Maksimumkan kuantiti, kualiti ibadah Ramadan

SYUKUR Alhamdulillah, hari ini 06.06.16 kita masih bernafas dan diketemukan semula dengan Ramadan, tetamu yang sangat-sangat dinantikan. Pastinya setiap daripada kita akan terasa kehilangan mereka yang pernah bersama Ramadan tahun lalu. Toleh ke kiri dan ke kanan, ada yang tidak dapat bersama ketika bersahur dan berbuka seperti tahun sebelumnya. Mereka mungkin jauh di perantauan atau telah pergi meninggalkan alam ini. Bagi yang masih diberi peluang, bersyukurlah kerana masih ada rezeki untuk beribadat pada bulan yang penuh keberkatan ini. Ambillah peluang ini sebaik mungkin untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah sepanjang Ramadan ini ke tahap yang paling maksimum. Dalam setahun hanya Ramadan yang diwajibkan berpuasa sepanjang bulan. Jangan jadikan bulan ini seperti bulan-bulan lain. Ramadan adalah bulan luar biasa yang di dalamnya terkandung pelbagai ganjaran pahala ibadah dan fadhilatnya yang tidak perlu diceritakan lagi.

Inilah satu-satunya bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa sebulan dan menunaikan zakat fitrah di samping adanya Malam Lailatulqadar. Pada bulan ini juga digalakkan untuk tadarus al-Quran, bersedekah dan pelbagai lagi. Bersemangatlah. Jangan letih dan lesu sama ada untuk bekerja dan beribadat disebabkan puasa. Pada bulan ini, semua orang sama ada yang kaya atau miskin akan menahan lapar dan dahaga serta mengawal pelbagai nafsu. Mereka yang kaya serta mewah dengan makanan sebelum ini akan berlapar pada siang hari, sama seperti orang miskin yang sebelum ini juga terpaksa ‘mengikat perut’ akibat kemiskinan. Puasa juga memberi peluang untuk memper-tingkatkan kesihatan diri asalkan kita sedia untuk berubah terutama mengawal makan minum ketika berbuka dan bersahur.

Seperti akan menyambut tahun baharu, masing-masing juga berazam untuk menjadi yang terbaik. Syukurlah jika azam yang baik itu dapat dilaksanakan sehingga penghujung bulan, bukan longlai di pertengahan jalan, semuanya berakhir menjelang Hari Raya Aidilfitri. Keazaman yang tidak diiringi dengan kekuatan untuk merealisasikan apa yang dihasratkan akan menjuruskan kepada kegagalan. Mungkin terpesong di pertengahan jalan atau tergelincir daripada landasan. Selagi kita menganggap Ramadan sebagai madrasah tarbiah, maka ia akan menjadi medan terbaik untuk berubah. Ingatlah berpuasa bukannya adat tetapi ibadat. Jangan orang berpuasa kita pun berpuasa. Ketika berbuka, ada yang leka sehingga terlupa untuk menunaikan solat Maghrib seterusnya sunat Tarawih dan Witir. Jangan pula Ramadan hanya tertumpu kepada bazar Ramadan seolah-olah menjadi pesta makanan. Ketika bazar Ramadan memberi peluang untuk peniaga meningkatkan pendapatan, pada masa yang sama janganlah kita sebagai pengunjung bazar membazir ketika membeli juadah berbuka. Akibat nafsu makan, semuanya hendak dibeli tetapi akhirnya makanan terbuang.

