Sebotol air mineral 600ml. dengan pelbagai harga

DI MANA silapnya? Orang ramai terus merungut kerana kos sara hidup meningkat. Golongan mana yang begitu terasa dan pihak mana pula yang tidak terasa apa-apa? Apakah yang menyebabkan ramai yang terasa kesan kenaikan ini atau sekadar perasaan awal tahun setiap kali musim persekolahan bermula? Kebanyakan atau hampir semua ibu bapa tidak perlu lagi membeli buku teks kerana semuanya percuma. Jika perlu beli pun, hanya buku latihan dan rujukan. Yuran juga tidak dikenakan kecuali apabila mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membuat keputusan bersetuju mengenakan yuran tertentu. Malangnya apabila keputusan PIBG dilaksanakan, ibu bapa ‘melompat’ membantah. Disuruh hadir mesyuarat tidak hadir, diminta pandangan tidak bersuara, disuruh mengundi, tangan diangkat tanda setuju! Salah siapa?

Jika dulu kenaikan harga minyak dikatakan menjadi punca harga barang meningkat, kini apabila harga petrol dan diesel turun, bagaimana dengan harga barang? Jika dulu naik 10 sen, kecoh tetapi bila turun, ada yang tidak mampu bersuara. Adakah kita hanya tahu mengkritik dan menghentam apabila berlaku kenaikan? Apakah kesan sebenar di sebalik kejatuhan harga minyak du-nia? Adakah kejatuhan itu memberi manfaat kepada kebanyakan peng-guna jika harga barangan keperluan masih tinggi? Adakah kejatuhan itu memberi kesan kepada kedudukan ekonomi negara? Berapa banyak ba-rang yang turun harga? Berapa harga secawan teh tarik, roti canai, air suam, ais kosong, nasi lemak? Berubahkah? Bagaimana pula tambang teksi, LRT, komuter, kadar tol, harga gas memasak dan pelbagai lagi?

Berapa ramai peniaga yang mengembalikan saiz roti canai kepada asal sebelum kenaikan petrol supaya harganya berbaloi selepas kejatuhan harga petrol? Sudah men-jadi kelaziman, amat sukar harga barang yang naik sebelum ini akan turun lebih-lebih lagi apabila tidak ada penguatkuasaan. Pemantauan oleh pihak berkuasa amat penting tetapi sejauh mana kesannya? Pantau tanpa tindakan. Akhirnya, kedudukan sama sahaja. Pi mai pi mai tang tu’ (tidak berganjak). Para peniaga sering menggunakan alasan stok lama yang harganya lebih tinggi setiap kali masyarakat pengguna mendesak supaya harga jualan diturunkan seperti sebelum kenaikan harga petrol. Kalau mahu menaikkan harga barang, hari ini diumumkan petrol akan naik harga keesokannya, petang ini, stok barang habis. Begitulah sesetengah peniaga ‘bermain harga’ untuk mencari untung.

Begitu juga dengan perkhidmatan kepada pengguna. Sering kali apabila berlaku kenaikan, pelbagai nasihat dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuklah ‘memulau’ barangan dan perkhidmatan teta-pi bagaimana pula dengan sikap peniaga yang memberi 1001 alasan? Sikap tamak dan tidak bertimbang rasa golongan peniaga ini perlu dipantau. Kedudukan harga terletak di tangan peniaga. Merekalah yang harus bertanggungjawab menurunkan harga barang tanpa dipaksa. Adakah terlalu sukar untuk menurunkan harga? Alasan apa yang hendak digunakan? Mungkinkah disebabkan harga minyak yang tidak menentu menyebabkan mereka sukar menurunkan harga dan mencari pelbagai alasan? Ada peniaga yang menyatakan harga tidak dapat diturunkan kerana pelbagai kos. Kita tunggu nanti bagaimana harga ikan melambung apabila bekalan kurang disebabkan ikan lari ke tengah laut akibat cuaca panas.

