PH sedia kerjasama dengan syarat…

KUALA LUMPUR 10 April – Pakatan Harapan (PH) sedia berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat tanpa melibatkan kleptokrat.

Majlis Presiden PH mengambil pendekatan “Khemah Besar” bagi menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik mereka bagi memulihkan demokrasi negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, PH menyatakan perkara itu diputuskan dalam pemukiman PH selama dua hari yang berakhir pada Jumaat.

“Kami akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

“Ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PH juga akan mengumpulkan tandatangan semua ahli Parlimen yang menyokong pembukaan semula Parlimen menerusi satu memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Related posts

Leave a Comment