TEHRAN – Tentera laut Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memberi amaran tiada kapal harus meninggalkan tempat ia berlabuh di Teluk Parsi dan Laut Oman dan mana-mana kapal yang menghampiri Selat Hormuz akan dianggap sebagai sasaran.
“Sebarang percubaan untuk menghampiri Selat Hormuz akan dianggap sebagai bekerjasama dengan musuh, dan kapal yang melanggar akan menjadi sasaran,” demikian menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi IRGC.
Menurut kenyataan sama, selat itu ditutup mulai petang ini sehingga Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan laut terhadap kapal dan pelabuhan Iran.
Dalam kenyataan yang disiarkan Press TV milik kerajaan, Tentera Laut IRGC berkata kenyataan Presiden AS Donald Trump mengenai selat itu ‘tidak mempunyai kredibiliti’.
Susulan pengumuman awal Iran yang membenarkan kapal awam melalui laluan perairan itu, beberapa kapal telah melintasinya dengan penyelarasan Tentera Laut IRGC.
Lebih 12 kapal tangki berjaya melalui Selat Hormuz selepas sekatan yang dikenakan sejak 50 hari lalu ditarik balik.
Pembukaan semula selat itu adalah penting bagi pengeluar di Teluk untuk menyambung sepenuhnya pembekalan minyak dan gas ke seluruh dunia, sekali gus menamatkan apa yang disifatkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sebagai gangguan bekalan terburuk pernah berlaku.
Semalam, Trump berkata Iran telah bersetuju membuka semula selat itu, manakala pegawai Iran pula menegaskan mereka mahu Washington menarik balik sepenuhnya sekatan terhadap kapal tangki Iran.
Menurut data penjejak kapal, kebanyakan kapal yang melalui selat itu sejak dua hari lalu menerusi perairan Iran di selatan Pulau Larak adalah kapal lama serta bukan milik Barat, termasuk empat kapal yang dikenakan sekatan.
