MCA, Gerakan Satu Hati! Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) ini yakin dapat mencatatkan prestasi ‘lebih baik’ berbanding dua pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Perhimpunan MCA-Gerakan Teguh Bersama yang berlangsung awal bulan ini menjadi titik tolak kepada parti-parti berkenaan untuk memadam rekod buruk dua penggal berturut-turut. Hasrat kedua-dua parti itu perlu disambut oleh anggota parti dengan menterjemahkan semangat satu hati untuk menjamin kemenangan pada PRU yang dianggap sebagai bapa segala pilihan raya itu. Sebagai rakan sepasukan BN, siapa juga calon yang diturunkan, sokongan harus diberi. Mengundi calon MCA bermakna undi calon Gerakan, begitu juga sebaliknya. Masyarakat Cina perlu menunjukkan sokongan kepada setiap calon MCA atau Gerakan yang turun mewakili masyarakat Cina. Sokongan yang sama juga amat penting untuk calon- calon parti lain seperti UMNO, MIC, MyPPP yang mewakili BN.
Secara tradisinya, pencabar BN sama ada yang mewakili MCA atau Gerakan adalah DAP atau PKR. Kali ini, calon BN juga akan dicabar oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan serpihan Pas iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Pas juga dijangka akan terus bertanding di kawasan yang pernah ditandinginya. Pada 2013, MCA bertanding 37 kerusi Parlimen dan memenangi tujuh kerusi iaitu Labis, Ayer Itam, Tebrau, Tanjong Piai (Johor); Tanjong Malim (Perak); Bentong (Pahang) dan Alor Gajah (Melaka). Gerakan pula bertanding di 11 kerusi dan hanya memenangi Simpang Renggam (Johor). Berbanding DAP yang bertanding 51 kerusi tetapi memenangi 38 kerusi ter-masuk lima di Sarawak dan dua di Sabah. Pada kali ini di Semenanjung, DAP diperuntukkan 35 kerusi Parlimen manakala di Sabah dan Sarawak, DAP dijangka meletakkan 19 calon Parlimen.
Dalam menghadapi PRU ini, persefahaman parti komponen amat penting bagi memastikan kemenangan parti induk. Mungkin ada formula yang boleh mengurangkan ‘ketegangan’ mengenai kuota untuk parti-parti tertentu kerana matlamat utama adalah menang.
Sekadar memenuhi kuota tidak akan ke mana. Biar jumlah kerusi yang ditandingi kurang tetapi potensi untuk menang lebih cerah walaupun jumlahnya kecil. Bertanding biar mampu menang. Contohnya DAP yang diberi peruntukan untuk bertanding di semua kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu. Sasarannya sudah tentu mahu mempertahankan kemenangan dan pada masa yang sama akan berusaha menambah kerusi lain.
Walaupun DAP diperuntukkan 35 kerusi, 31 daripadanya dimenangi semasa PRU lalu iaitu Pulau Pinang (7), Perak (7), Selangor (4), Kuala Lumpur (5), Negeri Sembilan (2), Melaka (1), Johor (4) dan Pahang (1). Lima kerusi lain yang ditawarkan kepada DAP kini disandang oleh BN iaitu Bentong dan Cameron Highlands (Pahang); Ayer Hitam dan Labis (Johor) dan Telok Intan (Perak). Untuk rekod, BN memenangi kerusi Telok Intan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 31 Mei 2014 selepas kematian wakil rakyat DAP, Seah Leong Peng. Se-masa PRU-13, calon DAP itu me-nang dengan majoriti 7,313 undi mengalahkan calon BN, Mah Siew Keong. Bagaimanapun Siew Keong memenangi PRK dengan majoriti 238 undi mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud. Adakah DAP masih
berpeluang memenangi kerusi Telok Intan?
