PRU16 pada Oktober, November tahun ini?

KOTA BHARU 17 Jun  – Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah menggesa semua peringkat parti memperkemaskan kedudukan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang dalam jangkaannya berlangsung antara akhir Oktober hingga November ini.

Menurut Mohd Amar, ia berdasarkan perkembangan politik semasa selain desas desus berhubung perkara berkenaan.

“Tahun ini dijangkakan berlaku PRU16, dalam masa terdekat akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dan selepas itu mungkin PRN Melaka.

“Berkemungkinan selepas PRN Melaka, Parlimen akan dibubarkan kerana banyak tanda dan desas desus mengatakan PRU tahun ini, cuma masih berteka-teki dari segi bulan berapa atau tarikh.

Ada kata Julai selepas Perdana Menteri pulang dari lawatan luar negara, namun pandangan lebih kuat pada penghujung Oktober hingga November,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa yang dirasmikan Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud di sini hari ini.

Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan turut mengingatkan jentera parti supaya tidak membuat persiapan pada saat akhir.

“Kita tidak boleh jangka atau baca fikiran pengundi terutama pengundi muda kerana pemikiran mereka adalah berbeza.

“Saya juga mengingatkan jentera parti supaya tidak memandang rendah dengan kewujudan parti baharu kerana pendekatan yang mereka gunakan dapat menarik perhatian pengundi muda,” katanya.

Sementara itu Mohd Nassuruddin mengingatkan seluruh anggota parti supaya terus beristiqamah menuju kemenangan.

Katanya, banyak pihak sedang memerhatikan tindakan politik Pas serta memberikan harapan yang tinggi untuk melihat parti itu mengemudi pentadbiran negara.

Katanya, merentasi perjalanan perjuangan lebih lima dekad, beliau berkata kekuatan sesebuah jamaah bukan terletak pada usia atau jumlah ahlinya semata-mata, tetapi pada kesungguhan ahli-ahlinya untuk terus berkhidmat dan mempertahankan prinsip perjuangan dalam apa jua keadaan.

“Teruskan bekerja dan berikan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada segala arahan dan keputusan parti dalam apa sahaja keadaan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment