Bersyukurlah dipilih, istiqamah di Haramain

SELAMAT berangkat menunai­kan ibadah haji kepada 30,200 jemaah yang bakal ‘terbang’ secara berperingkat mulai Sabtu ini sehinggalah penerbangan terakhir pada 15 Ogos. Syukurlah, mereka ini adalah antara lebih 1.5 juta yang bertuah kerana terpilih, yang sebahagian besarnya telah lama menunggu giliran. Sebahagian be­sarnya sudah tentu kali pertama sementara yang lain mungkin juga kali kedua atau ketiga. Menjelang keberangkatan itu, bakal jemaah telah dibekalkan dengan pelbagai amalan yang perlu dilakukan ke­tika berada di Mekah dan Madinah. Diharapkan semua urusan berkaitan sama ada di negara ini dan di Arab Saudi dapat berjalan lancar. Tahun ini juga, bagi jemaah dari Lembah Klang serta negeri sekitarnya akan menggunakan kompleks haji baharu yang terle­tak berhampiran Lapangan Ter­bang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kompleks yang dilengkap­kan dengan hotel ini mengganti­kan Kompleks Haji Kelana Jaya. Sebelum berangkat, persiapkan­lah diri dengan penjagaan kesiha­ tan, fizikal dan mental. Tiga perkara ini amat penting bagi memastikan perjalanan ibadah itu dapat disem­ purnakan dengan baik. Berdasar­ kan pengalaman lalu, bakal jemaah tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi semasa di Tanah Suci terutama ketika kemuncak ibadah di Arafah, Muzdalifah dan Mina (Masyair). Berikutan peningkatan jumlah jemaah, kemudahan yang disediakan juga terbatas. Jika kesi­hatan baik disokong pula kekuatan mental dan fizikal, fokus kepada ibadah untuk hari-hari penting itu akan dapat dilaksanakan dengan baik walaupun berhadapan de­ngan pelbagai cabaran terutama berkaitan ‘keselesaan’.

Lupakan seketika soal kesele­saan atau kemudahan di tempat tinggal terutama semasa kemun­cak haji. Banyakkanlah bersabar dan istiqamah. Tabung Haji (TH) memang sentiasa berusaha me­nyediakan yang terbaik kepada je­maah tetapi akhirnya­ pengurusan perkhidmatan­ di sana adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Arab Saudi. Sebagai penjaga dua Tanah Suci, kerajaan Arab Saudi sentiasa berusaha­ untuk menyediakan ke­mudahan terbaik. Bagi tujuan itu, sudah tentu akan berlaku serba sedikit kekurangan­ atau kelema­han. Seperti sering kita terbaca di kawasan pembinaan yang tertulis ‘kesulitan hari ini untuk keselesaan masa depan’. Begitu juga dengan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi yang turut memberi perhatian ter­hadap pembangunan kota suci itu bagi menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada masa akan datang. Kerja-kerja pembesa­ran masjid mungkin mengganggu sedikit tetapi terpaksa dilakukan untuk keselesaan akan datang.

Bakal jemaah sama ada secara muassasah atau pakej perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran atau kerenah perkhidmatan walaupun TH atau syarikat berkaitan sebagai pemudah cara berusaha mengatur perjalanan dengan sempurna. TH tidak lepas tangan dalam meng­hadapi isu-isu ini tetapi keputu­san akhirnya­ bergantung kepada pihak muassasah. Perancangan TH memang boleh dianggap terbaik tetapi terdapat kekangan yang me­merlukan jemaah lebih memahami situasi yang dihadapi. Apa yang penting, ikutilah nasihat atau ara­han yang dikeluarkan oleh petugas TH terutama­ berkaitan pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Ingatlah, ketika berada di ‘ru­mah’ orang, ada peraturan yang perlu diikuti bak kata pepatah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Semoga kursus haji dan kemudiannya kursus perdana haji di seluruh negara dapat memberi motivasi kepada para jemaah wa­laupun pengalaman secara teori dan praktikal seperti tawaf, saei, melontar dan lain-lain lagi teramat jauh daripada realiti ibadah sebe­nar. Hakikatnya, tempoh kemun­cak ibadah haji bagi melaksanakan rukun dan wajib haji yang banyak menguji kesabaran jemaah tidak sampai satu minggu. Tempoh inilah yang sebenarnya menguji tahap ke­sabaran. Bermula dengan hari untuk ke Arafah sehinggalah kembali ke Mekah. Apabila diminta meninggal­kan bilik hotel di Mekah, bersedia­ lah untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan. Ikutilah giliran, dapat­ kan nombor bas yang tepat, semak senarai nama dan tunggu pada waktu ditetapkan. Jangan berang apabila jadual perjalanan berubah atau mengalami kelewatan. Me­nyelak kembali pengalaman lepas, ada jemaah yang dijanjikan ke Ara­fah selepas Zuhur, akhirnya mem­bawa ke Asar seterusnya hingga ke tengah malam atau awal pagi. Tiba di Arafah pula, berlaku masalah penginapan kerana ruang khemah yang mungkin terbatas. Keadaan yang sama juga berlaku di Mina. Dalam erti kata lain jangan meng­harapkan ruang tidur yang selesa sama ada di Arafah atau Mina.

