Apa sebenarnya punca ugut sokong pembangkang?

BENARKAH  70 peratus so­kongan pemandu teksi pada Pilihan Raya Umum  Ke-14 (PRU-14) akan beralih kepada pembangkang? Pendirian itu dikaitkan dengan dakwaan rasa tidak puas hati golongan pemandu teksi ter­utama di Lembah Klang berhubung ‘layanan’ terhadap industri itu. Khabarnya pemandu teksi dianak-tirikan oleh kerajaan berbanding pemandu GrabCar dan Uber. Sukar mahu menjawab persoalan ini kerana apa yang dikatakan sebagai ugutan itu datang daripada seseorang yang tidak pasti sama ada 100 peratus pemandu teksi bersetuju dan menyokong kenyataan beliau atau mengenalinya sebagai pemimpin golongan yang terlibat secara langsung dalam industri teksi. Adakah suara itu mewakili pemandu seluruhnya atau sekadar mewakili kumpulan tertentu yang dipimpinnya?

Terdapat pelbagai persatuan teksi sama ada yang mewakili pengusaha, pemandu atau pemilik teksi. Teksi pula pelbagai seperti teksi bajet, premier, eksekutif dan Teksi 1Malaysia. Ramai pemandu yang dikatakan sekadar menjadi ahli persatuan pada peringkat awal untuk ‘melengkapkan’ borang permohonan permit individu. Selepas itu sama ada mereka membawa diri masing-masing atau tidak dimaklumkan mengenai perkembangan persatuan. Dalam sesetengah isu, banyak tindakan yang dilakukan berhubung rasa tidak puas hati terhadap kerajaan hanya melibatkan kumpulan tertentu. Masing-masing mempunyai pendirian sendiri. Tidak semua sepakat da­lam menghadapi sesuatu itu.

Justeru sukar untuk menentukan sejauh mana ugutan itu merupakan pernyataan sebulat suara oleh pemandu teksi. Apa pun yang pasti, ramai pemandu teksi marah atau tidak puas hati, cuma yang membezakannya tahap kemarahan mereka. Persoalannya, sejauh mana kemarahan itu akhirnya diterjemahkan sehingga ke dalam peti undi de­ngan menolak kerajaan sekarang pada PRU-14? Dalam kalangan pemandu teksi ada yang menjadi anggota UMNO, MCA, MIC, Gerakan, MyPPP, Pas, PKR, DAP, PAN, PPBM, Kimma, IPF dan macam-macam lagi. Ada juga yang tidak menganggotai mana-mana parti tetapi menyokong parti tertentu. Tidak kurang juga yang berkecuali. Mereka ini pula dalam golo­ngan yang memandu secara tetap atau secara sambilan. Mereka juga mungkin penerima BR1M.

Tidak dinafikan kehadiran Uber dan GrabCar menjejaskan pendapatan pemandu teksi tetapi pada masa yang sama mengurangkan beban pengguna. Tambang misalnya­ lebih murah walaupun ada ketika hampir sama atau melebihi tambang teksi bermeter. Semuanya­ bergantung kepada keadaan semasa. Tambang akan berbeza ketika waktu puncak. Contohnya, ada ketika dari lokasi A ke B tambang teksi mencecah hampir RM10 tetapi melalui GrabCar, kadang-kadang RM8, RM7 dan jatuh kepada RM6. Keadaan inilah yang memihak kepada pengguna. Akhirnya­ kerajaan juga dalam kea­daan tersepit­ antara pemandu dan pengguna. Kebajikan kedua-dua belah pihak harus dijaga. Soal sama ada pemandu GrabCar pula tertekan, itu soal lain kerana sudah memilih industri itu.

Berbalik kepada ugutan terhadap kerajaan, apakah yang mendorong keadaan ini berlaku? Apa sebenarnya industri teksi mahu kerajaan lakukan? Jika ditanya kepada pemandu, mereka me­ngakui wujud ketidakadilan kerajaan dalam ‘melayani’ pemandu teksi dan GrabCar. Pihak kerajaan pula menafikan dakwaan itu. Dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menegaskan sama ada teksi bermeter atau GrabCar, kedua-dua belah pihak bersaing di landasan yang sama secara adil kerana penguatkuasaan undang-undang turut terpakai kepada pemandu GrabCar/Uber. Jika itu yang menjadi puncanya, maka isu itu sepatutnya tidak mendorong untuk menentang kerajaan.