Menyelak semula harga barang makanan, pastinya kita akan terjumpa pelbagai harga bagi sejenis makanan atau minuman. Tidak sama antara satu tempat dengan tempat lain. Contohnya secawan teh O? Adakah RM1, RM1.20 sen atau lebih? Mungkin harga mengikut lokasi dan taraf – gerai, kantin, kedai dan restoran. Baru-baru ini ketika di Port Dickson, saya terserempak dengan gerai yang menawarkan teh O pada harga 50 sen. Kenapa murah? Begitu juga harga di Kedai Menu Sejahtera di Kubang Pasu yang menyajikan makanan murah – nasi ayam RM2, bihun sup dan laksa RM1, air batu campur (ABC), laici kang dan cendol juga RM1.

Adakah kerana kedai itu di Kedah Darul Aman? Bagaimana pula dengan harga berpatutan di Restoran Rakyat 1Malaysia (RR1M) di Kuala Lumpur? Begitu juga dengan viral seorang anak muda menjual donat 10 sen sebiji di Kuala Lumpur. Ambil juga contoh harga sebotol air mineral 500ml atau 600ml. Ada yang jual sehingga RM1.70 sedangkan ada jenama lain dijual pada harga RM1, RM1.20 atau RM1.40. Adakah jenama menjadi penentu? Itu belum kira air minuman biasa. Sudah tentu, pihak berkuasa akan berkata, air bukan barang kawalan. Ambil juga contoh semangkuk cendol. Ada yang jual sehingga RM3 tetapi kandungannya, sedikit cendol dan lebih banyak ais atau air batu. Tidak ada bahan lain seperti kacang atau jagung. Ada juga yang jual mahal tetapi berbaloi.

Semua ini terletak kepada peniaga, bagaimana mereka mahu meletakkan harga. Biarlah peniaga dan pengguna dalam situasi menang-menang. Seperti kata Muhammad Waliuddin Chua, penjual donat 10 sen: “Saya anggap ini sumbangan amal jariah kepada orang lain. Jika jual lebih daripada 10 sen sebiji, saya tidak boleh tidur malam apabila memikirkan mengapa perlu saya ambil untung berlebihan’’. Berapa ramai peniaga yang bersikap demikian? Adakah mereka tidur lena selepas mengambil untung berlebihan?

Berkaitan dengan pengangkutan awam, seperti yang pernah diselak dalam ruangan ini, rakyat perlu digalakkan membayar mengikut tiket mingguan, bulanan atau konsesi. Golongan pelajar, warga emas dan orang kurang upaya perlu meman-faatkan tiket konsesi. Bagi peng-guna yang sering berulang alik termasuk kakitangan awam dan swasta hendaklah mengambil kes-empatan menggunakan pas mingguan atau bulanan yang menawarkan potongan harga. Begitu juga penggunaan kad touch ‘n go yang boleh menjimatkan sedikit walaupun tidak banyak. Ketika kita terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga, sebarang usaha untuk membantu mengurangkan kos perlu dilakukan. Pada masa yang sama apa yang diharapkan, jawatankuasa tertinggi menangani kos sara hidup rakyat dapat mencari jalan keluar bagi membantu rakyat berhadapan dengan kos sara hidup ini. Enam kementerian yang duduk bersama berbincang diharap dapat membantu meringankan beban rakyat. Jangan sampai mereka ‘mengikat perut’ dalam sebuah negara yang ‘melimpah’ dengan makanan ini.

Pantaulah dan bertindaklah. Tidak ada gunanya menubuhkan pelbagai jawatankuasa yang akhirnya keputusan terhenti di meja mesyuarat tanpa tindakan susulan. Jelaskan kepada rakyat kenapa sesetengah harga tidak mampu dikawal atau tidak boleh diturunkan. Jangan biarkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terus menghantui rakyat dan menjadi ‘mangsa’ untuk dipersalahkan.

UMA110116011C_3#

Related posts

Leave a Comment