Menanti rentak ‘wajah baharu’ di Dewan Rakyat

SEJARAH tercipta apabila Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas bermula hari ini. Selama 20 hari bersidang sehingga 16 Ogos, banyak sejarah akan tercatat. Paling utama sudah tentulah perubahan selepas enam dekad. Selama 60 tahun Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) memerintah, kali ini Pakatan Harapan (PH) pula membentuk kerajaan. Jika dulu di Dewan Rakyat, BN berada di sebelah kanan, kini beralih kepada kedudukan kiri. Begitu juga sebaliknya. Pakatan yang menggabungkan DAP, PKR, PPBM dan Amanah berjaya menyingkirkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

PH mendahului dengan PKR memenangi 48 kerusi, DAP 42, PPBM 13, Amanah 11. Warisan dari Sabah mempunyai lapan wakil rakyat. BN pula didahului UMNO (51), MIC (2) dan MCA (1). Tiga wakil rakyat UMNO iaitu dua dari Perak dan satu Melaka beralih arah sebagai wakil Bebas. Pas pula mempunyai 18 wakil. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang meninggalkan BN mempunyai 19 kerusi. Parti lain iaitu UPKO, PBS, PBRS, Star masing-masing satu.

Dr. Mahathir Mohamad juga mencatat sejarah untuk duduk semula di kerusi No. 1 di Dewan Rakyat yang pernah diduduki selama 22 tahun bermula 1981 hingga 2003. Jika dahulu beliau pernah berganding dengan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, kini di sebelah kanannya adalah Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Daripada 222 anggota Parlimen, 90 orang adalah muka baharu. Sebelas orang lagi pernah menjadi ahli Parlimen tetapi membuat penampilan semula manakala 121 anggota pernah bersama di sidang Parlimen ke-13 sebelum ini. Selain Dr. Mahathir, turut membuat penampilan semula ialah Mohamad Sabu @ Mat Sabu, Saifuddin Abdullah, Salahuddin Ayub, Dr. Dzulkifley Ahmad dan Mukhriz Mahathir. Mereka juga mewakili parti yang berbeza berbanding sebelum ini.

Tumpuan juga sudah tentu kepada mantan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan Dr. Ahmad Zahid
Hamidi yang kini sebagai Presiden UMNO. Hari ini juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohamad
Ariff Md Yusof, 69 akan dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London itu adalah seorang yang mahir dalam undang-undang komersial, perbankan, sekuriti, arbitrasi, perlembagaan dan undang-undang pentadbiran. Berasal dari Sungai Petani, Kedah, beliau pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Malaya.

Diharapkan beliau dapat ‘mengawal’ sidang dengan lebih baik. Sesi kali ini juga sudah tentu agak berbeza dengan apa yang dialami penggal lalu yang dipengerusikan oleh Pandikar Amin Mulia. Sebagai pengamal undang-undang, anggota Amanah yang tidak aktif itu pernah mewakili parti politik dalam beberapa kes termasuk melibatkan Pas, PKR dan BN.

Apakah keriuhan seperti yang dapat disaksikan sebelum ini akan berulang? Watak-watak yang sering
bangun mencelah dan kadang-kadang mempertikaikan keputusan Speaker kini menjadi kerajaan malahan ada yang dilantik sebagai menteri. Menarik untuk melihat bagaimana pula Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Gobind Singh Deo, M.Kulasegaran, Salahuddin, Azmin Ali, Khalid Samad, Anthony Loke, Teresa Kok, Mahfuz Omar, Shamsul Iskandar Md Akin, Hanna Yeoh dan ramai lagi menjawab soalan. Jika dulu mereka bertanya, kini mereka menjawab. Begitu juga sebaliknya untuk melihat sejauh mana keupayaan mantan menteri mengemukakan soalan dan hujah. Beberapa nama yang ada termasuklah Ismail Sabri Yaakob, Mustapa Mohamed, Azalina Othman Said, Khairy Jamaludin, Shahidan Kassim, Noh Omar, Nazri Aziz, Ahmad Maslan, Tajuddin Abdul Rahman, Reezal Merican dan ramai lagi. Siapakah pula dalam kalangan pembangkang terutama BN yang mampu menjadi ‘pencelah’ yang ‘mengganggu’ persidangan? Siapa pula yang akan menjadi orang pertama diarah meninggalkan Dewan? Adakah timbul perkataan-perkataan yang dianggap biadab, fitnah, bohong, rasis, lucah dan pelbagai lagi yang mewarnai sidang yang lalu?

Semuanya bergantung kepada sejauh mana Speaker dapat mengawal keadaan supaya perbahasan
berjalan lancar. Jika dulu ada yang menggelar suasana di Dewan Rakyat umpama ‘sarkas’ dengan tingkah laku yang amat memalukan ketika wakil rakyat `bertikam lidah’, adakah kali ini suasana berbeza? Adakah pihak kerajaan yang dulu di sebelah kiri akan membalas dendam terhadap layanan yang mereka terima sebelum ini? Ada ketikanya Speaker dianggap berat sebelah dan menolak usul yang cuba dibentangkan oleh pembangkang. Mungkinkah episod seumpama ini akan berakhir sesuai dengan transformasi Dewan Rakyat?

Rakyat juga mengharapkan perbahasan yang terbaik, berwibawa dan berkualiti. Soalan yang dikemuka biarlah mendapat jawapan yang meyakinkan. Biar rakyat mendapat penjelasan terbaik daripada menteri atau timbalannya, bukan ‘melepas batuk di tangga’ tanpa fakta yang lengkap. Tidak perlulah memberi jawapan yang akhirnya menjadi modal sindiran atau jenaka di luar. Kadang-kadang banyak masa terbuang disebabkan banyak cakap kosong atau kerenah perbahasan dan persoalan yang ditimbulkan.

Mungkin ada sesuatu yang baharu akan diperkenalkan pada persidangan kali ini. Adakah tempoh siaran langsung melalui RTM akan dipanjangkan? Kehadiran anggota Dewan juga amat penting. Sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat, mereka perlu menunjukkan muka di Dewan itu bagi memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Tidak perlu loceng dibunyikan berkalikali untuk mencukupkan kuorum. Sebagai penggubal undangundang, rakyat ingin melihat wakil rakyat mereka sentiasa memenuhi kerusi di Dewan. Mereka perlu memperuntukkan masa kerana kehadiran mereka dibayar. Apa yang penting, suara rakyat dibawa ke Dewan Rakyat.

Memandangkan persidangan ini berlangsung dalam tempoh 100 hari selepas PRU-14, sudah tentu suasana sedikit sebanyak akan diwarnai isu-isu berkaitan janji manifesto PH. Banyak yang sedang diperkatakan mengenai janji-janji itu seperti pemansuhan tol, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), harga petrol dan barang dan pelbagai lagi. Bersedialah dengan jawapan beserta fakta yang meyakinkan, bukan sekadar menyalahkan kerajaan terdahulu.

Selamat bersidang!

UMA160718008C#

Related posts

Leave a Comment