New Delhi panggil duta Iran

MUMBAI – Kementerian Luar India memanggil duta Iran bagi menyampaikan bantahan berhubung ‘kes tembakan’ yang membabitkan dua kapal berbendera India di Selat Hormuz.

Iran dilaporkan telah menarik balik janji untuk membuka semula laluan perdagangan strategik itu kepada trafik komersial semasa gencatan senjata dalam perang di Asia Barat.

Ini sebagai tindak balas terhadap sekatan balas Amerika Syarikat (AS) ke atas laluan air berkenaan yang juga laluan penting bagi minyak mentah dan gas.

Pemantau keselamatan berkata beberapa kapal dagang turut menjadi sasaran tembakan dan ancaman oleh tentera Iran pada 18 April ketika cuba melalui selat itu.

New Delhi turut menggesa Iran supaya ‘segera menyambung semula proses memudahkan laluan kapal-kapal menuju India melalui Selat Hormuz’,, sambil menambah bahawa duta berkenaan ‘berjanji akan menyampaikan pandangan itu kepada pihak berkuasa Iran’.

Laman pemantauan TankerTrackers.com dalam hantaran di platform X berkata ‘dua kapal India dipaksa berpatah balik ke arah barat keluar dari Selat Hormuz oleh Tentera Laut Kor Revolusi Iran (IRGC)’.

Salah sebuah kapal itu ialah kapal tangki super VLCC berbendera India yang membawa 2 juta tong minyak Iraq.

India, yang juga pembeli gas petroleum cecair (LPG) kedua terbesar di dunia, telah berjaya memastikan beberapa kapal berbendera India dapat melalui laluan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

India mengimport kira-kira 60 peratus keperluan LPG dan berdepan kekurangan bekalan gas sejak perang di Asia Barat bermula pada 28 Februari.

New Delhi mengekalkan hubungan baik dengan Tehran, namun pada masa sama semakin memperluas kerjasama dengan Israel, pesaing Iran, dalam bidang pertahanan, pertanian, teknologi dan keselamatan siber.

Related posts

Leave a Comment