Kawal nafsu di jalan raya, di meja jamuan hari raya

SEMALAM, beberapa laluan di ibu negara berjalan lancar. Begitu juga dengan lebuh raya. Suasana sibuk pula masih terasa di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sekitarnya. Ramai lagi yang membeli pada saat-saat akhir, menunggu harga runtuh atau jualan lelong di Jalan Chow Kit atau Jalan TAR. Kebanyakan warga kota sudah berada di kampung halaman masing-masing. Hari ini suasana di pejabat-pejabat kerajaan mula lengang. Urusan kaunter mungkin lebih mudah. Semua itu adalah pemandangan atau suasana biasa menjelang Hari Raya Aidilfitri. Esok atau lusa, anda mungkin boleh duduk bersila di tengah-tengah jalan raya yang sebelum ini sibuk dengan kenderaan. Esok dan lusa juga, warga asing akan `menakluki’ ibu negara. Suasana luar biasa akan berlaku di negeri-negeri. Kesesakan seperti di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kini beralih ke kawasan bandar atau pekan kecil di negeri-negeri. Berpusu-pusu warga kota meninggalkan Kuala Lumpur sama ada menggunakan kende­raan sendiri, bas atau kereta api. Berhati-hatilah ketika memandu. Seperti biasa, pihak berkuasa mengeluarkan pelbagai panduan dan amaran untuk keselamatan pengguna. Sering kali rakyat Malaysia dididik untuk menjadi pemandu yang berhemah. Saban tahun kempen keselamatan jalan raya diadakan. Malangnya, ramai yang masih melakukan kesalahan apabila mereka berada di atas jalan raya atau lebuh raya. Sikap mereka berubah di atas jalan. Degil! Semuanya bergantung kepada sikap pemandu sendiri. Ramai yang tidak mengambil iktibar. Kesalahan seperti memandu di lorong kecemasan, memotong di garis berkembar, menggunakan telefon semasa memandu, potong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju adalah lumrah. Tindakan gelojoh dan tidak sabar pemandu ini bukan sekadar membahayakan ke­ selamatan diri sendiri tetapi juga orang lain.

Ramai pemandu yang mematuhi peraturan akhirnya sakit hati melihat tindak-tanduk pemandu lain yang melakukan kesalahan ini. Kalau disaman, janganlah pula salahkan polis yang tidak bercuti semata-mata mahu mengawal keadaan. Malam ini, akan diketahui sama ada Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari esok atau Rabu. Apa yang pasti Ramadan akan pergi meninggalkan kita untuk sementara waktu. Jika dunia belum kiamat, Ramadan pasti akan datang menyapa kita cuma sebagai insan yang dicipta oleh-Nya belum pasti sama ada boleh ketemu Ramadan sekali lagi atau ini Ramadan yang terakhir. Begitu juga dengan Syawal yang bakal menjelang. Ramadan banyak mengajak umat Islam untuk beramal dan beribadah, bukan sekadar puasa tetapi juga solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, bersedekah serta membayar zakat.

Apakah pengajaran yang kita peroleh hasil amalan Ramadan itu? Adakah ia akan berlalu begitu sahaja, sama seperti berlalunya Ramadan? Memang Syawal adalah hari kemenangan bagi umat Islam kerana berjaya memerangi hawa nafsu dan mencari jalan untuk menjadi insan yang bertakwa. Bagaimanapun janganlah kemenangan itu disalah ertikan. Ketika kita cuba melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan, nafsu untuk makan ketika berbuka tidak terkawal. Kemunculan bazar Ramadan, tawaran bufet berbuka puasa dan jamuan berbuka me-nyebabkan ramai yang tergoda dengan makanan. Pelbagai penyakit yang ada pada tubuh badan seolah-olah dilupakan. Baru-baru ini ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Kementerian Kesihatan, saya bertanyakan kepada menteri berkenaan, Dr. S. Subramaniam kenapa tahun ini tidak diletakkan jumlah kcal bagi setiap makanan? Beliau hanya berkata, melihat makanan yang pelbagai itu, peringatan itu tidak membawa makna kerana tetamu akan makan apa sahaja. Bagaimanapun, nasihatnya supaya makanlah secara sihat sema-sa sambutan hari raya nanti.

Menyelak majlis yang sama tahun lalu, menu yang disediakan oleh kementerian menyenaraikan saranan pengambilan kalori sehari bagi orang dewasa pada bulan Ramadan adalah 1,800 kcal. Setiap jenis makanan pula dinyatakan jumlah kcal mengikut berat atau kuantiti, contohnya dua senduk nasi putih bersamaan 200kcal. Bagaimana pula dengan hari raya ini yang sudah tentu akan berlangsung selama sebulan, seperti sebulan Ramadan? Jika Ramadan, hanya waktu berbuka tetapi pada hari raya suasana berubah. Sambil ziarah menziarah sesama keluarga, saudara mara, jiran dan sahabat handai, sudah tentulah pelbagai hidangan disediakan. Adakah nafsu makan ketika itu semakin meningkat selepas berpuasa? Mampukah kita berhadapan dengan pelbagai juadah yang melampaui jumlah kcal yang diperlukan? Kalau hanya satu majlis mungkin boleh dika­wal tetapi bagaimana jika dua tiga jamuan sehari? Kebanyakan kita tidak peduli dengan jumlah kcal yang masuk ke dalam perut. Nafsu makan tidak dapat dikawal lagi ketika itu. Kata orang, makan apa sahaja yang ada. Ketupat, lemang, rendang, kambing­ bakar, nasi beriani, nasi mandy, laksa asam, mi goreng mamak, char kuetiau, sate dan macam-macam lagi.

Apabila sudah dihidangkan di depan mata, semuanya disapu. Ibarat membujur lalu melintang patah. Tiada siapa yang dapat menghalang kecuali diri sendiri. Akibatnya, rakyat Malaysia terdedah kepada pelbagai penyakit yang menjadi pembunuh utama termasuk sakit jantung, diabetes atau kencing manis serta berat badan berlebihan. Semuanya ini ada kaitan dengan gaya hidup tidak aktif, tahap kolesterol ting-gi, pengambilan makanan tidak sihat dan makan terlalu banyak menyebabkan kalori berlebihan. Tidak ada jalan keluar kecuali ka-wallah nafsu makan di meja makan. Kepada warga kota, semoga perjalanan anda semua lancar dan selamat sampai ke destinasi. Selamat jalan Ramadan. Semoga kita bertemu lagi pada Ramadan akan datang. Selamat Hari Raya Aidil-fitri, Maaf Zahir dan Batin!

UMA040716010C#

Related posts

Leave a Comment