BAGAIMANA agaknya banjir di beberapa kawasan di Kelantan mahu memulakan ‘penghidupan’baharu? Begitulah persoalan yang timbul apabila saya melihat sendiri kesan banjir di beberapa kawasan. Keadaaan tentunya lebih sukar bagi mereka yang kehilangan rumah, harta benda atau rumah rosak teruk. Bagi pemilik rumah dan kedai yang ditenggelami banjir pula sudah pasti pada peringkat awal, mereka termenung memikirkan di mana mahu
memulakan kerja-kerja pembersihan. Apa tidaknya, di sana sini kelihatan kotor, berselut dan berlumpur di luar dan di dalam rumah. Peralatan rumah, pakaian, dokumen dan sebagainya musnah. Adakah memulakan kerja-kerja pembersihan di halaman rumah atau di dalam rumah? Serba tak kena dibuatnya kerana bencana ini bukan banjir biasa yang apabila air surut, keadaan rumah tidaklah terlalu daif. Banjir kali ini membawa lumpur, sampah-sarap, balak dan pelbagai lagi. Pokok pula ibarat berbunga dengan pelbagai sampah sarap termasuk perabot dan pakaian tergantung di dahan. Bukan kerja mudah untuk membersihkan lumpur yang tebal tanpa tenaga dan peralatan yang mencukupi. Banyak barangan rumah yang terpaksa dibuang kemudian dibakar. Jika dibiarkan akan mengeluarkan bau busuk.
Begitu juga di sekolah. Ramai guru yang ditemui memberitahu, mereka menangis melihat keadaan sekolah lebih-lebih lagi ketika itu musim persekolahan baharu akan bermula. Ada cikgu yang sebak ketika menceritakan bagaimana keadaan sekolahnya. Sama seperti mangsa banjir, saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu memulakan tulisan ini untuk menceritakan apa yang berlaku. Walaupun tulisan dan gambar boleh menceritakan tetapi ia tidak sama apabila kita melihat sendiri apa yang berlaku. Benarlah kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Hasrat saya ingin menceritakan pengalaman melihat sendiri ‘muzium bencana’ di Dabong, Kuala Krai dan Kemubu. Masalahnya bagaimana mahu memulakannya? Memang sukar untuk menceritakannya. Membaca dan melihat gambar sama ada di media cetak, media elektronik serta media sosial termasuk WhatsApp mungkin masih tidak mampu menimbulkan keinsafan. Bagi yang berkunjung ke sana lihatlah sendiri ‘muzium bencana’ itu. Mereka pasti sedar bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir. Begitu juga dengan guru-guru yang mahu mengajar. Serba serbi dalam kekurangan. Saya percaya ramai yang ke sana untuk sama-sama melakukan kerja pembersihan, menghulurkan bantuan pakaian, makanan, perubatan dan sebagainya dapat merasai sendiri penderitaan yang ditanggung oleh mangsa. Beberapa orang suri rumah di Kuala Krai ketika dikunjungi Konvoi Tabung Bantuan Banjir Kumpulan Utusan mengukir senyuman apabila menerima bantuan itu. Ditanya, kenapa nampak gembira walaupun kehilangan rumah, mereka secara spontan berkata, “Doh takdok air mato’’. Benar kata mereka. Tidak ada lagi air mata untuk meratapi apa yang berlaku. Sekarang masa untuk reda. Seorang warga emas berusia 82 tahun berkata, seumur hidupnya tinggal di Kelantan, inilah banjir paling besar. Rumahnya di kawasan berbukit turut tenggelam. Dia yang uzur terpaksa lari ke kawasan lebih tinggi dan tinggal di kandang kambing. Seorang lagi warga emas berusia 80 tahun yang rumahnya dihanyutkan kira-kira 100 meter dari tapak asal turut mengakui banjir ini membawa banyak kemusnahan.