Di Muzdalifah, dengan berpa­kaian­ ihram, bakal jemaah boleh bentang alas tikar yang dibekalkan. Berehat dan tidurlah di ruang ter­buka berbumbungkan langit se­mentara menunggu kehadiran bas. Di Arafah dan Mina, setiap jemaah akan dibahagikan kepada kumpulan tertentu dan ruang di dalam khemah mengikut senarai yang ditetap­kan. Patuhilah apa yang diputuskan bagi mengelakkan perebutan tem­pat atau ruang tidur. Jangan tersi­lap kumpulan kerana tindakan itu mungkin menyebabkan ada yang terpaksa tidur di luar khemah (Ara­fah) atau di lorong antara khemah (Mina). Bersabarlah kerana ada je­maah yang bertindak ‘ikut suka’ atau tersilap khemah dan enggan mengalah disebabkan keletihan atau tidak mahu ‘menyusahkan di­ri sendiri’. Perjalanan ke Muzdalifah dan Mina akan timbul masalah apabila perkhidmatan bas gagal mengikuti jadual.

Mungkin disebabkan kesesakan atau pemandu gagal mengenali destinasi. Biar pun berhadapan masalah di Arafah, jangan sam­pai terlupa untuk memanfaatkan waktu wuquf dengan amalan yang disarankan. Jagalah percakapan walaupun niat asal hanya untuk menegur. Dalam situasi begini, tanpa disedari­ jemaah menge­luarkan kata-kata yang tidak sepa­tutnya terhadap TH, petugas atau sesama rakan. Bertenang dan bersabar. Anggaplah ia sebagai ke­ hendak atau ujian daripada Allah. Elakkanlah daripada ‘perangkap’ yang dapat mengurangkan pahala. Perjalanan melontar jamrah juga satu cabaran kerana berjalan kaki sejauh tujuh kilometer iaitu 3.5 km. pergi dan 3.5 km. pulang. Bergeraklah secara kumpulan, bantulah rakan jemaah yang uzur. Sebarang masalah berkaitan ibadah juga harus dirujuk kepada petugas TH. Jangan bertindak sendirian sehing­ga merosakkan­ ibadah.

Kemudahan tandas juga satu cabaran kerana bilangan amat terhad. Situasi ini benar-benar menuntut­ kesabaran. Jagalah ke­ bersihan tandas kerana ada yang membuang botol air minuman di dalam tandas. Keadaan lebih buruk apabila jemaah lelaki yang bercukur membiarkan rambut berselerak di tandas atau tempat berwuduk. Berdisplinlah. Ingatlah kesucian itu amat dituntut oleh Islam. Surau juga terhad di Arafah dan tidak semua jemaah dapat memasukinya. Di Mina, khemah tempat tidur itulah sebagai surau kumpulan masing-masing. Kepada perokok, hormatilah jemaah yang tidak merokok atau alah kepada asap rokok. Carilah ruang yang tidak mengganggu jemaah lain. Lebih elok tidak merokok.

Akhir sekali selamat menunai­kan ibadah haji kepada seluruh umat Islam. Sama ada ambil haji, buat haji, tunai haji atau mengerja­kan haji, lakukanlah yang terbaik. Semoga segala urusan berjalan lan­car dan akhirnya memperoleh haji mabrur, makhsus, maqbul atau mardud. Diharapkan para petugas TH juga dapat meningkatkan tahap kepuasan jemaah pada tahun ini.

UMA090718008C#

Related posts

Leave a Comment