Lantikan penjawat awam secara kontrak

PUTRAJAYA  23 Jan. – Mulai 1 Februari 2024, pengambilan penjawat awam akan dibuat secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan kaedah baharu itu dalam fasa pindaan undang-undang berkaitan, dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Melalui satu pekeliling, beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

“Kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023, memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan.

“Jemaah Menteri juga bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) mulai tahun 2024,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, kaedah pelaksanaan lantikan kontrak ini adalah mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).

“Dalam hal ini, lantikan kontrak (COS) yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000,” katanya.

Susulan itu, Wan Ahmad Dahlan mengingatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) hendaklah mematuhi dan melaksanakan ketetapan ini berdasarkan peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa.

Nnn

Related posts

Leave a Comment