Bantulah rakyat marhaen Pulau Pinang hadapi banjir

SABTU malam, sebelum melelapkan mata, sepupu saya di kampung menghantar WhatsApp yang berbunyi lebih kurang: “Rumah dimasuki air banjir. Luar rumah hampir paras lutut’. Terdiam seketika membaca WhatsApp itu. Ia bukan khabar gembira se­perti mana gembiranya kakitangan kerajaan negeri menerima bonus RM2,000. Sejak empat lima tahun lalu, air banjir bertandang ke dalam rumah selepas hujan berpanjangan adalah satu perkara biasa tetapi apabila disebut paras lutut, mula timbul kerisauan. Apa sudah jadi dengan Kampung Guar Perahu? Tidak tidur lena dibuatnya pada malam itu. Rupa-rupanya, bukan saya seorang tidak tidur lena me­ngenangkan nasib orang kampung. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga tidak tidur lena sehingga terpaksa menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada awal pagi untuk meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pulau Pinang perlu diselamatkan. Tanpa mengira siapa yang memerintah negeri, memang tugas ATM akan turun ke bawah untuk membantu kerana sudah menjadi salah satu tanggungjawab mereka menghulurkan bantuan ketika menghadapi bencana. Tidak perlu memohon bantuan. Apa yang penting maklumkan musibah itu dan akan sampailah bantuan. Ini soal kemanusiaan. Musibah ini juga satu pengajaran, tidak perlu dipolitikkan. Apa yang penting, buang sikap ego dan sombong, bantulah mereka yang memerlukan. Walaupun Pulau Pinang masih ada kerajaan yang boleh menguruskan bencana banjir ini, semua pihak perlu membantu. Hulurkan bantuan yang termampu, contohnya Restoran Nasmir Auto City di Seberang Perai yang menyediakan 5,000 bungkus nasi untuk diagihkan segera kepada penduduk terlibat dengan kerjasama UMNO Bahagian Permatang Pauh. Begitu juga dengan tindakan parti poliik lain, kerajaan-kerajaan negeri dan sebagainya.

Dalam keadaan bencana ini, semua harus bertindak seiring, bukan sekadar memerhati dan mengarah. Sebenarnya, ini bukan kali pertama banjir kilat melanda negeri itu. Menurut Guan Eng seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan Pulau Pinang 2018, pada 15 September 2017, Pulau Pinang dilanda hujan yang paling lebat dalam sejarah apabila menjadi mangsa tempias Taufan Doksuri. Empangan Air Itam mencatatkan 270mm hujan dalam satu malam sahaja, bersamaan dengan taburan hujan bagi sebulan. Malah, paras air Empangan Air Itam meningkat daripada 74% kepada 100% penuh dalam hanya satu malam.

Tetapi banjir kali ini memang teruk. Sekurang-kurangnya, Guan Eng mendapat pengalaman baharu bagaimana mahu men-guruskan bencana banjir, seperti yang pernah dialami rakan-rakan sejawatannya di negeri-negeri lain terutama Kelantan dan Pahang yang dilanda banjir besar tidak lama dahulu. Mungkin Guan Eng mempunyai pendekatan lebih baik berbanding dengan­ negeri lain. Tunggu dan lihat tetapi melihat dan ‘memikul’ itu amat berbeza. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu Guan Eng memikulnya. Mungkin Guan Eng boleh mengambil pengalaman Menteri Besar Kelantan, Ah-mad Yakob mengenai perkara ini.

