Gelora politik cetus perpecahan ummah

KELMARIN, Sabtu ketika menghadiri satu mesyuarat berkaitan perpaduan ummah, satu senarai panjang menerjah masuk ke ruang WhatsApp yang khusus untuk rakan-rakan politik. Ia berkaitan parti baharu yang dinamakan Parti Melayu Baru Bersatu. Belum sempat habis membaca senarai kepemimpinannya, terdetik di hati
bahawa ini sesuatu yang tidak boleh dipercayai. Mungkin palsu dan karut. Malangnya selepas itu bertalu-talu pula senarai yang sama masuk dalam grup WhatsApp lain. Ramai pula yang memberi respons termasuk mereka yang tersenarai sebagai anggota barisan kepemimpinan parti itu. Kelam kabut orang berkenaan menafikannya. Bukan bermaksud mahu melayan senarai itu tetapi apakah motif di sebalik `terciptanya’ senarai itu? Adakah bertujuan mengadudomba pihak-pihak berkenaan? Kata Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang namanya turut disenaraikan:
“Ini kerja orang bodoh atau jenis berhati jahat…Kalau ya pun jangan semua orang nak diburukkan,’’.

Lebih mendukacitakan, senarai itu turut dihantar ke dalam grup masjid. Sekadar pandangan, tidak perlulah ‘sampah yang jijik, kotor dan busuk’ seumpama itu dibawa masuk ke dalam `ruang masjid yang bersih’ ini. Jika mahu dimasukkan juga, saringlah supaya ‘sampah’ itu tidak kelihatan ‘menjijikkan’. Sudah sering diperingatkan
supaya kita berhati-hati ketika menghantar mesej melalui WhatsApp supaya tidak mendapat
‘dosa halimunan’ (rujuk Selak : Hati-hati perangkap dosa halimunan di dalam poket siaran 2 Mei 2016). Senarai seumpama itu sudah tentu akan menimbulkan pelbagai persepsi (bayangan, gambaran dalam hati/fikiran;
tanggapan) dalam kalangan masyarakat. Persepsi baik dan buruk. Persepsi ini menimbulkan kekalutan. Tuding menuding jari. Tuduh menuduh. Satu pihak akan menuduh pihak lain yang bertanggungjawab. Akhirnya musuh
yang mencipta isu itu berjaya memporak perandakan perpaduan. Maka berhati-hatilah ketika mengeluarkan
kenyataan atau menyebarkannya. Sesuatu kenyataan perlu diiringi dengan penjelasan yang baik supaya tidak timbul persepsi tidak baik yang akhirnya boleh melukakan hati dan perasaan orang lain. Hari ini penyebaran
mesej amat mudah melalui media sosial. Grup WhatsApp sudah tentu disertai pelbagai latar belakang kehidupan manusia sama ada yang berpolitik secara berparti atau tidak. Mereka mungkin menganggotai UMNO, Pas, PKR, Amanah, Ikatan, DAP dan sebagainya. Ada juga yang berpolitik sehingga taksub kepada parti/pemimpin atau mengikut arus. Ketaksuban itu menyebabkan timbul keegoan, pandangannya sahaja yang betul dan orang lain
semuanya salah. Akhirnya wujud perasaan ujub, riak dan sombong.

Sudah tentu apabila kita mengirim sesuatu berkaitan politik akan timbul perdebatan atau percanggahan pendapat yang tidak berkesudahan dan tidak mampu menyimpul erat silaturahim atau perpaduan dalam kalangan masyarakat. Sebenarnya ramai yang terguris perasaan ketika membaca mesej, gambar atau lakaran yang dikirim ke grup yang tidak berkaitan dengan isu berkenaan. Contoh grup masjid atau surau yang sewajarnya dikhususkan untuk membincangkan program, aktiviti serta maklumat yang mampu meningkatkan amalan ibadat serta mengukuhkan ukhuwah. Jagalah adab dan etika ketika mahu mengirim mesej tertentu yang di luar daripada konteks sesuatu grup itu diwujudkan. Jika grup berkaitan politik, silakan tetapi jangan melibatkan grup yang berkaitan kelompok masyarakat, masjid, surau, PIBG, persatuan penduduk dan sebagainya yang peranannya lebih terarah kepada penyampaian maklumat berkaitan ilmu bagi mengajak kepada kebaikan dan menjalin persaudaraan.

