Bantu KTMB hadapi saingan, cabaran di landasan

GERABAK kargo tergelincir lagi. Entah kali yang ke berapa. Insiden pada 23 November lalu berlaku selepas kejadian sama pada 21 Ogos lalu dekat Segambut. Maknanya berulang selepas tiga bulan insiden yang menyebabkan masalah kepada para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Seperti biasa siasatan akan dilakukan sama ada perkhidmatan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Apakah punca­nya? Adakah kerana masalah teknikal atau kelemahan manusia?

Jika landasan yang menjadi masalah, perbaiki segera supaya tidak berulang pada masa hadapan atau sehingga melibatkan tragedi ke atas tren membawa penumpang sama ada yang menggunakan perkhidmatan komuter atau Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

KTMB atau pihak kerajaan per-lu sedar bahawa pengangkutan rel – komuter dan ETS sudah menjadi pilihan masyarakat di sekitar Lembah Klang dan juga mereka yang ingin melakukan perjalanan antara bandar iaitu Gemas-Seremban-Kuala Lumpur-Ipoh-Butterworth-Alor Setar-Padang Besar.

Begitu juga dengan komuter yang menghubungkan Tampin-Seremban-Batu Caves serta Ra­wang-Pelabuhan Klang.

Kawasan gerabak tergelincir pula merupakan laluan utama Komuter dan ETS. Jika berlaku kegelinciran gerabak kargo, per­khidmatan tren penumpang akan terjejas.

Kegelinciran gerabak bukan seperti lori atau treler terbabas di lebuh raya yang boleh dibersihkan dalam masa singkat.

Dalam kejadian baru-baru ini, Pengerusi Keretapi Tanah Me­ layu Berhad (KTMB), Nawawi Ahmad mahu Jabatan Kejuruteraan KTMB mengkaji semula selekoh landasan di kilometer 386.0 antara Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur.

Jelas beliau, selekoh tersebut mungkin menjadi antara punca kegelinciran 12 gerabak tren kargo itu. Pernah berlaku kereta api barang KTMB bersama 41 gerabak yang dalam perjalanan dari Kuang, Selangor ke Tasek, Ipoh untuk mengambil simen tergelincir selepas mengalami kerosakan dan kebakaran kecil pada bahagian enjin di Kampung Bakap berhampiran Stesen KTMB Batu Gajah.

Berdasarkan insiden berkaitan, untuk jangka masa panjang, KTMB perlu melakukan sesuatu supaya insiden sama tidak terus berulang yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna yang sudah selesa dengan perkhidmatan­ komuter atau ETS.

Arahan Suruhanjaya Pengang-kutan Awam Darat (SPAD) supaya KTMB menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan merupakan satu langkah yang tepat.

Jika boleh kaji semula per­khidmatan itu. Maksudnya adakah merugikan jika penggantungan itu melibatkan lokasi yang berisiko. Mungkinkah tanpa perkhidmatan kargo memberi impak besar atau sama ada perkhidmatan penum­pang lebih menguntungkan.

SPAD juga menyifatkan kejadian tersebut sebagai tidak boleh diterima dan mengarahkan KTMB mempercepatkan siasatan serta mengemukakan laporan penuh­ bagi mengenal pasti punca sebenar kegelinciran itu.

Turut menarik perhatian ialah apabila SPAD mengarahkan KTMB mempercepatkan projek naik taraf Lan-dasan Keretapi Berkembar Lembah Klang (KVDT).

Projek itu bertujuan menaik taraf rangkaian rel sepanjang 42 kilometer terutama di landasan sejauh tujuh kilometer­ antara Simpang Batu dan Stesen Kuala Lumpur kerana indeks kualiti landasan dalam sektor itu perlu dipertingkatkan dengan segera.

Perancangan bagi mening-katkan mutu perkhidmatan ETS dan komuter perlu dilakukan mulai sekarang supaya perkhidmatan berkenaan tidak ketinggalan selepas kehadiran Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Begitu juga dengan kemajuan perkhidmatan MRT dan LRT yang lebih baik berbanding tren KTMB. Kita mengalu-alukan hasrat memperkenalkan koc kelas perniagaan ETS mulai tahun hadapan. Setiap satu daripada enam koc ETS akan dinaik taraf yang mempunyai 36 tempat duduk yang lebih selesa.

Penumpang juga dapat menonton tayangan video di skrin yang disediakan pada setiap kerusi mereka. Pengenalan kelas perniagaan ini secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah tempat duduk keseluruhan kecuali berlaku penambahan koc.

Menyentuh soal koc, adalah mendukacitakan bagi pengangkutan awam yang amat mendesak hanya akan menerima set gerabak ETS yang diluluskan pada Bajet 2016 pada tahun 2018.

Khabarnya pada penghujung tahun. Di mana silapnya? Apakah unjuran keperluan yang dilakukan bagi memenuhi kehendak pengguna?

KTMB boleh memperkenalkan apa sahaja untuk pengguna termasuk koc kelas perniagaan, sistem tiket dan sebagainya tetapi pastikan tidak ada gangguan berhubung masa perjalanan termasuk disebabkan masalah teknikal atau gerabak tergelincir.

Secara purata, seramai 7,000 orang menggunakan perkhidmatan ETS setiap hari iaitu pada hari biasa, manakala pada hujung minggu serta cuti umum pula jumlah itu boleh meningkat sekali ganda kepada 14,000 orang.

ETS merupakan perkhidmatan­ kereta api ekspres antara bandar dilancarkan sejak tahun 2010 yang melibatkan 44 buah stesen­ utama di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan penggunaan 15 set tren jenis Class 93 dan 91.

Ia menawarkan 40 perjalanan bagi laluan Gemas-Padang Besar. Setiap tren mempunyai enam gerabak yang mampu memuatkan sehingga 350 penumpang pada satu-satu masa.

Di samping keperluan ETS, perkhidmatan komuter terutama di Lembah Klang juga tidak harus dilupakan. Sudah banyak keluhan pengguna mengenai perkhidmatan­ ini tetapi mereka hanya mampu bersabar dan me­nerima apa yang ada.

Kata orang lebih baik ada daripada tiada. Menyedari keperluan pengguna di utara, KTMB mengambil langkah yang tepat apabila melancarkan Perkhidmatan KTM Komuter Enam Koc (SCS) di sektor Utara.

Dua set tren SCS dipinjamkan dari Lembah Klang bagi mengurangkan masalah kesesakan penumpang pada hari Sabtu dan Ahad.

Perkhidmatan ini membabitkan laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar. Purata jumlah penumpang ketika ini seramai 12,000 orang sehari dan akan meningkat kepada 17,000 orang dengan tambahan dua tren komuter SCS itu. Persoalannya sampai bila harus dipinjamkan?

Sekali lagi akan berlaku kekurangan di sana sini ketika LRT, Monorel dan MRT begitu gah di laluan masing-masing.

UMA271117010C#

Related posts

Leave a Comment