UMNO kecundang di kubu kuat, Dr Sam pelengkap di Dewan Rakyat

TAHNIAH Pas atas kemenangan besar di Parlimen Kemaman. Saya pinjam ayat Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Itulah ayat sewajarnya selepas pertandingan. Adat bertanding, ada kala menang dan ada kala kalah.

Istimewanya kemenangan calon Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melengkapkan penyertaan Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) di peringkat Parlimen yang selama ini diwakili Pakatan Harapan (PH) di zon utara, tengah dan selatan.

Walaupun MB dilabel tamak dan didesak meletak jawatan oleh pimpinan UMNO kerana bertanding di Parlimen, pengundi-pengundi Kemaman tidak bebal dengan alasan dangkal itu sebaliknya ‘mengirim’ Dr Sam mewakili negeri Pantai Timur di Parlimen. Mereka menolak ‘tawaran’ PMX untuk ‘melantik’ atau memberi peranan besar kepada wakil BN jika menang.

Seperti ditulis sebelum ini, pencalonan MB atau KM bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ketika ini DAP dan PKR menjadi teladan kepada isu dua jawatan ini.

KM Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (DAP) juga Ahli Parlimen Batu Kawan; MB Negeri Sembilan Aminuddin Harun (PKR) juga Ahli Parlimen Port Dickson dan MB Selangor Amirudin Shari (PKR) adalah Ahli Parlimen Gombak.

Sebelum ini Lim Guan Eng juga adalah KM Pulau Pinang tetapi pada masa yang sama sebagai Ahli Parlimen Bagan. Begitu juga Azmin Ali dan Khalid Ibrahim. Mungkin selepas ini, UMNO boleh mencuba MB di Johor, Melaka, Pahang dan Perak.

Ternyata pengundi Kemaman tidak terpengaruh atau diperbodohkan dengan kempen kewajaran Dr Sam hanya perlu berada di Terengganu sebagai MB. Pengundi tidak lupa kehadiran MB Selangor, MB Negeri Sembilan dan KM Pulau Pinang di Dewan Rakyat.

Kemaman adalah pilihan raya kecil (PRK) Parlimen ketiga selepas Kuala Terengganu dan Pulai. Bezanya PRK Pulai disebabkan kematian penyandang manakala PRK Kuala Terengganu dan Kemaman hasil petisyen yang membatalkan kemenangan Pas.

Pas berjaya mempertahankan Kuala Terengganu dengan menambah jumlah undi dari 63,016 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada 68,369 manakala majoriti pula meningkat kepada 47,266 berbanding 40,907 pada PRU15.

Di Kemaman, walaupun kempen nampak sengit dengan BN-PH menggunakan seluruh kekuatan dan menawarkan sesuatu kepada pengundi jika calon BN Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dipilih, majoriti pengundi masih memihak kepada Pas.

Malahan majoriti Pas meningkat. Boleh dianggap peningkatan melampau kerana UMNO menganggap Kemaman kubu kuat parti itu, bukannya Pas. Tetapi majoritnya bukan 700 undi atau 7,000 atau 17,000 atau 27,179 seperti direkod pada PRU15 tetapi mencecah kepada 37,220 undi.

Ini penggal kedua UMNO gagal mengambil semula Kemaman selepas kali terakhir Ahmad Shabery Cheek menguasai Parlimen itu selama tiga penggal sebelum dimenangi Pas pada PRU14 dan PRU15.

Selain itu, sejak PRU pertama, hanya sekali UMNO gagal pertahan Kemaman iaitu pada PRU10 (1999) apabila dimenangi Parti Keadilan.

Dan di PRK Pulai walaupun Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) tewas, tetapi jumlah undi parti komponen PN itu meningkat kepada 29,642 berbanding 20,677 semasa PRU15.

Apakah mesej yang mahu disampaikan pengundi-pengundi yang berpeluang mengundi semula selepas PRU15 berlangsung ? Jawablah sendiri.

Namun realitinya, tidak dinafikan parti kerajaan mengalami kehilangan sokongan atau kemerosotan undi yang berterusan, sepanjang beberapa PRK yang diadakan sejak selepas PRU15. Banyak atau sedikit, kemerosotan undi tetap berlaku.

Bagaimanapun ada juga yang membezakan majoriti yang dimenangi Dr Sam dengan menyifatkan ia lebih kecil berbanding majoriti Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang menang majoriti 69,701 undi dan Mohamad Sabu (PH Kota Raja) 73,998 undi.

Memang pelik kenyataan itu. Entah apa muslihatnya. Tiba-tiba majoriti wakil DAP dan Amanah dijadikan ukuran, seolah-olah mahu memperlekeh Dr Sam. Kenapa tidak dibezakan majoriti Anwar Ibrahim di Tambun atau Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk?

Harus diingat jumlah pengundi di Kemaman amat berbeza dengan Bangi dan Kota Raja. Di Kemaman 141,043 layak mengundi sedangkan di Bangi ada 302,786 pengundi manakala di Kota Raja terdapat 244,159 pengundi.

Maka tidak wajar membezakan jumlah majoriti yang diperoleh Dr Sam dengan kawasan lain yang pastinya mempunyai taburan pengundi yang berbeza. Satu perbandingan yang dangkal.

Benar, kemenangan Kemaman tidak mengubah apa-apa walaupun pembangkang terus bercakap mengenai perubahan Putrajaya. Kemenangan Pas di Kemaman bermakna PN kekal mempertahankan 69 kerusi Parlimen manakala Kerajaan Perpaduan 152 ahli Parlimen.

Tetapi keputusan Kemaman menunjukkan UMNO semakin ditinggalkan walaupun sebelum ini parti Melayu itu mendakwa Kemaman bukan kubu kuat Pas sebaliknya kubu kuat UMNO.

Apakah puncanya UMNO atau BN ditolak? Salahkah BN yang tidak menurunkan pimpinan UMNO sendiri bertanding di kawasan itu? Semoga calon tidak dipersalahkan.

Related posts

Leave a Comment