Alangkah baiknya jika peruntukan untuk membeli juadah itu diinfak kepada mereka yang lebih memerlukan sepanjang bulan yang mulia ini. Petang semalam, orang ramai sudah pun memulakan ‘pesta makanan’ ini dengan membeli-belah bahan untuk bersahur. Pada setiap kali Ramadan juga, pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan akan mengingatkan su-paya menjadikan bulan ini sebagai lebih sihat dengan mengelakkan makan secara berlebihan. Ada juga kempen berhenti merokok seperti Kempen Nafas Baharu Bermula Ramadan. Malangnya sudah beberapa Ramadan dijadikan sandaran untuk berhenti merokok tetapi ramai yang tidak mampu berbuat demikian malahan rokok menjadi juadah utama berbuka. Kepada perokok, tingkatkan kualiti bulan puasa ini dengan menjadikan Ramadan sebagai bulan terbaik untuk meninggalkan tabiat buruk itu. Selepas berupaya menahan merokok pada siang hari, gagahilah untuk bertahan sehingga ke malam dan pada hari-hari berikutnya. Kenapa sukar untuk meninggalkan rokok sedangkan menurut pandangan Islam, merokok adalah haram? Malangnya, jika bufet Ramadan diragui status halal haram, ramai yang kecoh. Maknanya bab makan, tidak ada tolak ansur soal halal haram.

Selain makan dan makanan, setiap kali Ramadan akan timbul isu berkaitan jumlah rakaat solat sunat Tarawih, solat yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Isunya sama ada mahu lapan campur tiga atau 20 campur tiga. Selak pernah membangkitkan isu ini setiap kali Ramadan kerana masih ada yang tertanya-tanya mengenai mana satu yang harus diikuti.

Syukurlah di beberapa negeri, telah dibuat ketetapan supaya setiap masjid diwajibkan Tarawih 20 rakaat tanpa menghalang makmum yang ingin melakukan kurang daripada jumlah itu. Disebabkan sekali dalam setahun, wajarlah ia dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Begitu juga tazkirah di pertengahan solat sunat itu. Mudah sahaja, tazkirah boleh diadakan tetapi bukan di pertengahan Tarawih, apa lagi yang hanya melakukan lapan rakaat.

Selesaikan dahulu solat sunat itu, kemudian tazkirah. Terserahlah kepada makmum sama ada mahu menambah ilmu atau angkat kaki meninggalkan masjid/ surau selepas Tarawih. Agak malang jika makmum meninggalkan masjid atau surau selepas hanya empat rakaat ketika berhenti untuk tazkirah. Sebenarnya ada makmum yang gelisah apabila diadakan tazkirah sedangkan semangat mereka untuk solat sunat Tarawih sehingga selesai. Di Mekah dan Madinah, umat Islam tidak berganjak apabila solat sunat Tarawih 20 rakaat, kemudian di pertengahan malam mereka melaksanakan lagi solat sunat. Meriahnya masjid kita jika suasana itu berlaku di tanah air sendiri. Bukannya selalu, hanya sebulan dalam setahun.

Sepanjang Ramadan ini juga, janganlah sekadar menahan lapar tetapi menahan diri daripada melakukan perkara yang mengurangkan atau menghapuskan pahala. Masa terluang jangan leka dengan WhatsApp sebaliknya tatapi telefon dengan bacaan al-Quran. Kadang-kadang WhatsApp menyebabkan kita lalai lebih-lebih lagi dengan isi kandungannya yang boleh menimbulkan fitnah.

Berkaitan dengan makanan juga, diharapkan para peniaga lebih jujur. Jangan menjual makanan/minuman yang pada luarannya menyelerakan tetapi apabila sampai waktu berbuka, semuanya menjadi habuan tong sampah disebabkan rosak sama ada basi atau tidak cukup masak. Begitu juga diharapkan tidak timbul lagi isu perakuan sijil halal di restoran atau hotel yang menyediakan bufet Ramadan sehingga menimbulkan keraguan umat Islam. Sebelum ini, pihak berkuasa pernah memberi amaran supaya pemilik premis seperti kafe, restoran dan hotel tidak sewenang-wenangnya menggunakan perkataan Bufet Ramadan untuk mempromosikan juadah berbuka sehingga mengelirukan umat Islam. Semua pihak juga perlu lebih sensitif ketika mempromosikan bufet ini kerana pernah berlaku, pihak berkenaan meletakkan arak dan babi panggang dalam promosi berbuka puasa. Ingatlah bahawa umat Islam sentiasa diperintah supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah SWT: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu – Surah al-Baqarah ayat 168.

Ahlan wasahlan Ramadan, selamat beribadah sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak!

UMA060616010C_3#

Related posts

Leave a Comment