Ops pasca banjir : bangunkan semula Kelantan

RUMAH tinggal tapak. Hanya anak tangga yang kelihatan. Tidak ada harta benda yang mampu diselamatkan. Pilunya hati pemilik yang kehilangan rumah selepas kembali ke kampung halaman sesudah air banjir surut. Jika rumah sudah hanyut, apa lagi yang boleh diselamatkan? Ada rumah yang ‘hinggap’ di rumah orang lain. Almari baju dan perabot tersangkut di pokok. Begitulah suasana yang dapat dirasai semasa pasca banjir di Kelantan. Mereka yang kehilangan rumah ini terpaksa membina khemah sementara atau tidak ada pilihan lain kecuali berteduh di penempatan sementara yang diwujudkan. Di Kelantan mangsa yang kehilangan rumah atau rosak teruk akibat banjir akan menduduki kediaman sementara sebelum sesi persekolahan bermula 11 Januari ini.

Bagi mereka yang masih ada rumah, terpaksa membaiki pelbagai kerosakan yang berlaku. Sekarang masa untuk mereka bertungkus lumus membersihkan lumpur atau selut yang menerjah rumah mereka. Bukan mudah untuk membersihkan kawasan rumah supaya pulih seperti biasa. Tanpa air dan peralatan yang mencukupi, kerja menjadi berat, apa lagi bagi yang tidak mempunyai keluarga besar atau warga emas. Seorang sahabat yang rumahnya dilanda banjir di Pahang memberitahu, bagai nak patah pinggang menyodok selut dan lumpur di rumahnya. Itu baru lumpur, belum lagi ternakan yang mati bergelimpangan serta sampah sarap.

Bayangkan juga, di hadapan rumah mereka tiba-tiba ‘berkumpul’ balak yang hanyut dibawa arus banjir. Kalau kepingan papan atau zink yang `singgah’ di halaman, boleh juga digunakan untuk membuat atau membaiki rumah. Ini balak. Tidak mudah mengalihkannya. Jelaslah, derita pasca banjir lebih mencabar mangsa. Syukurlah kepada rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama dan politik yang prihatin menghulurkan bantuan makanan dan pakaian. Apa yang perlu dipastikan bantuan itu sampai kepada sasaran. Berdasarkan keprihatinan rakyat Malaysia, rasanya, tidak ada yang kebuluran atau tidak mampu bertukar pakaian. Diharapkan cerita pihak-pihak yang dikatakan ‘mengaut keuntungan’ ketika banjir hanya sekadar laporan palsu. Kita tidak mahu, ketika banjir ini, kawasan tertentu menjadi tempat longgokan pakaian terpakai kerana terlalu banyak yang disumbangkan. Pada masa yang sama tidak ada penyelarasan dilakukan supaya setiap helai yang disumbangkan dimanfaatkan oleh mangsa banjir. Kita juga tidak mahu makanan dibolot oleh satu-satu pihak sahaja atau ‘dilarikan’ oleh orang tertentu. Misi kemanusiaan ketika bencana ini memerlukan penyelarasan yang tersusun. Mungkin orang di luar Kelantan boleh mengetuai penyelarasan ini kerana kebanyakan penduduk tempatan terlibat dalam banjir. Biarlah orang tempatan bertindak sebagai ‘pemandu arah’ yang dapat memberi panduan mengenai lokasi atau jumlah penduduk setempat. Jika semasa pilihan raya kecil, setiap kawasan peti undi menjadi kawasan angkat parti-parti politik, mungkin kaedah ini juga boleh digunakan untuk membantu mangsa banjir. Datanglah sebagai sekumpulan masyarakat mewakili Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu, bukan atas nama parti politik.

Peranan wakil rakyat juga amat perlu kerana beliau mungkin lebih tahu mengenai kawasannya. Begitu juga dengan ketua kampung. Merekalah yang lebih tahu, ada rumah di hujung kampung. Penduduk yang tinggal terpencil ini walaupun ada motosikal atau kereta, sudah tentu tidak dapat menggunakannya untuk keluar mencari bantuan setelah kenderaan berkenaan turut tenggelam bersama banjir. Ketika ini, kenderaan yang paling perlu ialah pacuan empat roda (4WD). Kenderaan inilah yang mampu masuk ke kawasan berkenaan membawa bantuan. Dalam hal ini aset dan pelan kecemasan perlu dalam keadaan siap siaga jika berlaku malapetaka pada skala lebih besar seperti dilalui baru-baru ini.