Politikus seharusnya bijak berpolitik, kurangkan politiking dan mempolitikkan isu. Jadikan politik sebagai medan untuk menyatukan ummah. Di samping bermatlamatkan kuasa, jangan ketepikan soal kepentingan ummah. Dalam isu-isu tertentu, mereka perlu bersatu. Malangnya dalam politik negara ini, lebih banyak politiking. Bagi meminda akta berkaitan meningkatkan kuasa mahkamah syariah pun, politikus Melayu Islam gagal mencapai kata sepakat. Adakah politik pencetus perpecahan? Lihat sahaja kemunculan parti politik di negara ini. Siapa yang paling banyak menubuhkan parti politik? Menyelak kembali sejarah, tidak dinafikan orang Melayu paling gemar
menubuhkan parti. Walaupun ada sesetengahnya hidup segan mati tidak mahu tetapi kemunculan parti ini sudah cukup untuk memecah belahkan ummah. Ada ketikanya parti baharu ini mampu menggugat pemerintah dan ada pula yang sekadar menjadi kuda tunggangan pihak lain. Pembatalan pendaftaran UMNO suatu masa dulu melahirkan Parti Melayu Semangat 46. Syukurlah, parti itu akhirnya dibubarkan dan para pemimpinnya kembali ke pangkuan UMNO yang didaftarkan semula. USNO yang pernah mentadbir Sabah juga dibubarkan selepas kemasukan UMNO ke negeri itu. Tidak banyak yang bubar sebaliknya banyak lagi parti politik yang ditunjangi orang Melayu Islam ditubuhkan. Apakah tujuannya? Adakah kerana prinsip perjuangan, krisis keyakinan,
kepentingan peribadi atau puak serta inginkan kuasa?

Sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa juga berhak menubuhkan parti politik tetapi adakah wajar kita menyaksikan satu persatu penubuhan parti politik ini tanpa mengira kesan kepada perpaduan ummah? Sejauh
mana kehadiran parti politik ini benar-benar mahu membina negara dan bangsa? Adakah politikus kita tidak ada kematangan politik dalam erti kata yang sebenarnya? Adakah politikus kita menjadi lebih baik selepas terjerumus
dalam politik atau menjadi sebaliknya berjuang untuk kepentingan peribadi, puak dan lebih tertarik dengan pelbagai habuan? Sesuatu harus dilakukan supaya semua pihak mencari punca kenapa perpecahan yang
membawa kepada penubuhan pelbagai parti politik berlaku. Tidak ada maknanya jumlah yang ramai tetapi berselerakan.

Carilah penyelesaian kerana perpecahan dan keretakan ini merugikan ummah. Musuh sekeliling sangat berminat untuk melihat perpaduan umat Islam hancur. Hanya perpaduan dapat menjamin kesejahteraan umat. Lihatlah apa yang berlaku di Turki. Pelbagai usaha dilakukan untuk ‘memusnahkan’ negara itu. Beberapa insiden sebelum ini menyebabkan industri pelancongan terjejas. Terkini cubaan rampasan kuasa tetapi digagalkan disebabkan
perpaduan rakyat yang mahu mempertahankan kerajaan demokrasi. Selepas Turki, adakah Malaysia pula menjadi sasaran akibat perpecahan dan pergolakan dalaman? Cukuplah pergolakan di Palestin, Afghanistan, Iraq, Syria, Yaman, Mesir dan lain-lain.

Tanpa perpaduan disebabkan asyik bertelagah, musuh akan mudah ‘menyerang’ dalam pelbagai bentuk. Mereka tidak datang dengan senjata tetapi menggunakan kaedah lain. Lihatlah ketika ini, amat mudah orang mempersendakan agama dan bangsa. Renung sejenak, adakah kehadiran pelbagai parti politik ini mengukuhkan lagi perpaduan ummah atau memberi peluang kepada orang lain mengukuhkan kedudukan? Melayu hanya ada
kuasa politik, jangan biarkan diri hangus terbakar disebabkan kerakusan politik sehingga meranapkan bangsa dan agama.

UMA180716010C_2#

Related posts

Leave a Comment