Bubur lambuk Pahang

KUALA LUMPUR 24 Mac – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang cukup dikenali dengan bakat dan kebolehan memasak, hari ini tampil menyediakan juadah bubur lambuk Pahang.

Tahun ini, Tunku Azizah sekali lagi berkenan mencemar duli memasak resipi tradisi rakyat Pahang itu di pekarangan surau utama Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut mencemar duli membantu menyediakan juadah itu anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN) itu.

Seri Paduka Baginda berdua dibantu kira-kira 200 pegawai dan kakitangan KEKSIN yang bergotong-royong seawal pukul 10 pagi.

Tunku Azizah bertitah, bubur lambuk Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia menggunakan pucuk paku merah.

“Tetapi susahnya nak cari (pucuk paku merah), dapat sedikit sahaja tadi. Jadi tidak apalah, kita letak sayur-sayuran lain lagi.

Bubur lambuk Pahang juga menggunakan santan, udang kering. Saya pun belajar daripada orang Pahang. Kalau bubur lambuk Johor, dia lain,” titah Seri Paduka pada Program Bubur Lambuk Raja Permaisuri Agong bersama KEKSIN.

Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield, Institut Jantung Negara (IJN), Penjara Kajang dan Rumah Transit Gelandangan.

Selain di ibu negara, Raja Permaisuri Agong akan menyediakan juadah itu di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta di Penjara Penor.

Related posts

Leave a Comment