Beberapa peniaga di Kota Bharu pula berkata, banjir ini agak lain kerana arus air yang mengalir ketika itu begitu
deras. Pasar Siti Khadijah juga tampak muram selepas bencana itu walaupun urus niaga sudah berjalan seperti biasa. Masih banyak kawasan berdebu dan berselut. Secara ringkas gambaran pascabanjir ini, kita dapat lihat rumah hanya tinggal tapak, dihanyutkan entah ke mana, rumah ‘naik’ rumah, rumah hilang dinding dan bumbung. Turut menarik perhatian, jambatan besi tinggalan penjajah yang kukuh untuk kegunaan kereta api dihanyutkan kira-kira 100 meter. Begitulah suasana pascabanjir.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Ramzi Ab. Rahman, apa yang berlaku ini bukan lagi banjir tetapi ‘bencana’. Kesannya amat besar kerana melibatkan banyak kemusnahan. Sebagai ADUN dan Ketua UMNO Bahagian Kuaka Krai, sejak hari pertama, beliau terpaksa mengharungi perjalanan sukar untuk mengetahui nasib rakyat. Bukan setakat bermotosikal, beliau berjalan kaki sejauh 12 kilometer dan menaiki rakit yang tenggelam separas buku lali untuk sampai ke destinasi. Beliau tidak dapat tidur melayani panggilan daripada perantau di ibu negara yang ingin tahu keadaan keluarga mereka lebih-lebih lagi apabila tersebar berita mengenai mayat ditemui bergelimpangan. Baginya cerita seperti itu hanya menambahkan keresahan rakyat yang sudah sengsara dengan
banjir ini. Hentikan cerita karut. Bagi Ramzi, kesukaran semasa banjir ini adalah empat kali lebih mencabar berbanding kempen pilihan raya umum. Bukan mudah untuk menguruskan 37,305 penduduk Kuala Krai yang terlibat banjir. Daripada 225 kampung, 109 terlibat banjir. Ramzi bagaimanapun bersyukur, tidak ada nyawa yang
diambil jika dibandingkan dengan tsunami di Acheh.
Dalam memulihkan kembali keadaan, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bersama-sama membantu tanpa mengira pegangan politik. Bagi Ramzi, ini adalah masa untuk bersatu membina kehidupan baharu penduduk
yang amat terasa kesan banjir. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memulihkan kehidupan penduduk termasuk dalam bidang ekonomi, kesihatan, pendidikan, kemudahan awam seperti bekalan elektrik, air, jalan raya dan pengangkutan. Usaha sekarang adalah untuk membantu penduduk yang rata-ratanya penoreh getah memulihkan kehidupan. Mereka hilang pendapatan kerana banyak pokok musnah. Sebulan sebelum banjir, penoreh tidak dapat ke kebun kerana hujan.
Sementara menunggu tindakan kerajaan, mangsa-mangsa banjir ini masih memerlukan sokongan dan bantuan sukarelawan. Diharapkan sokongan ini tidak berakhir sebaliknya berterusan supaya mangsa tidak rasa dipinggirkan. Tanya dan selidik keperluan mangsa. Bantulah mereka tanpa mengira kedudukan kerana dalam situasi sekarang, miskin dan kaya sama sahaja penderitaannya. Jika dulu mereka berada tetapi akibat bencana ini, mereka juga terasa bebannya. Sokongan berterusan ini diharap dapat mengukuhkan hubungan sukarelawan dari seluruh negara yang meliputi pelbagai kaum dan agama. Cuma janganlah semasa berkonvoi, ada pihak yang cuba menunjukkan ‘jaguh’ di jalan raya, memecut laju tanpa mengira keselamatan diri dan orang lain. Patuhi juga undang-undang di jalan raya. Semasa saya dan rakan dalam perjalanan ke Kota Bharu dari Kuala Krai, kami bertembung dengan sebuah kenderaan konvoi yang memecut laju memotong kenderaan sehingga memasuki laluan orang lain. Janganlah dalam kesungguhan kita hendak membantu orang tidak kesampaian, kita pula yang menjadi mangsa dan terpaksa dibantu serta diusung ke hospital.
UMA260115010C_2#