Di sebalik kecoh Uber warga asing ambil kesempatan

MEMANDU kereta, lori atau menunggang motosikal tanpa lesen yang sah seolah-olah sudah menjadi perkara biasa. Begitu juga dengan kenderaan tanpa cukai jalan. Contohnya, kewujudan lori hantu. Apa yang perlu ada pada individu berkenaan hanyalah keberanian. Berani buat berani tanggung. Jika bernasib baik, pemandu atau penunggang akan terlepas. Nasib tidak baik akan dicekup oleh pihak berkuasa. Semuanya bergantung kepada operasi yang dijalankan oleh sama ada polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Sejauh mana ketiga-tiga agensi ini mampu melakukan operasi atau penguatkuasaan di jalan raya? Kekangan kakitangan atau penguat kuasa menyebabkan agensi ini tidak mampu mengesan kesalahan yang dilakukan. Jalan raya akan sesak jika sekatan memerlukan setiap kenderaan itu di-periksa cukai jalan, insurans, lesen memandu dan pelbagai lagi. Kebiasaannya, kenderaan yang tidak disyaki akan dilepaskan tanpa banyak bicara lebih-lebih lagi jika yang memandunya orang tempatan atau yang berkereta besar.

Bagi teksi misalnya, pengalaman pulang lewat malam atau awal pagi serta terjumpa sekatan, pihak berkuasa sekadar menyuluh muka penumpang dan melepaskannya. Tidak banyak soal. Mungkin, pihak berkenaan tidak mahu menyusahkan penumpang yang sudah lewat pulang atau yakin, tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh pemandu atau penumpang. Mungkin inilah yang mendorong warga asing memberanikan diri untuk mencari pendapatan sebagai pemandu teksi di negara ini. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga. Dua lelaki warga Pakistan yang memandu teksi di Bukit Bintang, Kuala Lumpur malam kelmarin dicekup dalam satu operasi oleh JPJ. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam industri teksi di negara ini. Sama ada ia sebagai kes terpencil atau sebaliknya, pemantauan perlu dilakukan. Selain lesen memandu, pemandu teksi perlu memiliki lesen perkhidmatan pengangkutan awam (PSV) yang sah. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Adakah syarikat teksi yang bertanggungjawab? Atau pemandu pertama yang terlibat dengan sewa beli teksi syarikat? Jika syarikat yang terlibat, adakah keadaan sudah terdesak apabila banyak teksi tersadai selepas dipulangkan oleh pemandu tempatan yang tidak mampu lagi bersaing? Jika pemandu pertama terlibat, adakah ini juga disebabkan keadaan terdesak untuk mencukupkan pendapatan harian pada hari berkenaan bagi melunaskan sewa?

Selak tidak pasti, adakah mereka yang dicekup itu merupakan pemandu kedua yang diberi peluang oleh pemandu pertama, orang tempatan yang menyewakan teksi berkenaan untuk beroperasi pada waktu malam. Adakah mereka ini pemandu yang berurusan terus dengan syarikat teksi? Jika mengikut kenyataan JPJ semalam, kegiatan seumpama ini meningkat sejak awal tahun ini. Ini bermakna, warganegara asing yang masuk secara sah untuk bekerja di negara ini boleh menambah pendapatan mereka dengan memandu teksi. Mujurlah kisah itu terbongkar walaupun khabarnya ramai warga asing termasuk dari Indonesia dikatakan telah berada di atas jalan raya sebagai pemandu teksi. Difahamkan mereka ini bertaraf pemastautin atau penduduk tetap (PR). Mungkin ini yang menyebabkan pengguna atau penumpang tidak kisah apabila pemandu teksi bukan orang tempatan yang wajah mereka tidak mirip Melayu, Cina atau India.

Jika pemandu teksi warga asing ini berurusan terus dengan syarikat teksi, maka tanggung-jawab SPAD untuk menjalankan siasatan seterusnya mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat berkenaan. Bukan setakat menyita teksi yang terlibat tetapi tindakan juga harus dikenakan terhadap syarikat itu sendiri. Agak pelik juga bagaimana, warga asing begitu berani melakukan pekerjaan yang mereka tidak layak berbuat demikian malahan tidak mempunyai ‘kelulusan atau kelayakan’ termasuk tanpa PSV? Bagaimana pemeriksaan tahap kesihatan mereka? Siapakah yang harus dipersalahkan? Di mana ‘kebocoran’ atau ‘ketirisan’ sehingga mereka ini boleh memandu teksi? Adakah mereka ini juga tergolong dalam kumpulan yang selalu mengenakan tambang melampau sehingga menjejaskan keseluruhan industri teksi di negara ini?

Berikutan kes ini, timbul persoalan, bagaimana pula jika warga asing turut menawarkan perkhidmatan Uber atau GrabCar? Jika teksi memerlukan PSV, perkhidmatan Uber dan GrabCar mungkin sekadar lesen memandu. Sekali lagi, ini peluang bagi warga asing terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan awam secara terbuka. Apa pula risikonya kepada penumpang? Inilah persoalan yang harus dijawab oleh pihak berkuasa khususnya SPAD. Melalui Uber/GrabCar, kenderaan persendirian yang digunakan tidak perlu menjalani pemeriksaan Puspakom. Tidak perlu PSV. Inilah kelonggaran yang menimbulkan pertikaian kepada pemandu-pemandu teksi di negara ini.

Seperti yang pernah diselak sebelum ini, ada kemungkinan warga asing yang rasa ‘bersalah’ akan menggunakan perkhidmatan Uber/GrabCar. Cerita pemandu teksi, ada warga asing takut menggunakan teksi untuk bergerak pada waktu tertentu kerana bimbang jika berlaku pemeriksaan, mereka akan disiasat. Jika teksi ditahan, penumpang warga asing mungkin akan diminta menunjukkan pasport atau pengenalan diri. Keadaan ini juga menyebabkan sesetengah penumpang warga asing yang melakukan kesalahan resah gelisah jika teksi ditahan untuk pemeriksaan. Jalan keluar kepada golongan seperti ini ialah menggunakan kenderaan Uber/GrabCar, lebih-lebih lagi kereta yang berjenama. Akhirnya pemandu warga asing, penumpang pun warga asing.

Bukan sekadar polis, JPJ dan SPAD tetapi Jabatan Imigresen juga perlu ‘turun padang’ untuk memastikan bidang kerja yang boleh dilakukan oleh warga asing di negara ini. Jangan sampai semua peluang itu dibolot oleh mereka.

UMA230516010C_2#

Related posts

Leave a Comment