Selepas gelombang pertama, jentera perlu lebih bersedia

GENAP seminggu banjir kilat melanda Pulau Pinang. Kerja-kerja pembersihan masih dilakukan. Seperti banjir di ne­geri-negeri lain, bantuan dari luar terus mencurah-curah masuk. Saban hari ada sahaja bantuan yang diterima (seperti diperhatikan di kawasan saya di Seberang Perai). Sekurang-kurangnya akan sampai bantuan bekalan makanan. Begitu juga skuad mencuci yang turut melibatkan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam dan juga swasta. Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) turut menggerakkan bantuan dengan menghantar Misi Bantuan Banjir YSS Alumni Disaster Management (ADiM). Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut membantu. Agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan negeri turut terlibat. Pada masa yang sama hotel juga menjadi tumpuan termasuk yang bertaraf lima bintang. Ramai petugas yang terlibat dengan misi bantuan itu menginap di hotel-hotel berkenaan. Meningkatkan industri pelancongan.

Dari Selangor misalnya, deretan jentera pihak berkuasa tempatan (PBT) dari negeri itu seperti lori air kelihatan berbaris panjang meletakkan kenderaan di tepi jalan berhadapan Hotel Light, sebuah hotel bertaraf lima bintang di Seberang Jaya. Mungkin itu sebagai pusat bantuan mereka. Syabas dan tahniah kepada semua yang membantu, yang datang dari luar Pulau Pinang. Tugas anda mungkin tidak akan berakhir di situ sahaja. Cuaca masih tidak menentu. Gelombang kedua dan ketiga dinantikan dengan penuh debaran. Bagi negeri-negeri yang sudah berpengalaman menghadapi bencana ini, pastinya tidak berhadapan dengan masalah, malahan mampu memperbaiki kelemahan sebelum ini. Bagi Pulau Pinang, diharapkan bencana yang berlaku dapat ‘mengajar’ mereka untuk menyusun semula ‘jentera’ sebagai persediaan menghadapi banjir jika berulang.

Begitu juga agensi-agensi lain yang mungkin tidak bersedia menghadapi banjir skala besar ini. Mungkin sebelum ini persiapan setakat ala kadar disebabkan kes sebelum ini tidak sebesar apa yang dialami sekarang.

Justeru penyusunan pasukan menghadapi banjir ini perlu dilakukan terutama berkaitan pe­nempatan sementara dan bekalan makanan. Dalam keadaan sekarang, ‘barisan hadapan’ stok bekalan makanan perlu diberi perhatian. Jangan sekadar ada dengan jumlah yang kecil. Kata orang sekadar ‘dua tiga tin sardin’ atau ‘sekampit dua’ beras. Siapa pun tidak dapat menjangka bila banjir akan berlaku dan berapa ramai pula jumlah mangsanya.

Tidak dinafikan, ada ketika stok makanan mempunyai tarikh luput. Dalam hal ini, mesti ada kaedah untuk memanfaatkan stok berkenaan. Mungkin stok ini diagihkan dalam bentuk bantuan biasa kepada golongan tertentu bagi mengelakkan stok berkenaan terpaksa dilupuskan. Mungkin kita bernasib baik kerana banjir tidak berlaku serentak di seluruh negara. Ba­yangkan jika banjir ini berlaku serentak di semua negeri. Ketika itu siapa yang akan turun membantu jika keperluan di negeri masing-masing turut mendesak.

Jentera di peringkat negeri perlu bersiap siaga sepanjang masa. Sama ada jabatan/agensi peringkat negeri atau Persekutuan perlu bergerak seiring. Bantuan pasca banjir perlu diberi perhatian. Tugas ini lebih sukar dan mencabar. Mereka yang terlibat perlu lebih peka dengan situasi ini, ke­tepikan soal politik dan bendera parti. Pusat penempatan banjir jangan bertukar menjadi markas parti kerana tidak semua mangsa terlibat sebagai anggota parti tertentu. Ada yang tidak memihak. Melihat dan mendengar apa yang berlaku baru-baru ini, ada rungutan dalam kalangan mangsa. Salah satu rungutan termasuklah agihan bantuan. Borang permohonan bantuan datang dari pelbagai pihak. Masalahnya pemohon perlu mengisi dengan pelbagai maklumat yang kadang-kadang meremehkan sehingga ada yang berkata, kalau nak bantu, beri sajalah. Begitu juga mesti ada laporan polis mengenai banjir serta mendaftar dengan jabatan tertentu­ dan sebagainya.

