KELMARIN, saya menolak pelawaan seorang rakan dari Sabah yang mahu memberi anak pokok durian Musang King yang dihadiahkan kepada perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO. Beliau menawarkan anak pokok itu apabila saya bertanyakan mengenai hadiah istimewa daripada Presiden UMNO, Najib Tun Razak. Saya menjangka, beliau tidak mahu bersusah payah membawa anak pokok itu menaiki pesawat. Namun beliau mengubah fikiran dan membawa bersamanya pulang. Saya menolak tawaran itu kerana bimbang, tidak mampu menjaga hadiah itu dengan baik sehingga mungkin pokok itu layu dan mati. Sekadar mengorek lubang dan tanam tidak ada masalah tetapi untuk menjaganya dengan baik mungkin bermasalah. Khabarnya, Musang King jika ditanam kena pada tempatnya dan dijaga dengan baik boleh membawa hasil dalam tempoh lima tahun akan datang.
Jika ditanam menjelang Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14), kemungkinan PRU berikutnya, perwakilan akan memperoleh hasil. Kepada para perwakilan, jagalah Musang King itu dengan baik supaya ia benar-benar memberi hasil. Walaupun hanya sepokok, itulah tanda kenangan daripada Perdana Menteri. Menjaga ‘cenderamata hidup’ ini tidak mudah seperti menjaga cawan, buku atau beg yang disimpan di dalam almari dan sekali-sekala dikeluarkan untuk dilap, membersih habuk atau diubah kedudukannya. Sebaliknya pokok perlu dibaja dan disiram. Tidak pasti apa tujuan di sebalik Najib menghadiahkan Musang King sebelum menghadapi PRU 14 yang dianggap bapa segala PRU. Jika dianggap simbolik supaya perwakilan menjaga UMNO untuk terus ‘subur’ seperti Mu sang King yang bernilai tinggi, memang kena pada masanya.
Elok diselak serba sedikit mengenai Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit. Isi durian ini berwarna kuning pekat, durinya bersegi, sementara pangkal tangkainya tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit. Masyarakat Cina tempatan menggelarkan raja buah itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud raja kucing gunung iaitu merujuk kepada bentuk isi durian yang mirip posisi seekor kucing sedang tidur. Panggilan itu digunakan secara meluas sehingga ‘Mao Shan’ ditukar kepada sebutan Musang dan ‘Wang’ ditukar kepada King. Memilih Musang King juga perlu berhati-hati supaya tidak ditipu dengan baka lain. Periksalah ciri-ciri durian itu. Memang di luar semua durian berduri tetapi tiada siapa tahu bagaimana isinya di dalam.Harga Musang King juga lebih mahal.
Begitulah istimewanya Musang King. Berdasarkan keistimewaan ini, tidak salah jika perwakilan diberi mesej supaya dapat menjaga dengan baik parti yang selama ini dipandang tinggi berbanding parti politik lain. Keupayaan UMNO dan BN sudah terbukti. Memang matlamat parti politik adalah untuk berkuasa tetapi sejauh mana pengisiannya bagi menjamin kehidupan rakyat? Di luar, semua durian berduri tetapi isinya bagaimana? Adakah keras separuh masak serta tawar? Maka adalah lebih elok pilih durian yang sudah ada nama, dipandang tinggi atau bernilai tinggi. Ada beberapa ciri yang tidak ada pada Musang King termasuk isinya. Justeru, berhati-hatilah ketika memilih Musang King supaya kita mendapat baka yang sebenar. Ada penjual yang mendakwa Musang King tetapi hakikatnya, durian baka lain.
