SEMALAM ketika melintasi satu lokasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Parlimen Permatang Pauh, saya ditunjukkan mengenai premis bangunan yang telah dipecah atau diruntuhkan. Kawasan itu dikatakan menempatkan kilang haram dan kedudukannya pula terletak di kawasan perumahan. Banyak bahagian bangunan itu yang sudah dipecahkan walaupun bangunan itu tidak runtuh sepenuhnya. Kesannya seperti kejadian bangunan runtuh atau dilanda ribut. Jika benar dakwaan bahawa premis itu adalah kilang haram, entah bagaimana sebuah bangunan sebesar itu boleh dibangunkan dan ber-operasi secara haram. Bukan satu dua jabatan yang terlepas pandang. Di mana silapnya? Mungkin lebih banyak lagi kilang haram sedang beroperasi. Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak nampak atau tidak menyedari kewujudannya? Jika binaan yang kecil seperti gerai di tepi jalan, diroboh secara rakus kerana beroperasi secara `haram’ bagaimana bangunan sebesar itu boleh terlepas pandang?
Kalau begini jadinya, samalah seperti kuman di seberang laut nampak, gajah di hadapan mata tak nampak. Berbalik ke DUN Penanti, sekurang-kurangnya tindakan itu mungkin mengakhiri keluhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Penanti, Dr. Norela Ariffin. Tidak sia-sia beliau menangis di DUN pada November tahun lalu disebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa mengabaikan kawasannya. Menyelak kembali keluhan ADUN itu, Norela membangkitkan beberapa perkara yang tidak diberi perhatian termasuk masalah banjir, kemudahan asas dan kilang haram. Diharapkan tindakan tegas PBT berkenaan tidak terhenti di situ sahaja. Carilah kes seumpama itu yang melibatkan kilang atau premis besar yang beroperasi tanpa kelulusan, lebih-lebih lagi di kawasan perumahan awam. Tidak ada kompromi. Heret mereka yang bertanggungjawab `meluluskan kilang’ itu. Jika tidak, ia dianggap melepaskan jerung dan hanya menangkap bilis. Ini kerana banyak paparan yang menunjukkan keresahan dan kecaman mereka yang bertaraf `ikan bilis’ apabila gerai perniagaan mereka dirobohkan. Pantang mendapat laporan premis disalahguna sebagai tempat berniaga walaupun di dalam kawasan rumah sendiri. Begitu juga gerai di tepi jalan yang dikatakan mengganggu lalu lintas. Bukan sekadar roboh tetapi peralatan yang ada seperti kerusi, meja, peti sejuk dan sebagainya diangkut ke dalam lori dan disita. Lebih mendukacitakan apabila premis itu sudah lama beroperasi. Memanglah, mereka yang menjadikan rumah sebagai tempat berniaga walaupun secara kecil-kecilan telah melanggar peraturan. Bagaimanapun, dalam kes seumpama ini yang tidak melibatkan binaan kekal di satu-satu kawasan seperti kilang haram, berilah sedikit kelonggaran. Mereka sedar, itu satu kesalahan tetapi kenapa mereka lakukannya?
Selidik dulu siapa yang menjalankan perniagaan itu dan kenapa beliau berani berniaga di kawasan rumahnya. Mungkin orang itu ibu tunggal yang tidak ada pendapatan tetap, mungkin suaminya terlantar sakit atau mahu membantu suami menambah pendapatan un-tuk menyara anak-anak yang ra-mai. Lihat juga waktu perniagaan. Misalnya, gerai berkenaan digunakan untuk berniaga pada tempoh tertentu sahaja, bukan sepanjang hari. Pada waktu pagi, beliau menjual nasi lemak/kuih muih, petang pula menjual pisang goreng/air dan malam menjual burger atau tomyam. Walaupun kuasa roboh dan musnah itu di tangan PBT tetapi apabila berhadapan kes-kes sedemikian eloklah diberi sedikit pertimbangan. Jika gerai perniagaan itu tidak mengganggu lalu lintas, tidak dibina secara kekal, berilah sedikit perhatian, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Apa salahnya si isteri membantu menambah pendapatan suami berniaga nasi lemak pada waktu pagi di hadapan rumah atau di tepi jalan? Hakikatnya, mereka ini mungkin tidak terlalu mengejar kekayaan sebaliknya hanya mahu menambah pendapatan, melakukan dua kerja atau lebih seperti yang disarankan oleh pemimpin tertentu. Matlamat mereka supaya tidak terlalu terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Dalam hubungan ini saya tertarik dengan saranan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan seperti yang boleh dilihat di media sosial. Dalam satu majlis, beliau mahu peluang berniaga diberi kepada masyarakat asalkan jangan sampai mereka `memijak kepala dan menyusahkan orang ramai’. Katanya: “Orang nak berniaga, berniagalah, dia pandai buat nasi lemak, biarkan dia taruh meja di depan rumah dari pukul 7 hingga 9 pagi, nak menambah pendapatan suami. Apa salah, yang kau (PBT) geram bawa lori nak angkut meja kerusi…biarlah dia berniaga nak menambah hasil suami atau keluarga. Saya nak masyarakat Malaysia, masyarakat Negeri Sembilan hidup dalam keadaan ceria, siapa ada kemahiran berniagalah. PBT atau jabatan kerajaan permu-ahkanlah, dasar kita untuk menawarkan perkhidmatan bukan lagi menyediakan perkhidmatan’’. Mohamad bagaimanapun memberi amaran, jangan ada peniaga ini yang mengambil kesempatan. Katanya, jika jual goreng pisang RM10 sekeping, beliau sendiri akan membawa lori dan menaikkan meja-meja di atas lori berkenaan. Begitulah peluang yang diberi oleh kerajaan Negeri Sembilan yang seharusnya dikongsi bersama oleh PBT di negeri lain. Bertindaklah jika peniaga ini melanggar peraturan atau melampau dengan tujuan mencari keuntungan.
Apa yang peliknya, kadang-kadang tindakan yang diambil oleh PBT ini tidak sekata. Di sesetengah tempat, ada golongan peniaga ini yang menjadi punca gangguan lalu lintas tidak diusir. Mereka berniaga di atas jalan sehingga jalan terpaksa ditutup pada waktu tertentu. Mereka seolah-olah mendapat keistimewaan. Adakah disebabkan kumpulan peniaga itu lebih ramai, bukan individu yang berniaga secara berselerak di sana sini?
Mungkinkah juga mereka tidak diganggu kerana berniaga menggunakan kenderaan, tidak memacak atau membina gerai? Ada juga pihak berkuasa yang menyediakan kawasan khas supaya semua penjaja berniaga di kawasan tertentu. Mereka ini disuruh pindah tetapi tidak mahu kerana pada kebiasaannya perniagaan mereka akan terjejas apabila berpindah lokasi. Berapa banyak medan selera yang kononnya mahu menempatkan peniaga kecil dalam keadaan hidup segan mati tidak mahu berbanding gerai tepi jalan yang mendapat sambutan.
PBT mungkin boleh menyediakan garis panduan sekiranya kehadiran gerai itu menyakitkan mata memandang, kelihatan tidak bersih dan tidak sihat. Berunding dengan peniaga terlebih dahulu dan jangan membiarkan terlalu lama mereka berniaga dalam keadaan `salah’. Jangan kerana mahu menjayakan sesuatu slogan, PBT sanggup mengambil tindakan yang menyakitkan golongan peniaga kecil ini. Sekali lagi, sikap pilih kasih juga perlu dielakkan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal kaum tertentu. PBT perlu lebih adil.
UMA150216010C#