“Ya, mereka bersaing dalam mendapatkan pelanggan tanpa terkecuali untuk mematuhi per-aturan yang ditetapkan seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala, perlin­dungan insurans Perkeso dan kad pemandu,’’ katanya seperti disiar­ kan pada 23 Ogos 2017. Itulah sebahagian isu yang terus dibangkitkan oleh pemandu-pemandu teksi. Tanyalah mereka apa yang membezakan GrabCar/Uber dan teksi bermeter. Jawapannya akan berkisar kepada apa yang dijelaskan oleh Nancy. Sejauh mana­ pelaksanaan dan penguatkuasaannya? Adakah peraturan itu masih belum terlaksana atau tidak dipedulikan disebabkan tidak ada penguatkuasaan? Kerajaan perlu memberi gambaran yang jelas mengenai apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu teksi ini. Kegagalan menjelaskan isu ini serta membuktikan apa yang sudah dilaksanakan akan menyebabkan persepsi buruk terhadap kerajaan berterusan.

Pada masa yang sama, wujudkan semula beberapa insentif untuk pemandu teksi seperti bantuan tayar. Isu terkini yang berlegar dalam kalangan pemandu teksi apabila dikatakan wujud hentian GrabCar di beberapa lokasi seperti di pusat membeli-belah dan stesen kereta api. Adakah GrabCar boleh beratur di situ untuk mengambil penumpang? Pemandu teksi mempersoalkan kenapa perlu ada hentian itu sedangkan sistem yang digunakan ‘ambil dan turunkan’ penum­pang? Pemandu juga mendakwa dalam isu penguatkuasaan, mampukah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan terhadap pemandu GrabCar/Uber yang meletak kereta di tepi-tepi jalan untuk me­nunggu panggilan penumpang?

Bagi mereka, SPAD lebih mudah bertindak kepada pemandu teksi kerana ‘wajah teksi’ itu yang memang mudah dikenali berbanding GrabCar. Kebanyakan teksi yang menunggu di tepi-tepi jalan akan segera meninggalkan lokasi kerana tidak mahu banyak soal dengan SPAD.

Berkaitan dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pemandu­   yang  memajak ken­deraan atau  permit syarikat, pihak kerajaan telah mengambil beberapa tindakan­ bagi mengu­­rangkan beban itu dengan  mengeluarkan permit individu. Bantuan geran RM5,000 juga diberikan.

Mungkin yang menimbulkan masalah bagi pe­mandu yang lanjut usia, tidak layak­ lagi mendapat pinjaman institusi kewangan. Ramai­ juga yang sudah lanjut usia menyerahkan semula teksi dan tidak menyambung permit selepas tamat tempoh sewa beli dengan syarikat.

Akhirnya akan sampai ketika­nya, apa yang membezakan teksi dan GrabCar/Uber hanyalah tambang, warna dan ‘jambul TEKSI BERMETER’. Ketika itu mampukah teksi bermeter meneruskan operasi di Lembah Klang? Isu ini dibincangkan dalam ruangan Selak keluaran 25 Disember lalu. Di bawah tajuk Selama mana teksi bermeter mampu bertahan, penulis turut menyentuh beberapa masalah yang semakin menekan pemandu teksi. Salah satu daripadanya ialah stesen NGV yang semakin berkurangan. Tidak perlu menyalahkan pemandu teksi yang tidak menggunakan e-hailing sebaliknya ‘meronda’ untuk mencari penumpang.

Tidak semua penumpang me­nggunakan e-hailing. Ada juga pemandu ‘lama’ yang tidak ce­­kap menggunakan telefon. Ha­kikatnya sistem ini sudah dite­rima oleh kebanyakan pemandu teksi. Menyelak kembali sistem mengambil penumpang melalui panggilan ini, bukanlah sehari dua pemandu mendapatkan penum­pang melalui telefon. Dulu, kebanyakan syarikat teksi mempunyai sistem radio teksi dan beralih kepada MyTeksi yang kemudiannya nama teksi ‘ditenggelamkan’ dengan GrabTaxi.

Hakikatnya, jika benar wujud keadilan persaingan seperti dikatakan oleh Nancy Shukri, pemandu teksi tidak ada pilihan lain kecuali meneruskan cabaran mereka atau sama-sama beralih kepada GrabCar/Uber. Mereka tidak ada pilihan lain.

UMA150118010C#

Related posts

Leave a Comment