Exco Kedah sedia jawab di mahkamah

SEPANG 17 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah sedia menjawab dengan data, fakta dan bukti di mahkamah berhubung dakwaannya dalam isu wujud kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tanpa saluran UPU.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhak mengambil apa jua tindakan, namun perkara itu perlu dijawab dengan fakta dan data yang jelas kepada rakyat.

Justeru beliau bersedia berdepan tindakan undang-undang berhubung dakwaannya itu dan tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung isu berkenaan dan akan mempertahankannya di mahkamah sekiranya perlu.

“Saya menghormati hak KPT untuk mengambil apa jua tindakan terhadap saya. Namun saya tidak akan menarik balik pendirian saya. Jika KPT memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Haim Hilman berkata, isu yang diketengahkan bukan serangan terhadap UA, sebaliknya berkaitan keadilan, ketelusan dan akses kepada peluang pendidikan tinggi yang adil kepada rakyat Malaysia.

Katanya, KPT perlu menjelaskan jumlah sebenar pelajar tempatan yang memasuki universiti awam melalui saluran selain UPU setiap tahun termasuk program pengajian yang terbabit.

“Penjelasan ini penting terutama bagi program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan perakaunan di universiti awam utama negara.

“Secara khusus, KPT perlu menjawab berapa ramai pelajar yang gagal mendapat tempat melalui saluran UPU tetapi berjaya memasuki UA melalui saluran terbuka dengan syarat membayar yuran penuh,” katanya.

Beliau berkata, KPT juga perlu menjelaskan mengapa terdapat pelajar dengan merit lebih rendah diterima masuk ke universiti awam apabila mereka mampu membayar yuran pengajian penuh.

Katanya, rakyat berhak mengetahui kesan pelaksanaan saluran berkenaan terhadap pelajar daripada keluarga B40 dan M40 yang bersaing berdasarkan merit menerusi UPU.

“Saya akan terus memperjuangkan ketelusan dalam sistem kemasukan UA serta kebajikan pelajar, khususnya hak pelajar daripada keluarga B40 dan M40.

“Jika perkara ini akhirnya diputuskan di mahkamah, saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk kebenaran, fakta dan bukti dikemukakan secara terbuka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan KPT memandang serius beberapa tuduhan berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam yang terus diulang oleh Haim dan sedang mempertimbangkan tindakan perundangan berhubung perkara berkenaan.

Malahan Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat laporan polis berhubung dakwaan IPTA negara membuka ‘pintu belakang’ untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak orang kaya yang tidak layak.

Laporan polis itu dibuat Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Bakhari Che Mohamed Ariff di Balai Polis Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Bakhari mendakwa kenyataan Haim Hilman boleh memberi gambaran negatif kepada masyarakat terhadap kerajaan, universiti awam dan sistem kemasukan pelajar ke universiti awam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment