JIKA tidak ada aral melintang, kereta api elektrik (ETS) akan menyambung perjalanan sehingga ke Padang Besar,
Perlis pada September ini. Kerja-kerja landasan dan stesen di kawasan utara Semenanjung berjalan lancar. Beberapa stesen baharu telah beroperasi termasuk di Sungai Petani, Gurun, Alor Setar dan Padang Besar. Diharapkan, pengguna di utara Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dapat menikmati perkhidmatan itu seperti
yang dijadualkan. Setakat ini, ETS beroperasi dari ibu negara (KL Sentral) hingga ke Ipoh, Perak. Jarak masa yang diambil pula hanya dua jam 30 minit. Kepantasan itu menyebabkan ramai yang tinggal di Ipoh berulang-alik ke ibu negara untuk bekerja. Begitu juga dengan pengguna sekitar stesen perhentian lain seperti Batu Gajah, Kampar, Tapah Road, Sungkai, Slim River, Behrang dan Tanjung Malim.
Difahamkan walaupun perkhidmatan terawal ETS hanya bermula pada pukul 5 pagi, tetapi ada yang mahu waktu itu dipercepatkan seawal 4.30 pagi. Begitulah sambutan yang diterima daripada pengguna ETS. Ada ketikanya, ETS tidak mampu menampung keperluan penumpang. Disebabkan kekurangan koc, ETS terpaksa bertahan dengan kekerapan perkhidmatan yang ada. Memang ETS memudahkan. Bayar RM25 sehala, pengguna tidak perlu memandu, tidak perlu bayar tol, tidak perlu isi petrol, tidak perlu mencari tempat letak kereta dan tidak risau kesesakan di jalan raya. Bagi yang rajin membaca, inilah peluang untuk membaca. Difahamkan, ada penumpang yang mengambil kesempatan belajar di atas tren ETS ini sehingga dia berjaya memperoleh ijazah.
Bukanlah mustahil, belajar dua jam semasa pergi dan dua jam semasa pulang. Sabtu lalu, ketika berada di stesen Ipoh, saya terserempak dengan sekumpulan warga emas yang membawa beg yang isinya basikal. Saya diberitahu, mereka naik ETS di Kuala Lumpur dan turun di stesen Tapah Road dan kemudian mengayuh basikal sehingga ke Ipoh untuk balik semula ke KL menggunakan ETS. Mereka masih cergas walaupun sudah melepasi usia 60 tahun.
Kemudahan pengangkutan seumpama ETS ini adalah selaras dengan perkembangan semasa. Jika di negara-negara lain, perkhidmatan kereta api mereka lebih pantas, Malaysia juga tidak harus ketinggalan. Contohnya kereta api yang menggunakan teknologi Shinkansen (kereta api peluru) Jepun. Di Taiwan, teknologi Keretapi Kelajuan Tinggi (HSR) yang digunakan melibatkan perjalanan dari Taipei ke Kaohsiung memakan masa selama kira-kira 96 minit. Perjalanan sejauh 345km itu hampir sama jaraknya dari Kuala Lumpur ke Singapura. Jepun melancarkan perkhidmatan HSR pertama di dunia pada 1 Oktober 1964. Perkhidmatan itu mencatat rekod cemerlang dengan sifar kecederaan atau kemalangan maut dan purata kelewatan kurang seminit. Shinkansen
Taiwan juga dilaporkan mencatat rekod yang sama apabila memulakan operasi pada tahun 2007. Di Malaysia, ketika ini ETS dan ERL (KL Sentral-KLIA) merupakan perkhidmatan terpantas.
Dengan pengenalan ETS ke Butterworth dan Padang Besar, adakah perkhidmatan kereta api antara bandar di kawasan Pantai Timur masih relevan? Adakah matlamat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam darat akan tercapai? Di kawasan selatan, ada cadangan memperkenalkan perkhidmatan HSR Malaysia-Singapura. Projek dianggarkan bernilai RM40 bilion ini akan bermula tahun hadapan, dijangka siap dalam tempoh sembilan tahun. Stesen perhentian yang dikenal pasti ialah Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu
Pahat dan Nusajaya.
