TAHUN baharu, azam baharu. Itulah kata-kata yang sering terucap apabila menyambut tahun baharu Masihi. Selepas berakhirnya 365 hari pada tahun 2015, berapa ramai yang menyelak semula sejauh mana azam awal tahun itu mencapai kejayaan. Mungkinkah terpaksa menyambung 366 hari lagi pada 2016 untuk ‘mengejar’ azam yang tidak kesampaian? Apa pun azam kita, biarlah yang terbaik. Mungkin anda mahu bekerja lebih gigih dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin membeban-kan? Buat dua atau tiga kerja seperti yang kebanyakan orang terutama di ibu kota telah pun melakukannya. Siang di pejabat, malam bawa teksi, ‘kereta sapu’ berlesen, jual burger, minyak wangi, berniaga di pasar malam atau perniagaan on line dan macam-macam kerja lagi yang menyumbang pendapatan tambahan. Apa pun kerja kedua atau ketiga , jangan abaikan tugas hakiki. Jangan kerana buat kerja lain, keesokannya ambil cuti sakit, cuti kecemasan, lewat datang kerja, tidur waktu pejabatatau ‘mencuri tulang’.
Menyelak semula khutbah Jumaat di Masjid Negara pada 1 Januari lalu, khatib menyeru umat Islam menanam azam tahun baharu yang dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam membina negara bangsa. Mulakan tahun 2016 dengan jiwa yang bersih dan penuh semangat agar diberi kemudahan dan kesempatan untuk menambah amal. Dalam khutbah itu, Ketua Penolong Pengarah Masjid Negara, Ustaz Amru Alhaz Adnan berkata, setiap orang dituntut supaya berusaha dengan kebenaran dan kesabaran, merancang secara strategik dan idealistik serta beristiqamah dan tekun untuk mencapai sesuatu yang dicitakan. Katanya: “Bagi memastikan kecemerlangan tahun 2016 ini, marilah kita menanamkan azam yang jitu agar dapat mencapai apa yang dihajatkan. Paling penting, azam ini menjadi wadah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT supaya beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat,”
“Jika kita tergelincir dalam kemaksiatan, maka bersegeralah kita kembali ke pangkal jalan memohon keampunan daripada Allah SWT dengan amal kebajikan kerana pahalanya dapat menghapuskan dosa-dosa yang pernah dilakukan,” katanya melalui khutbah bertajuk Azam dan Muhasabah Mercu Kejayaan.
Selain untuk menambah pendapatan, mungkin azam kita tahun ini untuk melawan gelombang media sosial yang semakin canggih. Gunakan kecanggihan itu untuk kebaikan bukan membawa kita kepada ‘memusnahkan’ kehidupan dalam masyarakat. Berhati-hati semasa mengendalikan Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp dan pelbagai lagi. Kawallah diri daripada terjebak dengan penyebaran maklumat berbentuk fitnah dan penyelewengan. Kebanyakan orang cukup mudah menyebarkan maklumat yang diterima tanpa usul periksa. WhatsApp begitu pantas berlegar dengan sindiran, kecaman, kritikan, fitnah dan macam-macam lagi yang boleh menjadikan kita ‘miskin di akhirat’. Amat malang, amalan baik kita terhakis disebabkan ghairah menyebarkan perkara berunsur fitnah. Mungkin bagi guru-guru, sebagai orang ‘kedua’ selepas ibu bapa, mereka boleh memainkan peranan mengingatkan anak-anak murid/pelajar supaya menapis maklumat atau berita yang diterima. Kadang-kadang, perkara berkaitan agama juga diseleweng.
Berkaitan guru, semalam di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, bermulalah azam baharu bagi anak-anak yang mula mengenali alam persekolahan. Ada juga ibu bapa yang buat pertama kali ‘kembali ke sekolah’ selepas anak-anak mereka memulakan penggal persekolahan Tahun 1. Hari ini, giliran murid-murid di negeri lain pula. Diharapkan tahun ini tidak timbul lagi cerita itu dan ini. Kita tidak mahu mendengar kisah bilik darjah sesak, kerusi meja tidak cukup, buku tidak lengkap, beg sekolah berat, pelbagai yuran dikutip, harga makanan di kantin mahal, tambang bas/van sekolah tinggi, guru terbeban dan macam-macam lagi. Syukurlah, tahun ini sesi persekolahan di negeri-negeri pantai timur yang dilanda banjir tidak seburuk tahun lalu. Kita mendoakan yang terbaik untuk anak-anak memulakan persekolahan kali ini.
Satu khabar gembira juga, apabila hampir 2,000 guru yang sebelum ini ‘berduka lara’ kerana berpisah daripada pasangan atas tuntutan tugas, disatukan semula. Langkah Kementerian Pendidikan ini diharapkan memberi peluang guru lebih fokus kepada tugasan begitu juga pasangan masing-masing yang bukannya guru. Kini ‘duka lara’ bertukar kepada ‘penglipur lara’. Khabarnya terdapat lebih kurang 30,000 guru yang berpisah dengan pasangan mereka. Memanglah semasa ditemu duga, sesiapa juga jika ditanya: ‘Sanggupkah bertugas di mana-mana sahaja?’’. Jawapannya: Ya! Apabila sudah berumah tangga, berjauhan dengan ibu bapa yang keseorangan atau uzur, bermulalah masalah yang menyebabkan mereka berduka lara.
Kepada guru-guru, selamat mendidik anak-anak bangsa. Terima kasih cikgu. Baru-baru ini Selak ada menerima kata-kata motivasi untuk guru seperti yang dipaparkan ini.
Seorang ustazah mengirimkannya untuk guru-guru KAFA. Tidak pasti siapa penulisnya tetapi kerana ia sesuatu yang baik, saya kongsi bersama untuk tatapan umum. Terima kasih. Pada pandangan Selak, motivasi pertama itu bukan sekadar untuk guru tetapi kepada semua pekerja. Ingatlah kerja itu ibadah. Berusahalah untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti. Bekerja bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara malah ia merupakan amanah Allah SWT. Jangan pandang remeh, jangan bekerja sambil lewa atau ‘curi tulang’. Adakah kita amanah apabila menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi? Cukupkah masa kerja kita dan pengisiannya benar-benar ‘kerja’ atau sekadar berbual kosong, melayani Facebook, melayari internet, berhibur dan pelbagai lagi yang tidak ada kena mengena dengan kerja?
Sempena tahun baharu ini, sama-samalah kita bermuhasabah dan istiqamah. Perbaiki kelemahan yang ada. Jadikan pekerjaan yang kita lakukan itu sebagai yang terbaik untuk menjaga nama baik kita sebagai pekerja dan majikan yang menjadi punca rezeki. Jangan kerana sikap cuai dan lalai, kita membebankan majikan. Semoga rezeki yang kita terima dan bawa pulang untuk keluarga itu penuh dengan keberkatan.
UMA040116008C#