Gerak-geri, perbuatan sentiasa diperhatikan

MINGGU lalu, Selak memperkatakan tentang punca Islam dan Melayu diperlekehkan adalah disebabkan oleh masyarakat itu sendiri. Di bawah tajuk Punca kedudukan Melayu, Islam diperlekehkan, orang Melayu beragama Islam sendiri yang mencetuskan polemik dalam masyarakat sama ada melalui ucapan atau tindakan mereka. Akhirnya ia menjadi bahan perbincangan bukan sahaja oleh kelompok masyarakat itu sendiri tetapi juga orang lain. Beberapa tindakan pelik yang bertentangan dengan adat susila agama dan bangsa dilakukan kononnya atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Dalam sesuatu isu, ada orang Melayu dan Islam me-nyokong dan sebilangan yang lain menentang. Akhirnya, orang bukan Melayu dan bukan Islam keliru. Lebih parah jika mereka yang keliru ini, `tumpang semangkuk’ membincangkannya. Akhirnya orang Melayu dan Islam tidak dihormati.

Begitu jugalah halnya dengan pelbagai kenyataan di pihak kerajaan. Ada beberapa kenyataan yang menimbulkan keresahan orang ramai disebabkan tidak dibuat secara berhati-hati. Akhirnya pemimpin dan kerajaan yang menjadi sasaran. Contohnya isu yang dilontarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). JPJ tentulah berkaitan operasi nombor plat kenderaan, cermin gelap, lampu HID dan strob manakala KWSP pula berkaitan pengeluaran wang caruman pada umur persaraan 60 tahun. Secara sinis, berkaitan cadangan KWSP, sudah ada yang berkata, adakah pencarum tidak tahu mengurus kewangan? Adakah pihak kerajaan sahaja yang pandai mengurus wang? Akhirnya kritikan itu terbawa-bawa kepada pelbagai sumber kewangan lain yang diuruskan kerajaan. Isu ini akan lebih panas jika KWSP tidak tampil dengan maklumat yang lebih tepat dan difahami pencarum.

Ingatlah, dalam dunia teknologi maklumat (IT) hari ini, penyebaran maklumat begitu pantas. Jika Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dalam keadaan statik di lebuh raya hanya mampu merakamkan kesalahan pengguna yang melintas melebihi had laju tetapi lain pula `kamera litar tertutup (CCTV) bergerak’ yang ada di mana sahaja termasuk di dalam poket. Apa yang Selak maksudkan dengan `CCTV bergerak’ ini adalah telefon bimbit. CCTV inilah yang merakamkan pelbagai `kelakuan dan kesilapan’ sama ada di jalan raya, lebuh raya, bengkel, hotel atau di mana-mana sahaja. Maka tidak hairanlah apabila cerita spesifikasi nombor plat turut merakamkan pelbagai aksi ketika operasi berkaitan dilancarkan. Memang teruk JPJ `dibelasah’ oleh pengguna berhubung isu ini. Pelbagai kritikan dikeluarkan melalui blog, WeChat, Telegram, Facebook dan WhatsApp. Ada yang berkata, operasi itu ditangguhkan ke satu masa lain, ditangguhkan bagi membeli peluang kepada pihak kerajaan memperbetulkan plat kenderaan masing-masing. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 13 November lalu, seperti dilaporkan Bernama, JPJ menjelaskan, operasi bagi penguatkuasaan lampu HID dan lampu strob akan diteruskan. Operasi nombor pendaftaran pula akan diteruskan dengan memberi fokus hanya terhadap pesalah yang melanggar undang-undang secara serius sahaja.

Tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan pesalah serius. Kata JPJ lagi, operasi itu penting kerana maklumat Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat menunjukkan kesalahan seperti melanggar had laju dan lampu isyarat merah, penggunaan telefon sewaktu memandu dan lain-lain kesalahan memberi kesan kepada keselamatan pengguna jalan raya. Menurut JPJ, kamera penguatkuasaan juga tidak mampu mengesan pesalah yang menggunakan nombor pendaftaran yang tidak menepati spesifikasi.Kita amat mengalu-ngalukan sebarang usaha JPJ untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya. Jika nombor plat menjadi punca, ambil tindakan. Begitu juga jika memandu laju, cermin gelap atau memasang pelbagai lampu di kenderaan bagaikan `kelab malam’ di jalan raya. Bertindaklah secara berterusan, bukan hangat-hangat tahi ayam.

Jika tidak silap, spesifikasi nombor plat ini sudah lama dibincangkan, sejak Dr. Ling Liong Sik menjadi Menteri Pengangkutan. Tidak pasti apa yang terjadi tetapi akhirnya sehingga ke hari ini, pelbagai `wajah’ plat kelihatan di kenderaan. Ada plat yang huruf dan nombornya disusun sehingga boleh membentuk perkataan, bukan lagi menampakkan nombor sebenar yang jelas. Saiznya pula pelbagai, tidak seragam. Akhirnya nombor plat menjadi seperti `rojak’, bukan sekadar `bahasa rojak’. Kenapa perkara seumpama ini berlaku? Di mana silapnya? Siapa pula yang menggunakan nombor plat yang `pelik’ ini? Kebanyakannya orang yang `berada’ termasuk peringkat pemimpin. Nombor plat kenderaan mereka inilah yang perlu diperbetulkan kerana ia menjadi ikutan apabila tidak ada tindakan tegas diambil. Persoalannya apakah spesifikasi sebenar yang diluluskan? Adakah semua pengguna tahu? Jika diselak perangkaan yang lepas, pada 2011 sebanyak 12,778 kes kesalahan berkaitan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi. Jumlah itu meningkat kepada 24,556 kes pada tahun 2012.

Adakah pemilik kenderaan tidak sedar dengan kesilapan itu? JPJ harus mencari punca di mana silapnya. Adakah pembekal nombor yang silap? Adakah pengeluar kereta yang perlu dipertanggungjawabkan? Adakah wajar jika JPJ sahaja diserahkan tanggungjawab mengeluarkan nombor berkenaan, bukan sekadar menjual atau mengeluarkan tawaran bagi memilih nombor pilihan kenderaan. Jika JPJ tidak mampu melakukannya, satu garis panduan perlu dikeluarkan supaya dipatuhi oleh pembekal. Iringi garis panduan itu dengan penguatkuasaan berpanjangan, bukan mengikut musim. Jangan tahun ini dikuatkuasakan, tahun depan berubah perlahan-lahan.

Lihatlah pelbagai peraturan yang dilakukan bagi membendung kemalangan. Masih ingatkah mengenai kotak hitam, lampu amaran pada bas dan kenderaan berat bagi mengawal had laju? Apa sudah jadi? Begitu juga dengan cermin gelap. Adakah ia mengambil kira kenderaan import? Khabarnya ada kedai yang menyewakan cermin bagi menggantikan cermin gelap apabila sesebuah kenderaan mahu menjalani pemeriksaan di Puspakom. Semua ini memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan. Baru-baru ini, seorang sahabat memberitahu, JPJ menahannya dan cuba mencari silap dengan mem-persoalkan maklumat cukai jalan yang tidak jelas. Sahabat itu berkata: “Kalaulah pegawai itu bertanya kenapa maklumat cukai jalan itu tidak jelas, aku akan menjawab: Bukan saya yang mengeluarkan kad cukai jalan ini, pihak tuanlah yang mengeluarkannya. Adakah saya bersalah?”. Berhati-hatilah ketika bertindak. Kesilapan melakukan tindakan bukan sahaja menjejaskan nama baik jabatan tetapi yang lebih parah ialah kerajaan. Ingatlah ‘CCTV bergerak’ sentiasa mengawasi gerak-geri anda sebagai sebuah jabatan atau agensi kerajaan. Kelakuan, tindakan dan kesilapan anda akan dirakam dan disebarkan.

UMA171114010C#

Related posts

Leave a Comment