Kenapa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak mengambil langkah untuk menaik taraf landasan supaya ia setanding dengan tren yang lebih berdaya saing bagi memenuhi keperluan semasa pengguna? Jika diselak kembali kesan banjir yang melanda Pantai Timur baru-baru ini, kerugian akibat kerosakan infrastruktur yang dicatatkan hampir RM250 juta. Kerosakan melibatkan landasan, jambatan, kuarters, lokomotif, stesen dan sebagainya. Akibatnya, perkhidmatan itu dijangka pulih dalam tempoh setahun. Mungkin akan lebih lama sekiranya melibatkan faktor-faktor lain seperti struktur tanah dan naik taraf kawasan landasan. Pemulihan perlu diiring dengan penambahbaikan supaya bencana pada masa depan jika berulang tidak melibatkan kerosakan teruk seperti dialami baru-baru ini.
Mungkin inilah masa yang sesuai bagi KTMB membuat perancangan jangka panjang bagi memenuhi keperluan masa hadapan. Adalah lebih baik, KTMB melihat lebih ke hadapan supaya infrastruktur yang bakal dibangunkan semula di Pantai Timur sesuai dengan penggunaan sistem komuter atau ETS yang bergerak lebih pantas berbanding kereta api penumpang atau kereta api antara bandar. Mungkin ia melibatkan kos yang tinggi tetapi
eloklah diambil kesempatan supaya kerja-kerja naik taraf yang dilakukan dapat mengambil kira keperluan masa hadapan. Sistem pengangkutan awam darat perlu ditingkatkan. Jika diselak sejarah perkhidmatan kereta api di negara ini, ia bermula pada 1 Jun 1885 yang menghubungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang) bagi
mengangkut bijih timah. Perkhidmatan itu kemudiannya berkembang mengikut peredaran semasa sehinggalah sekarang. Mungkin masalah yang dihadapi oleh KTMB kini adalah kos dan masa untuk membaik pulih atau membangunkan semula infrastruktur yang musnah terutama di antara Gemas dan Gua Musang. Tempoh pemulihan yang perlu dipercepatkan memaksa KTMB membuat pilihan sama ada mengekalkan sistem yang ada atau terus menaik taraf bagi menyokong perkhidmatan yang lebih pantas seperti ETS dan komuter.
Mesin tiket sudah lama tersadai
JIKA anda sering menggunakan perkhidmatan kereta api komuter, sudah tentu akan ‘terserempak’ dengan barisan mesin tiket yang sudah lama tersadai. Entah apa akan terjadi kepada mesin tiket ini. Adakah ia bakal menjadi seperti `besi buruk’? Khabarnya mesin tiket itu bakal menggantikan mesin tiket keluar masuk pengguna yang ada sekarang. Ketika ini pun, mesin yang sedia ada itu tidak dapat digunakan lagi kerana pengenalan tiket yang tidak boleh menggunakan mesin untuk keluar masuk. Mesin sedia ada tidak dapat menerima sistem tiket berkenaan. Hanya pengguna kad Touch ‘n Go sahaja yang perlu melalui mesin berkenaan. Itu pun tidak melibatkan semua stesen.
Akibatnya pemantauan secara manual terpaksa dibuat sehingga menyebabkan keadaan lebih sesak ketika penumpang mahu keluar stesen lebih- lebih lagi apabila ketibaan tren secara serentak dari destinasi berbeza. Entah di mana silapnya mesin yang dikatakan akan lebih memudahkan pengguna terus tersadai di stesenstesen KTMB. Keadaan ini sedikit sebanyak `mencacatkan’ pemandangan, lebih-lebih lagi ia terletak di laluan pengguna keluar masuk. Sebelum ini, ada cadangan penggunaan tiket bersepadu yang akan menggabungkan tiket perjalanan monorel, sistem transit aliran ringan dan komuter. Tidak dapat dipastikan sejauh mana perkembangannya. Jika tidak silap, pengguna pengangkutan awam darat di Lembah Klang berpeluang menikmati perjalanan yang lebih mudah dan selesa apabila sistem kad khas menerusi projek Integrasi Pembayaran Tanpa Wang Tunai (ICPS) diperkenalkan mulai Januari 2017.
Usaha bersepadu yang dilakukan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan KTMB itu adalah untuk menjimatkan masa pengguna selain memastikan perjalanan lebih selesa. Sistem seperti kad transit itu sudah lama diguna pakai di negara luar. Melalui sistem itu, pengguna boleh menggunakan kad berkenaan di semua pengangkutan awam darat termasuk di Transit Aliran Massa (MRT) yang baharu. Persoalannya apa yang terjadi kepada mesin tiket yang tersadai di KTMB sekarang?
UMA190115010C#