PERSIDANGAN Dewan Rakyat berakhir pada Khamis lalu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, sebagai permulaan, persidangan itu boleh dianggap berjaya. Walaupun terdapat beberapa insiden serta permohonan maaf di sana sini, masih ada ruang untuk diperbaiki. Tidak banyak yang boleh dilakukan dalam tempoh tidak sampai 100 hari. Seperti yang pernah ditulis dua minggu lalu, banyak soalan yang ditanya dan dijawab di Dewan Rakyat kebanyakannya masih bergantung kepada dasar-dasar yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Apa pun, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) berjaya meminda atau menghapuskan beberapa keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan BN. Contohnya Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD) bertukar menjadi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bertukar kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Banyak lagi yang khabarnya dilakukan oleh kerajaan PH walaupun sasaran memenuhi janji 100 hari tidak tercapai sepenuhnya. Begitu juga perbahasan di Dewan Rakyat yang berjaya mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan terdahulu dengan pelbagai label seperti perompak, zalim, kebebasan media tersekat dan lain-lain lagi.
Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga ‘panas’ dengan pelbagai ‘pendedahan atau pembongkaran’ yang sukar dijawab. Entah sampai bila isu 1MDB akan terus menghantui pemimpin-pemimpin UMNO khususnya. Selagi 1MDB tidak diselesaikan, maka selama itulah 1MDB menjadi ‘duri dalam daging’ kepada UMNO. Kerajaan PH harus menyelesaikan isu ini bukannya mengheret isu berkenaan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Rakyat juga mahu jawapan atau penyelesaian segera berhubung isu ini. Pada masa yang sama biar kerajaan teruskan kerja dan tidak selamanya berpusing-pusing menjadikan 1MDB modal untuk mengkritik kerajaan terdahulu.
Selak tidak berminat untuk mengulas lebih lanjut mengenai pemerintahan 100 hari kerajaan PH kerana seperti disebut sebelum ini, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh PH dalam tempoh yang singkat ini. Janji manifesto juga bukanlah sesuatu yang wajib dipenuhi kerana manifesto bukan kitab suci. Justeru adalah lebih baik Selak mengulas mengenai ‘pemulihan atau kebangkitan semula’. Jika PH masih berjuang mengenai janjinya kepada rakyat, bagaimana pula dengan BN khususnya UMNO? Selepas 100 hari tersungkur, apakah kedudukan UMNO pada hari ini? Adakah masih dibuai mimpi ngeri atau sudah mula belajar untuk bangun?
Amat malang ketika UMNO cuba untuk bangun selepas 100 hari, muncul pula parti Melayu yang di-namakan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra). Apa lagi orang Melayu mahu dalam berpolitik? Mengambil kira parti politik Melayu yang masih ‘bernafas’, UMNO, Pas, PKR, Amanah dan PPBM, adakah kelahiran Putra mampu menarik orang Melayu menyokongnya sama seperti masyarakat Cina memberi sokongan padu kepada DAP dan meninggalkan MCA serta Gerakan? Biarlah masa yang menentukannya. Menyelak kembali kemunculan parti baharu, Semangat 46 akhirnya dibubarkan dan kebanyakan anggotanya kembali kepada UMNO.
Bagaimanapun ketika mengulas kehadiran PPBM, bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan supaya UMNO tidak memandang remeh ke-upayaan parti itu. Katanya pada Ogos 2016: “Ini peringatan kepada parti lain terutama sekali UMNO supaya jangan mengambil mudah kerana parti ini (Pribumi) boleh jadi sebuah parti yang gagah. Kita jangan pandang rendah kerana kemungkinan Pribumi boleh mencabar kedudukan UMNO dan Barisan Nasional,’’. Sekarang PPBM sudah berkuasa. Setiap kali PRU, akan ada perubahan yang melibatkan kekuatan parti politik. Sekali air bah sekali pantai berubah. Ada parti yang semakin kuat dan ada yang semakin lemah.
Mengenai UMNO, perubahan sudah berlaku apabila barisan kepemimpinan yang baharu dipilih. Gandingan lama dan muka baharu ini belum menjangkau usia 100 hari. Keberkesanannya tidak dapat diukur dalam tempoh itu. Hala tujunya juga belum menampakkan kepastian tetapi sudah diuji dengan kehadiran Pilihan Raya Kecil (PRK).Apa pun pelbagai pandangan dilontarkan berhubung barisan kepemimpinan ini termasuk di peringkat akar umbi. Ada positif dan negatif. Pemilihan itu bagaimanapun belum menamatkan pelbagai isu berkaitan kekalahan UMNO. Timbul lagi cerita-cerita dalaman UMNO termasuk berkaitan mantan Presiden UMNO, Najib Tun Razak.
Lumrah politik, hari ini pemimpin disanjung tetapi esok belum pasti. Jika dahulu, mereka begitu lantang bersuara menjadi benteng atau berdiri di hadapan mempertahankan Presiden, hari ini nada mereka berubah. Mereka lupa, dahulu ada pemimpin UMNO pernah memperingatkan supaya tidak memberi sokongan yang membawa rebah, hari ini keadaan itu sudah menjadi realiti. Hari ini ramai yang sedar bahawa sokongan secara membabi buta tidak menjamin kekuatan parti. Serangan terhadap kerajaan terdahulu yang diterajui UMNO ketika ini yang sukar ditangkis adalah berhubung isu 1MDB. Berkaitan GST yang dimansuhkan, keadaan akan dapat dilihat selepas 1 September walaupun timbul beberapa isu panas yang berkaitan. Perbahasan berkaitan 1MDB lebih panas apabila timbul kecelaruan kenyataan oleh anggota PAC yang akhirnya mem-bawa kepada siasatan semula ke atas 1MDB. Benteng UMNO akan terus ‘diasak’ hebat. Matlamat musuh sudah tentu mahu memadamkan UMNO yang sudah kecundang dan melalui laluan yang bukannya mudah untuk bangkit.
Ibarat sudah terantuk baru tengadah, hari ini ramai pemimpin yang tidak lagi ‘menyembunyikan kuku’, menutup mulut atau mengambil jalan selamat. Mereka sudah berani bersuara, jika dulu berdiri teguh di belakang kini tampil ke hadapan. Ini satu perkembangan yang baik tetapi sejauh mana ‘perbalahan’ se-cara terbuka itu sihat untuk parti? Kritikan biarlah ikhlas supaya kesannya tidak seperti ibarat retak menanti belah atau umpama tikus membaiki labu.
Adakah gambaran negatif ter-hadap pentadbiran kerajaan BN ditambah pula ‘perbalahan’ terbuka akan melemahkan UMNO? Sejauh mana kekuatan anggota terutama di peringkat akar umbi untuk berhadapan situasi ini? Dalam menghadapi ‘pergolakan’ ini, perpaduan dalam kalangan anggota perlu diperkukuhkan, bukannya membiarkan parti dimakan anai-anai atau reput perlahan-lahan. Roh perjuangan perlu jelas. Jangan mulut cakap lain, niat di hati lain.
Dalam kekalutan membicarakan 100 hari PH, adalah lebih elok kepemimpinan UMNO fokus untuk mewujudkan perpaduan sesama mereka, bergerak seia sekata untuk bangkit. Perhimpunan Agung UMNO bulan depan harus dijadikan landasan untuk mencari kesepakatan menyusun perancangan yang mantap, bukannya saling menuding jari sehingga menjadi seperti keli di dalam tempayan!
UMA200818008C_2#