Samalah juga seperti menghadapi PRU14 ini. Kali ini, perwakilan bukan sekadar membawa pulang anak pokok Musang King yang bernilai tinggi tetapi juga amanat yang disampaikan olah para pemimpin parti itu. Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah bergema dengan ‘pelbagai janji dan ikrar’ dalam mempertahankan keutuhan parti itu. Kini masanya untuk perwakilan menterjemahkan apa yang diucap atau didengar di Dewan Merdeka. Jangan sekadar laungan Hidup UMNO dan Hidup BN bergema di PWTC tetapi apabila pulang ke kawasan masing masing, semangat itu pudar. Berpeganglah kepada tiga azimat yang menjadi pendinding kekebalan dan kekuatan UMNO iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
Begitu juga peringatan supaya pimpinan peringkat bahagian dalam menghadapi PRU nanti menyelesaikan masalah secara ‘musyawarah’ (berunding) dalam semangat kekeluargaan parti, menerima keputusan parti dalam menentukan calon atas semangat cintakan parti serta berjuang dan ‘bertempur’ dengan penuh berani bagi mencapai kemenangan yang besar. Bersediakah perwakilan terutama ketua, timbalan, naib naib ketua serta seluruh ahli jawatankuasa bahagian dan sayap parti menterjemahkannya dalam bentuk tindakan? Sejauh mana mereka bersedia menyahut seruan Najib bagi menentukan survival dan destini parti yang tidak pernah tewas sejak PRU 1955 itu?
Begitu juga seruan Najib su paya UMNO dan BN bergerak sebagai satu pasukan, yakin bahawa UMNO berada di landasan yang benar dan betul serta bertindak dengan pantas untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi secara syura dan kekeluargaan. Tidak dinafikan setiap kali menghadapi PRU, di kawasan tertentu akan timbul masalah calon. Apabila berlaku apa yang didakwa ‘silap’ memilih calon, ada pihak yang bertukar menjadi serigala berbulu domba, musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut. Akibatnya, kawasan yang berpotensi menang menghadapi kekalahan. Nasihat ini juga harus dijadikan pegangan kepada partiparti komponen BN. Selesaikan masalah calon. Jangan di saat akhir, pintu bilik gerakan PRU ditutup. Bagi menghadapi bapa segala pilihan raya ini, sesuatu yang di luar kebiasaan juga boleh dilakukan.
Maksudnya apa yang tidak pernah dilakukan atau dilakukan di satu dua kawasan diperluaskan. Contohnya rombakan kuota kerusi dan calon langsung. Pecahkan benteng yang selama ini menghalang peralihan kerusi parti di kawasan tertentu kepada parti yang lebih mampu membawa kemenangan. Lakukanlah sistem di luar tradisi ini jika itu boleh membantu. Bukan setakat sesama komponen BN boleh keluar daripada tradisi ini tetapi juga hubungan dengan pembangkang yang boleh menjadi sahabat. Di sesetengah kawasan, BN mungkin tidak boleh menang tetapi sahabat yang boleh dijadikan rakan lebih berpeluang untuk menang sekiranya disokong BN. Strategi ini ada baik dan buruknya tetapi itu perkiraan terakhir walaupun amat sukar diterima.
Apa pun biarlah pimpinan parti menentukannya dan anggota parti menghormati keputusan itu supaya di kawasan yang berpotensi menang tidak terlepas akibat masalah remeh temeh. Anggota UMNO juga perlu aktif bertarung di alam siber dan dunia digital sebagai pejuang siber. Ketika ini banyak serangan dibuat tetapi tidak ramai pejuang siber menyahut serangan itu. Apabila disiarkan ucapan pemimpin BN melalui media sosial, ada sahaja kritikan dibuat yang berasaskan tohmahan serta maki hamun. Malangnya di pihak UMNO atau BN tidak ramai memberi reaksi balas menangkis tohmahan itu. Amat kurang yang bersedia mempertahankan ucapan pemimpin. Anggota parti juga perlu fokus kepada solidariti bagi menghadapi PRU bukannya membuang masa memperkatakan soal pemilihan parti. Menang dahulu PRU, baharu dibicara soal pemilihan.
Walaupun ada sedikit sebanyak bibit-bibit mengenai kempen pemilihan tetapi masih belum jelas. Memang tepat kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya soal pemilihan parti dibincangkan selepas PRU. Buat sementara ini, biarlah jawatan No. 1 dan No. 2 tidak dipertandingkan. Semoga gandingan Najib dan Ahmad Zahid Hamidi lebih mudah menghadapi bapa segala PRU.
UMA111217010C#