Mungkin yang berada di pusat pemindahan lebih mudah dan dapat menikmati pelbagai bantuan. Apa yang menyulitkan apabila mangsa tidak berpindah ke pusat penempatan sebaliknya menginap di rumah jiran atau saudara mara. Rumah mereka juga dimasuki air dan rosak. Tanaman dan ternakan mereka juga musnah. Cuma mereka tidak ke pusat pemindahan. Beberapa masalah teknikal ketika memohon bantuan ini menyebabkan timbul rungutan mangsa. Adalah lebih baik, mereka yang memilih tidak tinggal di pusat penempatan banjir dikunjungi. Dalam erti kata lain bergerak mencari mangsa dan bukan menanti kehadiran mereka.

Tinjau keadaan sebenar dan buat taksiran sewajarnya. Memang setiap keluarga yang rumah mereka tenggelam separas dada orang dewasa akan menanggung kos yang tinggi untuk menggantikan pelbagai keperluan yang ada sebelum ini. Sudah tentu RM500 tidak mampu menggantikan televisyen, peti sejuk, almari beserta pakaian dan sebagainya. Ada juga yang pada peringkat awal tidak peduli itu semua tetapi apabila nampak bantuan mencurah-curah, masing-masing dalam keadaan kelam-kabut. Diharapkan sumbangan orang ramai yang sampai kepada kerajaan negeri dengan jumlah setakat ini dianggarkan RM7.5 juta dapat diagihkan secara adil.

Rungutan dan rasa tidak puas hati biasanya sampai ke pengetahuan orang politik. Jumaat lalu, selepas solat, secara kebetulan saya bertemu Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said. Pertemuan berlaku semasa saya berkunjung ke rumah seorang rakan, kebetulan berjiran dengannya. Ketika itu Mohd Zaidi atau lebih mesra dipanggil Cikgu Zaidi sedang mengunci pintu rumah untuk keluar menemui mangsa-mangsa banjir. Sempat juga berbual ringkas mengenai programnya pada petang berkenaan. Khabarnya rumahnya juga dimasuki air. Beliau mengakui ada rungutan dalam kalangan mangsa banjir di sana sini dan pihaknya cuba mengatasinya. Walaupun bukan seorang wakil rakyat, sekadar Ketua Bahagian tetapi gerak kerjanya ‘mengalahkan’ wakil rakyat. Menyelak aktivitinya sebelum ini, tidak ada hari yang tidak diisi dengan program menemui penduduk. Ada saja yang dilakukan.

Mengenai bantuan selepas banjir,­ beliau mengakui mengurus perkara itu adalah lebih sukar kerana setiap masa ada orang mengadu tidak berpuas hati. Beliau cuba mengatasinya dengan membawa masalah itu kepada pihak tertentu. Baginya, mereka yang layak perlu dibantu tanpa mengira fahaman politik. Tidak hairanlah beliau berusaha menemui seberapa ramai mangsa di kampung-kampung yang terlibat di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Beliau bergerak dengan te­amnya. Kadang-kadang team ini bergerak sendirian supaya bantuan sampai kepada mangsa. Turut bersama Setiausaha Bahagian, Suhaimi Sabudin yang pernah bertanding dalam pilihan raya kecil tetapi tewas kepada calon PKR. Bertuahnya orang Permatang Pauh jika mereka mempu­nyai wakil rakyat yang dapat memberi perhatian sepenuhnya dalam keadaan sukar ini.

Menurut catatan Zaidi, hasratnya ingin menemui lebih 4,300 keluarga yang ditimpa musibah itu. Kunjungannya tanpa mengira bendera parti adalah kerana mangsa berhak mendapat pembelaan. Namun beliau mengakui tidak mampu memuaskan hati semua pihak dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Baginya, semua itu adalah perkara biasa dan yang penting­ misinya diteruskan. Mungkin yang mencemuhnya itu bermotifkan politik.

UMA131117010C_2#

Related posts

Leave a Comment