Kembali kepada cerita malam kelmarin, selepas siang semalam, mulalah saya mendapat maklumat mengenai bagaimana te­ruknya banjir di Pulau Pinang kali ini. Tidak henti-henti WhatsApp masuk dengan gambar dan video yang menceritakan situasi di Pulau Pinang. Walaupun banjir kilat juga berlaku di negeri lain di utara tetapi fokusnya kepada Pulau Pinang yang dikatakan mengalami kesan lebih teruk. Gambar dimasuki banjir tidak terkira banyaknya,­ jalan raya tenggelam bagaikan kolam, feri Pulau Pinang hampir naik ke darat, pokok tumbang, tanah runtuh dan binaan runtuh dan macam-macam lagi. Selak tidak mahu pergi lebih jauh di kawasan bandar kerana di beberapa lokasi, termasuk di kawasan Masjid Negeri Pulau Pinang, Air Itam dan beberapa kawasan lain, banjir kilat sudah menjadi perkara biasa. Di bandar, jika mereka tinggal di apartmen, sekurang-kurangnya harta benda di dalam rumah masih selamat walaupun apabila dilihat ke bawah, seolah-olah ada kolam renang.

Saya lebih simpati nasib penduduk di luar bandar atau kampung termasuk di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Kepala Batas. Rumah yang tidak pernah dimasuki air sebelum ini turut menerima ‘air’ secara percuma ini. Memang luar biasa. Bukan satu dua buah rumah yang kena tetapi satu kampung diterjah. Sekalipun tidak banyak, sekurang-kurangnya terjahan air secara tiba-tiba akan memusnahkan sedikit sebanyak harta benda. Bagi kakitangan kerajaan negeri,­ sekurang-kurangnya mereka masih mampu untuk menampung kerugian akibat banjir itu apabila Guan Eng dalam Belanjawan Marhaen pada 2 November lalu mengumumkan bonus RM2,000 kepada mereka yang mempunyai rekod disiplin yang baik. Bagaimana pula dengan penduduk kampung yang bukannya kakitangan kerajaan?

Diharapkan kerajaan negeri mempunyai pendekatan yang lebih baik untuk membantu penduduk kampung di samping bantuan daripada pelbagai agensi atau jabatan kerajaan Persekutuan. Sekali lagi, Selak tidak mahu mempolitikkan isu bencana ini yang puncanya datang daripada pelbagai sumber termasuk ribut, hujan, air pasang dan sebagainya. Musibah akan datang pada bila-bila masa. Manusia hanya mampu berusaha dan berikhtiar untuk menanganinya. Tidak perlu me­nuding jari kepada mana-mana pihak. Carilah jalan penyelesaian. Jika saliran, perparitan atau longkang menjadi puncanya, perbaikilah kelemahan itu. Wakil rakyat yang diamanahkan untuk mewakili rakyat perlu turun ke bawah untuk meninjau kea­­daan apabila menerima laporan berkaitan banjir kilat. Di kawasan kampung, limpahan air lebih mudah memasuki rumah hanya ke­ rana sistem perparitan tidak sempurna. Kerajaan negeri DAP perlu melakukan sesuatu. Bertindaklah sebelum menjadi parah.

Tampillah dengan idea-idea baharu yang boleh mengatasi masalah banjir. Bukankah se­perti kata Guan Eng, rakyat sudah menukar krew berserta pemandunya pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan membawa masuk sekumpulan orang baru yang kurang berpengalaman, namun penuh dengan tenaga dan idea baru serta komited terhadap pembaharuan? Selaklah kembali ucapan Guan Eng semasa Belanjawan Pulau Pinang 2018 itu. Katanya, pentadbiran negeri yang lepas ibarat enjin diesel lama yang bingit dan lembap serta bergerak secara tersangkut-sangkut, membatukkan asap hitam, ia menonjolkan gejala-gejala enjin yang kurang efisien dan kotor.

Adalah tidak adil untuk me­nuduh kerajaan negeri DAP tidak melakukan sesuatu bagi meng­atasi banjir. Belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini menceritakan perbelanjaan RM531 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir sejak tahun 2008. Kerajaan Persekutuan pula digesa untuk segera menjalankan projek tebatan banjir Sungai Pinang yang menjadi punca utama banjir kilat di bahagian pulau. Pada masa yang sama diharapkan kerajaan negeri dapat mengotakan janjinya seperti dibentangkan dalam belanjawan itu untuk mengadakan pelbagai projek berkaitan banjir. Biarlah dalam isu ini, kebajikan rakyat marhaen benar-benar terbela.

UMA061117008C#

Related posts

Leave a Comment