KOTA BHARU 17 Jun – Kuasa atau watikah menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.
Justeru Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan kenyataan Muhyiddin Yassin berhubung Bersatu akan menggunakan logo PN pada dua PRN itu bersifat gopoh.
“Nak guna logo PN, saya rasa ada kesilapan dari segi kenyataan. Dia ingat boleh guna dengan mudah, sebaliknya ada peraturannya. Kuasa atau watikah perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.
Bersatu nak tanding logo PN sepatutnya perlu dibincang dan diperhalusi dalam PN dan tidak sepatutnya diumum. Sebab itu saya merasakan kenyataan Tan Sri Muhyiddin ‘lorat’ (gopoh) kerana ia bersifat teknikal dan perlu dibincang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa yang dirasmikan Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud, di sini, hari ini.
Sementara itu ditanya kenyataan Bersatu yang sedia berdepan Pas pada PRN nanti, Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan, Bersatu perlu keluar daripada PN terlebih dahulu.
“Mahu lawan Pas itu pelik. Kalau betul dia nak lawan dia tidak boleh duduk dalam PN, Bersatu kena keluar la,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin pada sidang media malam tadi berkata, parti itu akan kekal sebagai komponen dalam PN serta akan menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.
Nnnn
