-19 yang disiarkan melalui televisyen dan juga Facebooknya

Lee berkata orang ramai boleh membeli kit ujian DIY ini di farmasi jika mereka risau mungkin terjangkit dengan koronavirus Covid-19.

Menurut beliau lagi, dalam norma baharu, ujian  Covid-19 juga bukan hanya dilakukan bagi kes baharu tetapi juga akan menjadi lebih kerap atau rutin.

“Kita juga akan menguji secara rutin dan kerap mereka yang kelihatan sihat, dalam pelbagai persekitaran suasana kerja, sosial atau masyarakat biasa, untuk memastikan tempat-tempat ini selamat,” katanya.

Ujian yang lebih bebas dan meluas itu dapat mengasingkan mereka yang dijangkiti serta kontak mereka secepat mungkin sebelum virus tersebut merebak.

Langkah itu juga diharap dapat memberi keyakinan kepada Singapura untuk  meneruskan acara atau perjumpaan berskala lebih besar, seperti khidmat keagamaan, permainan bola sepak, konsert dan majlis perkahwinan.

Related posts

Leave a Comment