Di sebalik harga durian Musang King, hapus tol

BANYAK yang diperkatakan mengenai Bajet 2018 yang dibentangkan pada Jumaat lalu. Semua pihak mendapat tempias atau manfaat bajet ini walaupun sedikit. Bagaimanapun, sudah lumrah, ada pihak termasuk yang kerjanya membantah dan membangkang akan sentiasa mencari jalan dan alasan untuk memperkecilkan bajet ini. Bagi golongan ini, bajet yang dibentangkan itu tidak ikhlas, kosong, sekadar ‘gula-gula’ dan macam-macam lagi. Sebaliknya, mendakwa bajet merekalah yang lebih membawa harapan kepada rakyat. Ada juga bekas pemimpin yang dulunya bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkecilkan bajet itu sedangkan, jika beliau masih bersama BN, sudah tentu mulutnya tidak lekang dengan memberi puji-pujian. Begitulah politik. Ada juga yang berkata, beberapa insentif `diciplak’ daripada apa yang dilakukan oleh pembangkang. Itu persepsi masing-masing sama ada diciplak atau seakan sama. Apa pun jika sesuatu itu perkara untuk kebaikan dan memanfatkan, maka tidak ada salahnya untuk diciplak atau dilaksanakan. Begitu juga di pihak sebelah sana, kadang-kadang terpaksa melakukan pusingan U atau ‘menjilat ludah sendiri’. Adalah lebih baik, merendah diri. Jangan hanya pandai bercakap dan berjanji tetapi tidak mampu dilaksanakan. Kata orang, cakap tidak serupa bikin.

Diselak kembali kisah pada masa lalu, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, tersebarlah berita ada pihak yang berjanji mahu menghapuskan tol Sungai Nyior, Butterworth sekiranya kerajaan BN ditumbangkan di negeri itu. Malangnya, selepas menang PRU, apa yang terjadi? Adakah tol dihapuskan atau kekal dan naik? Penduduk Seberang Perai boleh memberi jawapan yang tepat mengenai perkara ini. Seperti biasa akan ada alasan kenapa apa yang dijanjikan tidak ditepati. Banyak lagi komen yang dilontarkan oleh pihak sebelah sana mengenai bajet kali ini.

Contohnya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seperti dilaporkan oleh portal The Malaysian Insight antara lain berkata, bajet itu tidak mengetengahkan isu utama yang semakin membebankan rakyat dan merupakan satu cara untuk membantu BN memenangi pilihan raya umum. “Ini merupakan bajet pilihan raya. Rakyat Malaysia mengharapkan GST dimansuhkan namun apa yang menyedihkan adalah ia tidak berlaku. Apa yang diumumkan hanya Musang King dijual RM800 di Hong Kong’. Begitu lah laporan portal berkenaan.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan untuk menghapuskan tol bermula Januari 2018 di tiga negeri – Kedah, Johor dan Selangor – tetapi tidak di Pulau Pinang walaupun ia merupakan antara konsesi tol pertama di negara ini. Katanya, banyak tol yang perlu dihapuskan tetapi ia tidak dibuat. Contohnya di Jambatan Pulau Pinang, ia merupakan antara konsesi pertama tol.

Tersenyum membaca kenyataan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu. Ada beberapa isu lain lagi yang dibangkitkan tetapi Selak tertarik dengan kenyataan itu – Musang King dan tol. Dalam banyak perkara yang turut memberi manfaat seperti disebut Perdana Menteri, Najib Tun Razak, Musang King turut menarik perhatian. Baguslah kalau begitu tinggi harga Musang King, sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan pendapatan pengusaha kebun durian berkenaan khususnya di Pulau Pinang. Lainlah sekiranya, harga durian di Pulau Pinang melambung tinggi sama seperti di luar negara. Berkaitan dengan Musang King, semalam Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek menyasarkan durian segar tempatan itu akan menembusi pasaran China dalam tempoh terdekat sekali gus bakal menjadikan negara itu sebagai negara pengimport terbesar buah tersebut. Sebelum ini durian dari Malaysia memasuki pasaran negara itu menerusi negara ketiga termasuk Singapura dan Hong Kong dengan harga yang mencecah ratusan ringgit untuk setiap kilogram. Satu promosi durian di China juga akan diadakan pada 3 dan 5 November depan.

“Sekiranya ia membuahkan kejayaan, ini akan membuka ruang kepada 800,000 pengusaha dan penanam durian di negara ini untuk melonjakkan pendapatan mereka sekali gus menjadikan durian sebagai sumber kekayaan baharu negara,” katanya. Begitulah hebatnya pengaruh Musang King. Jelaslah, durian boleh menjadi sumber pendapatan baharu kepada golongan pekebun. Kekalkan tanah pertanian, jangan diteroka untuk pembangunan ‘hutan batu’. Tinggalkan sedikit untuk pertanian.

Tidak dinafikan juga, inilah Bajet PRU kerana PRU pasti berlangsung selewat-lewatnya tahun 2018. Jika DAP sendiri dalam kedudukan sebagai kerajaan pusat, adakah bajet yang dibentangkan menjelang PRU tiada kaitan untuk memenangi PRU? Adakah kerajaan DAP akan membentangkan bajet bagi membantu Pulau Pinang kalah? Begitu juga belanjawan Selangor sama ada ia akan menyebabkan rakyat Selangor akan terus menyokong PKR atau sebaliknya. Siapa tahu semua tol akan dimansuhkan di Selangor berbanding dua yang dicadangkan oleh kerajaan BN? Begitu juga belanjawan di Pulau Pinang mungkin akan menghapuskan tol bukan sahaja di Sungai Nyior dan Jambatan Pulau Pinang tetapi juga di Sungai Bakap, Bukit Tambun, Jawi, Juru, Sungai Dua, Kubang Semang dan Kepala Batas. Jika tidak dihapuskan sekali pun, mungkin kerajaan DAP dan PKR dapat memberi pelepasan kepada penduduk di negeri itu. Mungkin diperkenalkan formula supaya penduduk tempatan dikecualikan membayar tol di negeri berkenaan. Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor sudah tentu mempunyai keupayaan untuk mengecualikan tol untuk penduduk di negeri itu. Janganlah sekadar mencari helah untuk mengelirukan orang ramai mengenai penghapusan kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor. Ada pihak yang berusaha mencari bukti untuk menafikan kenyataan Perdana Menteri. Kononnya kutipan tol itu akan berakhir pada 2018 sedangkan pemansuhan itu akan berlaku pada 31 Disember 2038. Ini bermakna pemansuhan tol berlaku 20 tahun lebih awal. Harus diingat, sebelum ini terdapat beberapa cadangan kenaikan tol ditolak oleh kerajaan menyebabkan perjanjian konsesi distruktur semula. Kita jangan cepat lupa mengenai isu tol ini.

Diharapkan, orang ramai lebih jelas mengenai isu tol ini dan tidak begitu cepat menuduh kerajaan BN tidak ikhlas dan pelbagai lagi. Seperti kata Najib, rakyat perlu bijak menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu intan. Lebih baik lagi jika rakyat ter-us bersatu hati dengan kerajaan. Ingat ungkapan Perdana Menteri ini : “Pisau di tangan kita, menti-mun pun di tangan kita,… kalau nipis dihiris,… maka nipislah jadinya,… kalau tebal dihiris,…maka teballah jadinya,’’.

Bagi merealisasikan apa yang dijanjikan Bajet 2018 kerajaan BN ini, setiap orang harus bertanggungjawab memikul amanah sebagai pelaksana, khususnya para pemimpin termasuk jemaah menteri dan juga penjawat awam. Tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas supaya peruntukan itu sampai kepada golongan yang disasarkan. Jangan sesekali dibiarkan bocor atau tiris di tengah jalan sehingga akhirnya janji itu sekadar catatan di atas kertas.

UMA301017010C#

Related posts

Leave a Comment