Perkembangan terakhir pula menunjukkan DAP menyerahkan satu kerusi untuk PAN iaitu Ayer Hitam, Johor yang diwakili oleh Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong. DAP mengambil langkah taktikal dalam pertarungan ini. Menyelak kembali keputusan PRU-13, BN memenangi kerusi Ayer Hitam selepas mengalahkan calon Pas, Hu Pang Chaw dengan majoriti 7,310 undi. Pang Chaw ketika itu adalah Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas. Beliau kini adalah Exco PAN.
DAP juga memberi laluan kepada PPBM bertanding di kawasan Parlimen Tanjong Piai walaupun pada PRU lalu, DAP meletakkan calon Melayu menghadapi MCA. Apakah strategi DAP kali ini bagi ‘membantu’ calon Melayu PPBM melalui sokongan pengundi Cina? Begitu juga dengan Alor Gajah yang ditandingi DAP sebelum ini diserahkan kepada PPBM yang mungkin meletakkan calon Melayu.
Begitulah percaturan DAP untuk memastikan kemenangan rakan Pakatan Harapan. Di atas kertas, DAP kelihatan mengambil sikap ‘menyerah’ atau ‘memberi’ bukan ‘bertukar’ atau menuntut kerusi. Adakah parti-parti komponen BN bersedia melakukan tindakan yang sama? DAP mungkin rasa tergugat dengan kerusi yang dimenanginya terutama di Pulau Pinang berikutan beberapa isu yang timbul melibatkan pemimpin utamanya.
Fokus DAP lebih terarah untuk mengekalkan kerusi yang berpotensi untuk dipertahankan. Mungkin strategi ini juga yang harus digunakan oleh MCA dan Gerakan untuk memenangi semula kerusi-kerusi berkenaan. Eloklah kedua-dua parti itu memberi tumpuan untuk memenangi kerusi yang berpotensi untuk menang bukan sekadar memenuhi kuota sama ada peruntukan itu dikekalkan atau dituntut oleh parti berkenaan. Parti-parti lain juga perlu ‘berkorban’ untuk kali ini supaya kemenangan berpihak kepada BN.
Kemungkinan kerusi yang akan ditandingi MCA dan Gerakan lebih sesuai diwakili parti komponen lain. Beberapa kerusi boleh dilakukan peralihan atau pertukaran parti. Cuma sejauh mana parti komponen mahu bertolak ansur atau tetap mempertahankan kuota. BN boleh menyelesaikan isu pengagihan melalui perundingan supaya polemik tidak berpanjangan.
Usah ragu-ragu lagi untuk meletakkan calon dan parti yang lebih berpotensi untuk menang. Bersedialah untuk menilai keupayaan sendiri bukannya membuat tuntutan dengan pelbagai alasan. Di Pulau Pinang misalnya, Gerakan, MCA dan MIC mungkin perlu memberi fokus kepada sejumlah kerusi yang mampu dimenangi sekali gus membantu UMNO (jika kekal dengan jumlah kerusi sekarang) membentuk semula kerajaan BN.
Kata orang lebih baik ada daripada tiada. Amat baik jika MCA, Gerakan dan MIC dapat bergabung
menyumbang sejumlah kerusi pada kali ini, bukan tewas semuanya. Pada masa yang sama, harus diingat, bahawa kemenangan parti politik juga bergantung kepada calon.
Dilema yang dihadapi di beberapa kawasan yang dianggap menjadi majoriti pengundi sesuatu kaum tetapi diserahkan kepada parti yang mewakili kaum lain. Di sesetengah kawasan, ada kecenderungan
parti meletakkan kaum yang mewakili majoriti pengundi. Contohnya, di Bandar Tun Razak apabila dua penggal berturut-turut, PKR menang kerusi itu melalui calon Melayu, Khalid Ibrahim.
Kali ini, sekali lagi PKR akan bertanding mempertahankan kerusi itu, mungkin juga calon Melayu.
Dalam hubungan ini, adakah komponen BN boleh berkompromi? di sinilah formula pengagihan
kerusi amat penting untuk merintis kemenangan. Syaratnya tiada sabotaj!