Fokus satu matlamat bukan ‘serampang dua mata’

MINGGU ini, sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan menjadi tumpuan penggiat parti politik terutama UMNO. Di Dewan Merdeka akan berhimpun perwakilan UMNO dari seluruh negara (kecuali Sarawak). Perhimpunan Agung UMNO kali ini menjadi tumpuan kerana yang terakhir diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-14).

Ucapan dan perbahasan bukan sekadar menjadi tumpuan anggota UMNO tetapi juga parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka ingin melihat sejauh mana kekuatan parti itu dan apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pemimpin UMNO bagi memastikan kesinambungan parti pemerintah itu dalam menghadapi PRU akan datang. Lebih menarik perhatian apabila PRU kali ini dianggap sebagai ibu segala pilihan raya.

Sebenarnya gendang PRU sudah dipalu sejak akhir tahun lalu apabila perwakilan berhimpun di tempat yang sama.

Ketika itu Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden sudah pun memberi tanda-tanda supaya bersiap siaga menghadapi PRU-14 walaupun tempoh Parlimen akan berakhir pada Jun tahun depan.

Najib juga semasa sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 pada Mei lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil sudah membayangkan PRU semakin dekat. Malam itu di hadapan hampir 100,000 anggota dan penyokong UMNO, beliau berkata: “Saya nak tanya tuan-tuan, kita sudah cukup kuat atau tidak? Kita sudah cukup bersedia? Esok boleh bubar parlimen? Ini lah semangat kita…semangat luar biasa UMNO…siapa kata UMNO tak kuat? kalau dia kata UMNO tak kuat, tengok saja lah perhimpunan ini.”

Mungkin soalan itu akan ditanya sekali lagi kepada perwaki-lan. Jawapan yang biasa didengar sudah tentulah ‘kami bersedia’.

Sudah setahun berlalu, cuma sejauh mana persediaan itu atau bunyi gendang yang dipalu semakin sayup kedengaran? Gendang perlu dipalu lagi supaya mereka yang mendengarnya terjaga dari lamunan.

Tidak ada pilihan lain kecuali mengadakan PRU pada tahun hadapan yang banyak menjangkakan pada Mac, selepas sambutan Tahun Baharu Cina. Adakah UMNO sudah bersedia turun ke ‘medan pertempuran’ bagi menghadapi ‘peperangan’ politik ini? Maksud UMNO bersedia ini meliputi keseluruhan sama ada jentera parti atau anggota parti di segenap peringkat.

Mungkin anggota bawahan su-dah bersedia pada bila-bila masa untuk turun ke medan pertem-puran tetapi bagaimana pula dengan pemimpin di peringkat bahagian dan pusat? Adakah mereka masih rasa selesa atau berpuas hati dengan gerak kerja yang dilakukan sejak berakhirnya perhimpunan yang lalu? Atau adakah mereka masih berkira-kira atau tertanya-tanya mengenai kedudukan dalam PRU kali ini? Siapa terpilih sebagai calon?

Dalam keadaan genting menjelang PRU ini, janganlah perhimpunan ini dijadikan medan untuk melobi sebagai calon atau berangan-angan menjadi wakil rakyat.

Ramai yang mungkin layak sebagai calon tetapi disebabkan kerusi terhad, tidak semua layak. Banyak kriteria diperlukan tetapi kadang-kadang disebabkan strategi tertentu, mereka yang mulanya dijangka dipilih akhirnya tidak diberi tempat. Sudah tentu keadaan ini akan menimbulkan masalah dan mencipta kekalutan di peringkat tertentu. Dalam hal ini, setiap peringkat perlu bersedia menerima siapa sahaja calon diputuskan.

Munkin calon langsung seperti yang dibayangkan sebelum ini. Tidak mustahil juga jika wujud kerjasama dengan parti lain (lawan yang boleh menjadi kawan dalam keadaan terdesak) bagi memasti-kan kerusi berkenaan menang dan tidak terlepas kepada lawan yang tidak boleh menjadi kawan.

Apa yang penting matlamat untuk menang dan mengekalkan kuasa tercapai dan tidak terlepas kepada pihak lain.

Perhimpunan ini juga harus memberi peringatan tegas kepada seluruh anggota parti supaya bekerja keras dan tidak rasa selesa dengan apa yang ada. Jangan sekadar berikrar di hadapan pemimpin tetapi apabila pulang ke kawasan masing-masing, ramai yang ‘lupa diri’. Biarlah ikrar dan janji di PWTC diterjemahkan di kawasan masing-masing. Kata orang janji ditepati, kata di kota. Jangan di hadapan berjanji lain, di belakang buat lain. Tumpuan juga perlu diberi untuk mengekalkan kerusi yang ada dan pada masa sama menambah jumlah supaya keadaan lebih selesa. Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Pada masa sama, sejauh mana pula strategi untuk mendapatkan semula negeri-negeri yang ketika ini di bawah pentadbiran bersama DAP, PKR dan Pas. Begitu juga sejauh mana kedudukan negeri yang semasa PRU lalu sekadar ‘cukup makan’. Perhimpunan terbesar UMNO ini juga mungkin yang terakhir sebelum pemilihan pemimpin peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi (MT). Jangan pula ada pemimpin yang hilang fokus semata-mata mahu mencari pengaruh sebagai persediaan untuk bertanding dalam pemilihan.

Ada yang beranggapan sebagai wakil rakyat, kedudukan mereka lebih terjamin apabila menawarkan diri untuk bertanding jawatan parti. Elakkan situasi ini kerana fokus perhimpunan adalah untuk menang PRU, bukannya ‘menang’ sebagai individu yang dipilih menjadi calon PRU dan calon untuk pemilihan akan datang. Jangan jadikan perhimpunan ini mencapai dua matlamat.

Perhimpunan terakhir ini seharusnya meletakkan parti dalam keadaan yang lebih kukuh berbanding perhimpunan lalu. Menarilah ikut rentak gendang PRU yang diakhiri dengan kemenangan bukannya rentak tari untuk menjadi calon atau tujuan lain sehingga melemahkan parti.

Presiden UMNO pernah menyamakan pilihan raya sebagai medan perang. Berada di medan peperangan memerlukan senjata dan strategi yang baik supaya tidak mudah ditewaskan oleh musuh. Bagi tujuan ini, seluruh anggota UMNO perlu menyokong segala usaha yang dirancang termasuk strategi, logistik dan peralatan dengan baik sebelum ‘tembakan’ pertama dilepaskan. Dalam hal ini, sudah tentu UMNO ketika ini mempunyai anggota atau ‘tentera’ yang benar-benar setia, berdisiplin dan mempu-nyai komitmen yang tinggi untuk menghadapi ‘peperangan’ ini.

Kesetiaan adalah senjata penting dalam menghadapi PRU ini. Tidak ada maknanya jika mempunyai tentera yang ramai dan kuat tetapi tidak setia kepada pasukan. Anggaplah PRU ini sebagai perkara ‘hidup dan mati’. Selamat bersidang!

UMA041217011C_2#

Related posts

Leave a Comment