SEPANG 17 Jun – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa kerajaan negeri termasuk tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan.
Sebaliknya beliau menegaskan mengenai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara.
“Suka saya ingatkan YAB Perdana Menteri, pelantikan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Kenyataan itu merujuk kepada ucapan Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa rakyat Johor perlu memilih kepemimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah satu keputusan yang sukar untuk diterima oleh Perdana Menteri.
Adakah keputusan saya dan kepemimpinan BN (Barisan Nasional) memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang “sombong”? ,” soal Pengerusi BN itu.
Onn Hafiz menjelaskan, selama ini Kerajaan Johor membantu melengkapi usaha kementerian-kementerian Persekutuan demi kepentingan rakyat negeri ini.
Beliau memaklumkan setiap tahun, Kerajaan Johor membantu setiap bilik guru dan sekolah walaupun urusan pendidikan berada bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
“Setiap tahun, kerajaan negeri turut membantu setiap Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta kem tentera, walaupun perkara itu berada bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
“Kerajaan negeri juga membantu setiap hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam, walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan,” katanya.
Malah apabila hasil negeri meningkat, beliau berkata, Kerajaan Johor bukan saja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.
“Kami berbuat demikian kerana bagi kerajaan negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat.
“Bukanlah niat saya untuk mengungkit atau berbangga dengan perkara ini. Tetapi saya dengan rendah hati ingin bertanya, dalam perkara apakah yang Kerajaan Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?” katanya.
Nnnn
