DAP sasar PH menang 20 kerusi Negeri Sembilan

SEREMBAN 8 Jun. – DAP Negeri Sembilan akan mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dimenangi sebelum ini, dengan menyasarkan Pakatan Harapan (PH) memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi mencapai sasaran itu, DAP akan memainkan peranan untuk menyokong rakan-rakan dalam PH bagi memenangi kerusi-kerusi lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, rekod menunjukkan gabungan PH pernah memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita berharap rakyat Negeri Sembilan akan memberikan mandat kepada PH untuk terus mentadbir negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Siew Fook yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut mengesahkan akan terus mempertahankan kerusi DUN Chennah dan keputusan terbabit mendapat persetujuan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti dan jawatankuasa negeri.

Beliau juga membuat keputusan, dengan sokongan CEC serta jawatankuasa negeri, untuk mengetuai kempen pilihan raya dan bertanding pada PRN kali ini.

Mengulas mengenai mesyuarat khas yang diadakan, beliau berkata, ia bertujuan membincangkan persiapan parti bagi menghadapi PRN dan kini menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh-tarikh penting termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian.

“Kita juga menjangkakan pengundian bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan akan diadakan secara serentak, kemungkinan pada Julai nanti,” katanya yang menyatakan PH telah bersedia untuk menghadapinya.

Jelasnya, keputusan untuk membubarkan DUN dibuat susulan konflik yang berlaku apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini membentuk Kerajaan Perpaduan menarik sokongan terhadap Menteri Besar.

“Walaupun terdapat persefahaman di peringkat pusat antara BN dan PH, bahawa ADUN BN akan tetap menyokong kerajaan serta memastikan kelulusan bajet tahun depan, tapi PH merasakan ini satu risiko yang perlu ditanggung terlalu besar untuk diambil.

“Jadi, sebaik-baiknya kita kembalikan mandat kepada rakyat untuk mengadakan pilihan raya yang akan memutuskan parti mana yang mempunyai majoriti untuk mentadbir Negeri Sembilan,”katanya.

Menurut beliau, risiko utama yang perlu dipertimbangkan ialah kelulusan Bajet Negeri 2027 pada persidangan DUN yang dijadualkan berlangsung Oktober depan.

Jelasnya, sekiranya bajet gagal diluluskan, kerajaan negeri akan berdepan krisis pentadbiran kerana kerajaan tidak boleh berfungsi tanpa bajet yang diluluskan oleh DUN.

“Atas pertimbangan itu, PH memutuskan untuk membubarkan DUN dan DAP Negeri Sembilan menyambut baik keputusan tersebut serta bersedia menggalas tanggungjawab dalam pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, jentera PH dijangka dilancarkan pada Jumaat ini dan setiausaha parti, Cha Kee Chin dilantik sebagai Pengarah PRN dan akan menyelaras gerak kerja kempen bersama parti-parti komponen PH.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment