‘Rumah Baharu’ Hamzah ratusan ribu ahli

LARUT – Bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa rumah baharu’ yang dijangka diumumkan Mei depan sebagai parti politik yang bakal mempunyai kekuatan besar dengan jumlah keahlian mencecah ratusan ribu orang.

Ahli Parlimen Larut, itu,bagaimanapun berkata perincian mengenainya belum dapat didedahkan kerana perbincangan berkaitan masih giat dijalankan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), selain nama rasmi entiti itu belum dimuktamadkan.

“Buat masa ini, perbincangan sedang giat dijalankan dengan ROS untuk memastikan segala prosedur dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat, sekali gus mengelakkan timbul isu teknikal atau perundangan pada masa depan.

“Setakat ini, penyusunan pada peringkat bahagian berjalan lancar dengan lebih 130 bahagian sudah mengemukakan senarai kepimpinan.

“Jumlah keseluruhan dijangka mencecah sekitar 150 bahagian dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tahlil dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Bukit Bertam, Batu Kurau di sini, hari ini.

Hamzah berkata, beliau mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengulas lanjut mengenai struktur dan hala tuju parti itu, memandangkan sensitiviti politik semasa serta kemungkinan timbul pelbagai persepsi negatif daripada pihak tertentu.

Mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang pula, Hamzah berkata, perkara itu tidak wajar diperbesarkan kerana ia berkait rapat dengan kedudukannya selepas dipecat daripada Bersatu.

Beliau berkata, jawatan Ketua Pembangkang bukan milik mutlak mana-mana individu, sebaliknya ditentukan oleh kekuatan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

“Dalam blok pembangkang kini, ada tiga kelompok utama membabitkan Pas, Bersatu dan Bebas. Ahli Parlimen daripada ketiga-tiga blok inilah yang akan menentukan siapa Ketua Pembangkang seterusnya sebelum Parlimen bersidang semula nanti,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment