DALAM ruang yang terbatas ini, Selak cuba menarik perhatian moto kerajaan negeri Pulau Pinang, pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) ke arah mewujudkan Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat.
Adakah hasrat itu akan tercapai? Menurut pelbagai laporan, khabarnya banyak kawasan bukit-bukau sudah diterokai atau digondol bagi tujuan pembangunan. Kawasan laut pula ditambak. Begitu juga dengan penebangan pokok.
Sebelum ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoalkan moto yang diuar-uarkan kerajaan
negeri selepas beberapa pokok besar ditebang. Menurut Presidennya, SM Mohamed Idris, Pulau Pinang semakin kehilangan kehijauannya kerana hutan konkrit yang kian bertambah akibat pembangunan dan pelebaran jalan.
Menyelak kembali penebangan pokok sebelum ini, pada 2012, khabarnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menebang lebih 60 pokok di sepanjang jalan dari bulatan Jalan Udini hingga ke stesen minyak Shell di Jalan Masjid Negeri. Menanam pokok memang mudah, menjaga sehingga besar bukan senang tetapi menebangnya paling mudah.
Menurut Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, Akta 172, 35A (4), mana-mana pihak melanggar mana-mana
peruntukan dalam perintah pemeliharaan pokok merupakan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Dalam hal ini, MBPP bukan sengaja menebang pokok-pokok itu kerana ia mempunyai kepentingan terhadap kenderaan yang semakin bertambah. Baru-baru ini juga, Mohamed Idris muncul dengan memeluk sebatang pokok di Jalan Scotland bagi menunjukkan bantahan terhadap projek pelebaran jalan oleh MBPP. Beliau mendakwa projek sepanjang 1.8 kilometer itu akan mengorbankan kira-kira 18 batang pokok, walaupun tidak semua. Baginya tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan.
“Pokok membekalkan oksigen, menyejukkan cuaca, udara lebih bersih selain menyerap air hujan. Kerajaan Pulau Pinang perlu berpegang teguh dengan janji. Pulau Pinang yang hijau perlu benar-benar hijau. Rakyat negeri ini perlu bangkitdan tuntut janji Kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri ini negeri hijau,” kata Mohamed Idris.
Adakah dengan melebarkan jalan atau menambah lorong mampu mengatasi kesesakan? Lihat sahaja di Kuala Lumpur, pelebaran jalan tidak membawa apa-apa makna kerana kesesakan tetap berlaku. Carilah alternatif lain yang dapat mendidik pengguna untuk berkongsi kenderaan. Mungkin juga caj parkir dinaikkan atau meningkatkan pengangkutan awam. Bagaimanapun, pujianharus diberi kepada Pulau Pinang kerana muncul sebagai negeri terawal yang menguatkuasakan hari tanpa beg plastik setiap hari. Cuma isu yang timbul sebelum ini, ke mana perginya kutipan RM0.20 sen bagi setiap beg plastik yang dijual oleh pasar raya kepada pengguna yang masih mahukan beg plastik.
Di Pulau Pinang, ketika pokok yang menghijau ditebang, di beberapa laluan terpilih terdapat lorong berwarna hijau untuk mereka yang berbasikal. Khabarnya projek ini melibatkan kos RM30 juta. Tidak pasti ia hanya di kawasan tertentu atau seluruh pulau itu. Kasihan melihat ‘mereka yang berbasikal’ sama ada orang tempatan atau pelancong di lorong berkenaan. Di jalan yang sesak di sekitar Georgetown ternyata lorong itu tidak mampu memberi keselesaan kepada penunggang basikal dan pejalan kaki.
Lebih banyak gangguan! Adakah penunggang basikal benar-benar selamat sesuai dengan salah satu moto yang dijanjikan? Entah sampai ke mana nanti laluan hijau ini. Usaha menyediakan lorong berbasikal ini amat dialu-alukan bagi melahirkan masyarakat sihat dan cergas tetapi biarlah bertempat. Jangan sekadar ada tanpa memikirkan kesan dan risiko terhadap keselamatan pengguna.
Alangkah indahnya moto hijau itu dihiasi dengan keaslian pokok kayu hijau seperti yang dapat dilihat di laluan ke Padang Besar di Perlis atau di Layang-Layangan, Labuan. Bukan hijau di atas jalan!
UMA220216010C_2#