Menjelang persekolahan minggu depan, diharapkan anak-anak mangsa banjir juga akan dibekalkan dengan pakaian seragam dan peralatan sekolah yang lengkap. Walaupun mereka boleh berpakaian biasa tetapi sudah tentu ada yang sedia tampil ke hadapan untuk menyediakan pakaian lengkap ke sekolah. Lupakan seketika soal
yuran dan bayaran lain yang bakal dikenakan sebaik sahaja anak-anak itu ke sekolah. Selain itu, kelas atau bilik darjah perlu dibersihkan menjelang seminggu persekolahan bermula. Pulihkan sekolah yang ditenggelami banjir. Sama ada pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan sukarela perlu digerakkan untuk membantu membersihkan sekolah-sekolah berkenaan. Jangan biarkan anak-anak yang masih trauma banjir melakukan kerja-kerja pembersihan sebaik sahaja mereka ke sekolah. Biarkan anak-anak itu memasuki persekolahan seperti biasa.

Penglibatan syarikat swasta juga dialu-alukan supaya mereka dapat menyediakan peralatan yang cukup untuk membersihkan sekolah berkenaan. Banyak peralatan penting diperlukan bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan seperti waterjets, waterpumps, set generator, kasut but, sarung tangan dan sebagainya. Mungkin pihak kerajaan boleh memikirkan untuk memberi pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mereka yang membeli dan menyumbang peralatan berkenaan untuk kegunaan hari ini dan masa depan. Diharapkan selepas ini tidak timbul lagi masalah mendapatkan peralatan seumpama ini.

Banjir ini banyak mengajar kita untuk lebih bersedia dengan peralatan menyelamat yang lengkap untuk
menggerakkan bantuan secepat mungkin. Misalnya, banyak pemilik 4WD yang dihujani panggilan telefon untuk membantu menghantar bantuan ke kawasan terlibat banjir. Mungkin kebanyakan kereta jabatan dan agensi
kerajaan sukar atau tidak mampu memasuki kawasan-kawasan berkenaan.

Pembangunan semula juga melibatkan kemudahan infrastruktur. Kawasan banjir yang musnah sukar dihubungi apabila jalan raya, jambatan dan landasan kereta api musnah. Lebuh raya yang dilanda banjir juga menyukarkan lagi perhubungan. Akhirnya bot atau sampan menjadi keperluan di samping 4WD. Sesuatu perlu dilakukan supaya infrastuktur seperti lebuh raya yang menjadi penghubung utama dinaik taraf bagi mengelakkan ia ditenggelami banjir.

Paling terkesan tentunya pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Sejak banjir melanda, hubungan kereta api ke Pantai Timur hanya berakhir di Gemas. Gerabak, landasan dan jambatan kereta api rosak. Bangunan stesen juga dihanyutkan air. Di Manek Urai, hanya papan tanda dan peti besi yang kekal di situ. Setakat ini, anggaran kerugian yang dialami KTMB ialah RM100 juta. Tidak dapat dibayangkan bagaimana sesaknya jalan raya dan lebuh raya menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha selepas ini apabila perkhidmatan kereta api ke Pantai Timur dijangka pulih dalam tempoh setahun. Setiap kali perayaan, kebanyakan tiket kereta api dan bas ke Pantai Timur paling laris dan habis lebih awal. Eloklah dalam pembinaan semula ini, KTMB mengambil langkah
untuk mengelakkan infrastuktur musnah seperti dialami sekarang.

Mungkin banjir besar kali ini dapat membantu Kelantan ‘bangun’ semula selepas kemusnahan. Banjir ini dapat
membawa masyarakat luar melihat lebih dekat apa sebenarnya yang berlaku di Kelantan terutama di pedalaman.
Kelantan perlu dibangunkan semula. Lihatlah Aceh yang musnah semasa tsunami tetapi mampu bangun seperti hari ini. Apa yang penting keazaman semua pihak untuk berbuat demikian. Lupakan sengketa demi rakyat Kelantan. Usahlah diberi alasan yang tidak masuk akal bagi mewajarkan malapetaka ini. Sekarang adalah masa untuk membersihkan segera kesan banjir yang melanda bagi mengelakkan bencana lain pula ‘menyapa’ penduduk negeri itu.

UMA050115010C#

Related posts

Leave a Comment